
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama (CEO) Huda Beauty, Huda Kattan membuktikan bahawa wanita juga boleh mencapai kecemerlangan dalam dunia perniagaan antarabangsa setelah secara rasmi berjaya membeli semula pegangan ekuitinya bagi jenama kecantikan Huda Beauty yang diasaskan olehnya sendiri.
Huda, 41 sekaligus mendapat semula kawalan penuh ke atas jenama tersebut. Dalam satu kenyataan media, beliau berkongsi bahawa beliau kini lebih teruja untuk komited berbanding sebelum ini untuk meneroka cabang-cabang baharu menerusi Huda Beauty.
“Mengambil semula pemilikan penuh Huda Beauty adalah detik yang sangat penting bagi saya. Ia menunjukkan bahawa saya dan mana-mana pengasas lain boleh memiliki segala kuasa yang diperlukan untuk mengubah dunia dengan usaha sendiri,” katanya.
Umum mengetahui, untuk mencipta sebuah empayar perniagaan di peringkat global terutamanya dalam industri produk kecantikan dan penjagaan diri yang cukup sengit saingannya, seseorang pengasas perlu mencipta jalinan kerjasama melalui penjualan ekuiti kepada syarikat gergasi.
Huda Beauty juga tidak terkecuali daripada berbuat sedemikian apabila mereka menjalin kerjasama selama lapan tahun bersama TSG Consumer Partners (TSG Consumer). Pada tahun 2017, TSG Consumer telah memperolehi pegangan minoriti dalam syarikat Huda Beauty dan kerjasama tersebut berjaya membolehkan Huda Kattan membina empayarnya di seluruh dunia.
Dek kejayaan dan strategi perniagaannya, Huda dan pasukan Huda Beauty berjaya melakukan sesuatu yang cukup menginspirasikan dan kini secara bangganya boleh menggelar diri mereka sebagai sebuah syarikat yang bebas sepenuhnya daripada ‘cengkaman’ konglomerat.
Sebagai konteks, pencapaian Huda ini jarang sekali dimiliki oleh mana-mana pengasas jenama kecantikan atau jenama fesyen. Kini, Huda Beauty boleh bergerak secara lebih bebas untuk mengukuhkan dedikasi syarikat itu terhadap inovasi, keaslian dan komuniti pembelinya yang amat dihargai oleh mereka.
Sekadar info tambahan, Huda Kattan dilahirkan di Oklahoma, Amerika Syarikat bersama tiga adik-beradik oleh ibu bapa mereka yang berasal dari Iraq. Huda kemudian melanjutkan pengajian dalam jurusan kewangan di University of Michigan-Dearborn.
Setelah cuba untuk bekerja dalam bidang berkenaan usai menamatkan pengajian, Huda mengambil keputusan untuk berhenti dan memulakan kerjaya baharu sebagai jurusolek selebriti Hollywood and as they say, the rest is history.
Tahniah Huda Kattan!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.