Berita

Hantavirus Cetus Kebimbangan, Ini Yang Korang Perlu Tahu…

Share

Terbaru, negara dikejutkan dengan kebimbangan penularan hantavirus susulan wabak yang berlaku di atas kapal persiaran MV Hondius sehingga mengorbankan tiga nyawa. Situasi itu turut mencetuskan perhatian ramai memandangkan dunia masih belum melupakan kesan pandemik Covid-19 yang pernah melanda sebelum ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan akan memperketat langkah kawalan di pintu masuk negara sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kemungkinan penularan virus tersebut ke Malaysia. Beliau juga menegaskan cabaran kesihatan awam kini bersifat global dan semua negara perlu sentiasa bersedia.

Tambah beliau, pihak berkuasa tidak mahu mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat namun pada masa sama orang ramai juga tidak boleh mengambil mudah isu berkenaan dengan menganggap ia hanya berlaku di luar negara. Antara langkah yang dipertingkat termasuk saringan kesihatan di lapangan terbang, pelabuhan dan pintu masuk utama negara.

Apa Itu Hantavirus?

Hantavirus ialah sejenis virus bawaan tikus yang boleh menyebabkan masalah serius pada sistem pernafasan serta buah pinggang manusia. Virus ini biasanya merebak apabila seseorang menyedut partikel udara daripada air kencing, najis atau air liur tikus yang telah kering.

Adakah Ia Boleh Berjangkit Antara Manusia?

Setakat ini, strain Andes atau ANDV merupakan satu-satunya jenis hantavirus yang diketahui boleh merebak daripada manusia kepada manusia. Namun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularannya tidak semudah Covid-19 kerana ia memerlukan “kontak rapat dan intim” dalam tempoh tertentu.

Simptom Yang Perlu Diberi Perhatian

Simptom awal hantavirus pula hampir menyerupai selesema biasa seperti demam, sakit kepala, keletihan dan sakit otot sebelum ia menjadi lebih serius dengan simptom seperti sesak nafas, batuk serta pengumpulan cecair dalam paru-paru.

Wabak Ini Bermula Sejak…

Wabak yang berlaku di MV Hondius dipercayai bermula selepas seorang pakar burung dari Belanda dijangkiti strain Andes ketika melakukan aktiviti pemerhatian burung di Ushuaia, Argentina. Lelaki berusia 70 tahun itu kemudian menjadi pesakit pertama yang meninggal dunia akibat virus tersebut sebelum isterinya turut dijangkiti dan meninggal dunia beberapa minggu kemudian.

Sehingga kini, pihak berkuasa antarabangsa sedang giat mengesan individu yang mempunyai kontak rapat dengan penumpang kapal persiaran itu selepas beberapa kes jangkitan disahkan. WHO juga dilaporkan mengesyorkan tempoh kuarantin selama 42 hari kepada individu yang berisiko.

Walau bagaimanapun, Malaysia masih belum merekodkan sebarang kes hantavirus, langkah pemantauan terus dipertingkat sebagai langkah awal pencegahan. Pada masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya menjaga kebersihan persekitaran dan mengelakkan kontak dengan tikus atau kawasan yang berpotensi tercemar.

BACA: Vape Diharamkan Sepenuhnya Di Malaysia Menjelang 2026 – Menteri Kesihatan

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE