Belum pun sempat meraikan hari bahagia bersama keluarga, seorang pengantin baharu, Wan Hasbullah Wan Abdul Halim, 42, dijemput Ilahi dalam nahas jalan raya yang berlaku di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, Setiu, pagi Rabu.
Apa yang lebih memilukan, arwah dalam perjalanan untuk merancang ziarah ke rumah keluarga Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi nahas bas di Gerik bulan lalu.
Hajat Tidak Kesampaian
Menurut adik arwah, Wan Zainul Abidin Wan Abdul Halim, abangnya itu sepatutnya bertemu sekumpulan penunggang motosikal dari Kedah di Besut sebelum sama-sama bergerak ke rumah keluarga Allahyarhamah Nurly Sahirah.
Foto: FB Info Kemalangan & Bencana Malaysia
“Niat abang nak santuni keluarga arwah Nurly, mereka memang dah janji nak jumpa di Besut, bincang pasal ziarah. Tak sangka dia yang pergi dulu,” luahnya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, malam tadi.
Lebih menyayat hati, arwah baru sahaja melangsungkan pernikahan pada 1 Muharam, Jumaat lalu, dan merancang untuk mengadakan majlis kesyukuran perkahwinan pada September ini.
“Abang pernah cakap nak buat kenduri kesyukuran, nak raikan dengan semua ahli keluarga, tapi semuanya tinggal kenangan…” tambahnya dengan nada sebak.
Meninggalkan Legasi Kebaikan
Selain bergelar pengantin baharu, Allahyarham juga meninggalkan seorang isteri, Wan Nazirah Wan Pauzi, 37, serta tiga anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu yang berusia antara 9 hingga 13 tahun.
Ads
Difahamkan, arwah merupakan seorang yang cukup dikenali masyarakat setempat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jalan Tekukur, Kuala Terengganu.
Foto: FB BEST FM Malaysia
Lebih membanggakan, Allahyarham juga seorang hafiz yang menghafaz 30 juzuk al-Quran, selain aktif dalam misi kebajikan termasuk membantu membaik pulih pondok di Thailand, program khatan dan ibadah korban.
“Dia memang seorang yang sentiasa fikir kebajikan orang lain, selalu terlibat program bantu masyarakat, tak kira dekat atau luar negara,” cerita salah seorang rakannya.
Jenazah Disambut Lebih 2,000 Jemaah
Solat jenazah Allahyarham Wan Hasbullah diadakan di Masjid Khalifah, Kuala Terengganu malam tadi, dihadiri lebih 2,000 jemaah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim sekitar jam 10 malam.
Ads
Ramai kenalan dan penduduk setempat turut hadir memberikan penghormatan terakhir buat insan yang dikenali dengan sifat lemah lembut dan mudah didekati.
Tragedi di Jalan Raya
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian kira-kira jam 10.40 pagi, motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 yang ditunggangi arwah dipercayai melanggar sebuah kereta yang sedang membelok ke simpang kanan.
Akibat perlanggaran itu, arwah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pengajaran Buat Kita Semua
Kisah ini bukan sekadar kisah kehilangan seorang insan, tetapi juga peringatan bahawa ajal maut tidak mengenal usia, status atau masa.
Ads
Majalah Remaja mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Wan Hasbullah dan Allahyarhamah Nurly Sahirah. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil memberi penegasan susulan insiden pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang tular baru-baru ini. Menterinya, YB Hannah Yeoh Tseow Suan juga menekankan bahawa perbuatan bergurau secara keterlaluan tidak sepatutnya wujud di mana-mana institusi pendidikan, lebih-lebih lagi dalam kalangan belia.
Menerusi sebuah kenyataan yang dikongsikan di Facebook miliknya pada 25 September, Hannah menjelaskan bahawa KBS telah mengambil langkah pantas dengan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Puan Chan Hong Jin, bersama Pengarah Kemahiran BPKB, Puan Dalila Sharingat, dan turut disertai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Walaupun tiada kecederaan serius berlaku dan hubungan antara pelajar kekal baik, KBS kekal berpendirian bahawa sebarang perlakuan gurauan keterlaluan tidak boleh dianggap remeh atau normal,” katanya.
Kredit foto: FB Hannah Yeoh
“Institusi pendidikan harus kekal menjadi persekitaran yang selamat, berintegriti dan membina sahsiah belia,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, siasatan mendapati mangsa insiden telah melalui tiga siri pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan pertama mendapati tiada kecederaan fizikal tetapi mangsa mengalami tekanan emosi. Pemeriksaan kedua dan ketiga, termasuk di Hospital Miri pada 24 September, mengesahkan mangsa berada dalam keadaan baik tanpa kecederaan serius.
Kredit foto: FB Hannah Yeoh
Selain itu, Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN Miri pada 24 September kemudiannya memutuskan beberapa tindakan disiplin terhadap pelajar yang terlibat. Antaranya termasuk penggantungan pengajian selama seminggu, pemberhentian elaun serta-merta, larangan outing selama sebulan, dan kewajipan melaksanakan kerja amal serta sesi kaunseling.
Kemudian, pihak institut turut diberi tanggungjawab untuk memperkukuh pemantauan melalui Unit Hal Ehwal Pelajar. Antara langkahnya ialah mengatur sesi kaunseling menyeluruh, melantik Pegawai Perhubungan Institut bagi kolaborasi bersama IPD Miri, serta penganjuran ceramah anti-buli oleh PDRM pada setiap suku tahun.
Sementara itu, bagi memastikan suara pelajar didengari, IKBN Miri turut akan menyediakan saluran aduan seperti peti cadangan yang mudah diakses. Inisiatif ini juga diyakini mampu membuka ruang kepada pelajar untuk melaporkan masalah dengan lebih cepat dan selamat.
