Holy Dragon, Konflik Keluarga & Dendam Lama: Episod TRHT Minggu Ini Buat Penonton Tak Senang Duduk!

Share

Memasuki minggu kedua tayangan Thariq Ridzuwan: His Treasure (TRHT) pada minggu ini, plot drama adaptasi ini semakin menebal dan menarik di mata penonton dan peminat novel sensasi dengan lebih 10 juta bacaan ini.

Episod ketiga dan keempat TRHT kali ini menyingkap perasaan emosi, cinta, kesetiaan dan dendam yang lebih mendalam dalam kalangan karakter yang ada. Tidak lupa juga, elemen humor yang dibawakan oleh ahli-ahli kumpulan Holy Dragon mula menemui penonton hasil lakonan pelakon lelaki baharu termasuklah Noki K-Clique, Thompson Goh, Darien Aeldra, Afiq Hamidon, Edaman Othman dan ramai lagi.

Episod 3: Operasi Terganggu & Rahsia Terbongkar

Dalam episod kali ini, Radwa (Qasrina Karim) dipaksa untuk berkahwin dengan Zafir (Hakimi Nordin)! Nasib baik, Thariq (Meerqeen) muncul untuk menyelamatkan Radwa dan perlu bersetuju dengan syarat yang ditetapkan oleh bapa Radwa.

Pada masa yang sama, Thariq terikat dengan misi penting bersama pasukan Holy Dragon. Ketika Holy Dragon menjalankan operasi besar-besaran, satu insiden mengejutkan berlaku hingga menyebabkan majlis pernikahan Thariq dan Radwa tergantung. Haih, drama after drama ya!

Setelah persetujuaan tersebut, Zafir pula tiba-tiba muncul kembali sekali gus menimbulkan tanda tanya besar tentang siapa sebenarnya yang bakal memiliki hati Radwa. Hubungan Thariq dan Radwa semakin diuji di saat misi dan perasaan bercampur-baur.

Di sebalik semua kekalutan hubungan tiga segi di antara mereka ini, Holy Dragon sempat membantu Radwa mendapatkan semula pekerjaannya.

 

Episod 4: Janji, Luka & Dendam Lama

Walaupun cedera sewaktu menjalankan misinya, Thariq akhirnya berjaya menikahi Radwa. Dia tetap berjanji untuk tidak pernah mengabaikan Radwa walau apa pun yang berlaku.

Namun, konflik keluarga Thariq yang masih menolak ikatan perkahwinan ini mencetuskan ketegangan baru. Radwa mula dihantui mimpi buruk lama yang mengingatkannya semula terhadap tragedi kematian Kak Wan.

Penonton mula memahami emosi haru-biru yang dirasakan Radwa kerana merasa bersalah dengan pengorbanan Kak Wan yang menggadaikan nyawa demi menyelamatkannya.

Belum sempat reda dengan semua itu, Aina (Mia Sara Shauki) yang menentang hubungan Thariq dan Radwa bertindak untuk membuka hadiah perkahwinan mereka demi mencari pasal dengan Radwa.

Antara cinta, dendam lama, dan konflik keluarga; mampukah Thariq dan Radwa mempertahankan bahtera rumah tangga mereka yang baru ingin berlayar ini?

Sarat dengan jalan cerita yang menyentuh emosi dan penuh konflik dalaman di antara watak-watak yang diperkenalkan setakat ini, Thariq Ridzuwan: His Treasure

bukan sekadar drama cinta biasa.

Ia adalah kisah dua jiwa yang terikat oleh sejarah silam dan masing-masing cuba memperbaiki luka demi membina masa depan bersama.

Nantikan episod-episod seterusnya pada setiap hari Rabu dan Khamis di Astro One, Astro Ria (saluran 104) dan sooka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE