
Tiga bintang muzik popular Indonesia, Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito baru-baru ini memberi khabar baik buat peminat di Malaysia apabila mengumumkan bakal menggegarkan pentas di Kuala Lumpur menerusi konsert eksklusif ‘Malam 3 Suara’ yang akan berlangsung pada 14 Disember ini.
Konsert yang dibawakan oleh Strategy X Entertainment ini dijangka menjadi malam penuh emosi dengan gabungan vokal unik tiga penyanyi tersohor itu. Persembahan yang bertempat di Idea Live Arena selama lebih dua jam itu dijangka bakal membawakan pengalaman muzik yang segar, mendalam dan penuh harmoni.
Menurut wakil penganjur, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah perjalanan emosi yang menampilkan kelembutan vokal Anggi Marito, balada penuh jiwa Fabio Asher serta pesona bertenaga Rizky Febian dimana gabungan ini diyakini mampu mencipta momen luar biasa untuk para peminat.
Dalam pada itu, lebih 20 lagu hit bakal dipersembahkan dalam format berbeza termasuk segmen solo, duet dan kolaborasi khas sekaligus memberi peluang peminat menyaksikan sisi berbeza setiap artis dalam satu malam yang sama.
Untuk pengetahuan, Rizky Febian penyanyi yang popular menerusi lagu Hingga Tua Bersama, Kata, Penantian Berharga, Cuek dan Mantra Cinta, meluahkan rasa teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur.
“Saya amat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan bertemu peminat di Malaysia. Ia peluang berharga untuk berkongsi muzik saya secara lebih dekat,” katanya.
Bagi Fabio Asher pula mula mencuri perhatian dengan balada seperti
Bertahan Terluka dan Rumah Singgah yang sering menjadi pilihan pendengar. Sementara itu, Anggi Marito hadir dengan aura segar melalui lagu Tak Segampang Itu dan Cara Mencintaimu, menjadikannya antara penyanyi muda yang sedang meningkat naik di Indonesia.Konsert ini dijangka menarik minat peminat muzik dari pelbagai latar usia memandangkan barisan penyanyi yang dibawakan merangkumi variasi gaya muzik berbeza. Kehadiran mereka di pentas yang sama bakal menjadi pengalaman unik untuk penggemar muzik serantau.
Sekadar info, tiket Malam 3 Suara akan dijual bermula pada 12 September 2025 dari harga RM188 sehingga RM448 menerusi laman rasmi Ticket2u.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.