Pada masa yang sama, KBS tegas bahawa keputusan ini bukan sekadar hukuman tetapi sebagai mesej pencegahan jelas kepada semua pelajar. Ia juga selari dengan usaha membina persekitaran pendidikan yang lebih selamat, menyuburkan integriti dan mengukuhkan sahsiah belia sebagai generasi pelapis negara.
Sumber: FB YB Hannah Yeoh
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Larangan akaun media sosial bawah 16 tahun menjadi perhatian apabila kerajaan menegaskan bahawa kanak-kanak tidak dibenarkan membuka akaun media sosial sendiri tanpa pemantauan orang dewasa.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan melindungi golongan muda daripada ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat.
Risiko seperti gangguan dalam talian, penipuan dan pembangsa siber kini menjadi kebimbangan utama apabila kanak-kanak terlibat secara aktif di media sosial.
Seiring dengan perkembangan teknologi dan penggunaan telefon pintar yang semakin meluas dalam kalangan kanak-kanak, kerajaan melihat keperluan untuk memperkenalkan garis panduan yang lebih jelas bagi melindungi mereka di ruang digital.
Menurut Fahmi, perkara paling penting bukan sekadar soal umur, tetapi siapa yang mengawal akaun tersebut. Kanak-kanak tidak digalakkan mengurus akaun media sosial sendiri tanpa pemantauan.
Walau bagaimanapun, larangan ini tidak bermaksud kanak-kanak langsung tidak boleh mempunyai akaun di platform tersebut.
Akaun yang diwujudkan dan dikendalikan oleh ibu bapa bagi pihak anak masih dibenarkan. Dengan cara ini, ibu bapa boleh memantau segala aktiviti dalam talian anak mereka, termasuk mesej yang diterima atau interaksi dengan individu yang tidak dikenali.
Jika terdapat mesej mencurigakan atau individu cuba mendekati kanak-kanak dengan niat tidak baik, ibu bapa boleh mengesan situasi tersebut lebih awal dan mengambil tindakan.
Pendekatan Regulatory Sandbox
Bagi memastikan pelaksanaan dasar ini lebih berkesan, kerajaan juga menggunakan pendekatan regulatory sandbox bersama syarikat platform media sosial.
Melalui pendekatan ini, pelbagai mekanisme kawalan umur dan sistem keselamatan boleh diuji terlebih dahulu sebelum dilaksanakan secara meluas.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa pelaksanaan larangan ini dilakukan dengan kerjasama industri teknologi, bukannya secara unilateral.
Kerajaan mahu memastikan sebarang sistem sekatan umur yang diperkenalkan benar-benar praktikal dan boleh berfungsi dengan baik tanpa menjejaskan pengalaman pengguna.
Cadangan Pengesahan Umur Menggunakan MyKad
Malaysia juga sedang mempertimbangkan penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan identiti dan umur pengguna bagi pendaftaran akaun media sosial.
Berbanding sistem sedia ada yang hanya bergantung kepada deklarasi umur secara manual, penggunaan dokumen rasmi boleh membantu memastikan pengguna benar-benar mematuhi syarat umur yang ditetapkan.
Walaupun tidak dibenarkan membuka akaun sendiri, kanak-kanak masih boleh mengakses kandungan digital seperti menonton video atau melihat bahan hiburan dalam talian.
Namun perbezaannya ialah mereka tidak boleh mempunyai akaun aktif yang membolehkan interaksi seperti menghantar mesej peribadi, meninggalkan komen atau berhubung secara langsung dengan pengguna lain.
Peranan Ibu Bapa Sangat Penting
Dalam masa yang sama, kerajaan menegaskan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau penggunaan teknologi oleh anak-anak.
Memberi telefon pintar tanpa kawalan masa atau pemantauan boleh membuka ruang kepada pelbagai risiko yang sukar dijangka.
Dengan adanya pendekatan ini, ibu bapa diharapkan lebih peka terhadap aktiviti digital anak-anak dan memahami bahawa keselamatan dalam talian memerlukan penglibatan semua pihak.
Sumber : Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Zin Abdullah, 87 yang juga merupakan bapa kepada adik-beradik penyanyi terkenal, Ziana Zain dan Anuar Zain menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.32 petang hari ini di kediaman yang terletak di Kayangan Heights, Shah Alam. Punca pemergian Allahyarham bahagimanapun belum diperincikan.
Menerusi hantaran di media sosial oleh pasukan Anuar Zain Network, ia mengesahkan pemergian Allahyarham yang juga mesra disapa sebagai Pak Zain.
Difahamkan, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina sebelum waktu Maghrib. Buat masa ini, anggota keluarga termasuk Ziana dan Anuar tidak dapat dihubungi memandangkan sedang sibuk menguruskan jenazah.
Allahyarham merupakan individu yang paling rapat dengan anak-anaknya terutama di awal kemunculan sebagai penyanyi dalam industri hiburan tanah air. Zain yang merupakan seorang pesara polis juga pernah melibatkan diri dalam kugiran muzik pasukan beruniform.
Sebagai info, Ziana dan Anuar kini sedang dalam fasa persediaan untuk muncul dalam konsert ‘Empat Live In Kuala Lumpur’ bersama-sama anak saudara mereka, Ernie Zakri dan suami, Syamel.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena itu telah mendapat sambutan hangat daripada peminat empat orang penyanyi berkenaan sewaktu jualan tiket dibuka pada 25 April lalu.
“Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Rita Rudaini CSR Sekolah menjadi perhatian apabila pelakon itu meredah hujan menyertai pelajar Ulul Albab mengagihkan makanan berbuka puasa dan sahur di sekitar Jalan TAR.