
Penyanyi dan komposer popular, Aina Abdul tampil berkongsi kisah di sebalik konsep persembahan lagu Kamu yang dipersembahkan di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), Sabtu lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram, pemilik nama Nurul Aina Abdul Ghani itu menjelaskan bahawa persembahan tersebut bukan sekadar menampilkan elemen visual yang dramatik, sebaliknya membawa naratif tentang luka, pengkhianatan serta kekecewaan yang dipendam sekian lama.

‘Kamu’ lahir daripada luka yang diberi suara
Menurut Aina, lagu tersebut menjadi medium untuk meluahkan emosi yang selama ini tersimpan, khususnya berkaitan pengalaman dikhianati dan kemarahan yang akhirnya tidak lagi mampu dibendung.
“Kamu bukan sekadar sebuah lagu. Ia adalah luka yang akhirnya diberi suara.
“Sebuah pengkhianatan yang membakar, kemarahan yang lama dipendam & kekecewaan yang meletus seperti gunung berapi selepas terlalu lama hati memilih untuk diam,” tulisnya.

Busana ibarat gunung berapi menunggu masa untuk meletus
Bukan hanya persembahan, busana yang digayakan Aina pada malam tersebut turut mempunyai makna tersendiri.
Jelasnya, rekaan daripada pereka fesyen Melinda Looi menggambarkan dirinya sebagai sebahagian daripada gunung berapi yang sedang menunggu masa untuk meletus.
“Busana ciptaan Melinda Looi pula menjadikan Aina Abdul sebahagian daripada kalangan gunung berapi yang menunggu masa untuk meletus.

“Gambaran hati dan jiwa yang tertusuk akibat dikhianati. Ia indah pada pandangan, namun menyimpan luka di sebaliknya.
“Melalui konsep ini, gunung berapi menjadi metafora kepada perjalanan emosi dalam “KAMU” sesuatu yang bermula jauh di dalam, terus membara dan akhirnya meletus sebagai sebuah kuasa yang tidak dapat dibendung,” kongsinya.

Sekali gus menjawab persoalan ramai
Perkongsian tersebut secara tidak langsung menjelaskan maksud di sebalik konsep persembahan Aina, termasuk elemen gunung berapi yang menjadi antara perhatian ramai pada malam AJL40.
Jika dilihat secara keseluruhan, konsep berkenaan seolah-olah menggambarkan perjalanan emosi yang bermula dengan luka dan kemarahan sebelum akhirnya mencapai kemuncak dalam bentuk sebuah persembahan yang penuh tenaga.

Bawa pulang dua pengiktirafan
Pada malam kemuncak AJL40 itu, Aina turut mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik, sekali gus membawa pulang wang tunai RM12,000 serta trofi.
Tidak berhenti di situ, pelantun lagu Sumpah itu turut menerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee yang menawarkan hadiah wang tunai RM50,000.
Lebih manis, Aina juga bakal membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa apabila diberi peluang mewakili negara di Pertandingan Lagu Eurovision (Eurovision Song Contest).

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

















