
Kitak rasa manas sik rah sekelilin bandar Miri?
Haa, panas bukan sebarang panas tetapi panas disebabkan kehangatan muzik yang bakal melanda Miri tidak lama lagi!
Kota Miri bakal menjadi lokasi tumpuan ramai peminat muzik tanah air pada Mei ini apabila ia bakal menyajikan bukan satu tetapi dua konsert berskala mega pada dua hari berbeza.
Ia bersempena acara Konsert MeleTOP TVS yang bakal berlangsung pada 17 Mei 2025 bertempat di Stadium Tertutup Miri dengan sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni Sarawak (MTCP) dan UMobile.
Kolaborasi julung kali di antara TVS dan Astro ini menjanjikan nama-nama penghibur berkelas A yang dijadualkan berada di sana pada 17 Mei bagi menghiburkan korang semua.
Antaranya termasuklah Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Stacy Anam, Dolla, Floor 88, Namie dan ramai lagi pengibur yang akan menyajikan persembahan pop kontemporari dengan suntikan kebudayaan dari Borneo.
Manakala pada 21 Mei nanti pula, kehangatannya diteruskan dengan acara Konsert Berkat Gawai – Kaamatan yang diterajui oleh ratu rock negara, Ella; Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Izzy, SMDX dan Marina Jara dari Kalimantan.
Acara yang bermula pada jam 7.30 malam ini adalah bersempena perayaan gemilang Gawai dan Kaamatan pada tahun ini dan ia turut akan kembali disiarkan pada 31 Mei 2024 kelak pada jam 9 malam di saluran TVS bagi tontonan korang yang tidak dapat hadir ke sana.
Menteri MTCP, YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kedua-dua acara hiburan menerusi jelajah Hello Miri ini merupakan satu usaha industri kreatif tempatan bagi menggalakkan lagi kehadiran pelancong terutamanya dari Semenanjung Malaysia, Brunei dan Kalimantan ke negeri Sarawak.
Dengan kolaborasi yang terjalin di antaran TVS dan Astro ini, kedua-dua buah konsert ini lebih daripada sekadar acara hiburan tetapi juga merupakan satu peluang untuk menjana ekonomi di samping menyatukan pencinta muzik dari pelbagai latar belakang.
Tambahan pula dengan sambutan ulang tahun ke-20 bandar Miri yang bakal menjelang, pemilihan Miri sebagai lokasi tumpuan pada bulan Mei ini bertambah bermakna buat negeri Sarawak sendiri.
Oleh itu, korang jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket masuk percuma ke kedua-dua konsert monumental sempena jelajah Hello Miri ini di tvsarawak.my/kejutan-tvs. Cepat tau kerana tiket yang tersedia adalah terhad!
Jumpa di Miri.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.