Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa anak muda negara ini mampu bersaing di pentas antarabangsa! Nama Genivan Genkeswaran, pemain catur muda berusia 16 tahun, kini menjadi bualan ramai selepas berjaya menjuarai Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 (2025) yang berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia.
Dalam kejohanan yang menghimpunkan peserta dari 16 negara termasuk kuasa besar catur seperti China, India, Rusia, Indonesia, Korea, Singapura, Vietnam dan Australia, Genivan Genkeswaran tampil mengagumkan dalam kategori Terbuka Bawah 17 Tahun (U17) dengan strategi permainan yang matang dan penuh ketenangan.
Genivan Genkeswaran Kini Bergelar FIDE Master!
Kemenangan luar biasa ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah melayakkan Genivan Genkeswaran menerima gelaran berprestij FIDE Master (FM), satu pengiktirafan rasmi oleh Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) kepada pemenang pingat emas bagi kategori U13, U15 dan U17.
Gambar tanpa tarikh ini menunjukkan prodigi catur Malaysia, Genivan Genkeswaran, 16, sedang bermain di Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 2025 di Ulaanbaatar, Mongolia, di mana beliau memperoleh gelaran Fide Master. — Gambar ihsan Chess Master Journey.
Sebelum ini, Genivan telah memegang gelaran Candidate Master (CM), dan kini lonjakan ke status FIDE Master menjadikannya antara remaja paling berjaya dalam sejarah catur Malaysia.
Menurut kenyataan rasmi daripada Chess Master Journey, organisasi yang menaungi latihan Genivan, kejayaan ini adalah hasil tahun-tahun latihan intensif, disiplin tinggi dan semangat juang luar biasa.
“Gelaran FIDE Master ini menjadi pendorong buat Genivan untuk terus mara dalam mengejar cita-cita dan impiannya. Kami berharap beliau bukan sahaja berkembang sebagai pemain catur hebat, tetapi juga sebagai individu yang memberi sumbangan positif kepada masyarakat,” ujar Selvi Shanmugam, Pengurus Chess Master Journey.
Dari Papan Catur Sekolah Ke Pentas Dunia
Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 ini berlangsung dari 24 Oktober hingga 2 November 2025, dianjurkan oleh Persekutuan Catur Mongolia (Mongolian Chess Federation) di bawah naungan Persekutuan Catur Asia (ACF) dan FIDE.
Ads
Pertandingan ini menampilkan pelbagai kategori dari Bawah 7 hingga Bawah 17 tahun, dengan sembilan pusingan intensif yang menguji keupayaan taktikal dan daya fokus setiap pemain muda.
Kejayaan Genivan Genkeswaran menewaskan lawan-lawan dari negara yang terkenal dengan tradisi catur kuat menjadikannya simbol kebangkitan baharu Malaysia dalam dunia catur Asia.
Ads
Inspirasi Buat Generasi Remaja Malaysia
Kisah kejayaan Genivan Genkeswaran membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan antarabangsa. Dalam dunia yang sering menyanjung populariti dan hiburan, Genivan menunjukkan bahawa kecerdasan, strategi dan disiplin minda juga mampu membawa seseorang ke puncak kejayaan.
Genivan Genkeswaran
Kemenangan ini turut membakar semangat komuniti catur tempatan serta menginspirasikan pelajar Malaysia untuk menyertai sukan berasaskan minda. Dengan bimbingan berterusan, tidak mustahil Malaysia bakal melahirkan Grandmaster pertama dalam kalangan remaja satu hari nanti!
Harapan Baharu Dunia Catur Malaysia
Dengan gelaran FIDE Master yang kini disandang, Genivan Genkeswaran dijangka akan mewakili Malaysia dalam lebih banyak kejohanan antarabangsa selepas ini. Kejayaannya juga memberi sinar baharu kepada pembangunan bakat muda dalam sukan minda — selari dengan usaha memperkukuh nama Malaysia di pentas global.
🇲🇾 Tahniah, Genivan Genkeswaran! Kau bukan sahaja pahlawan papan catur, tapi juga inspirasi buat seluruh remaja Malaysia untuk berani berfikir besar dan melangkah jauh.
Insiden kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights Puchong pada hari ini tidak dianggap sekadar isu tempatan semata-mata tetapi merupakan satu isu keselamatan awam yang harus disiasat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Semenyih, YB Nushi Mahfodz menerusi hantaran di akaun rasmi Facebook sebentar tadi berkata, adalah amat mengejutkan apabila penduduk memaklumkan kerja pengorekan menggunakan jentera berat telah bermula di kawasan berisiko tinggi di sana seawal 1 Syawal.
Ini berikutan tular tangkap layar mesej WhatsApp yang didakwa merupakan perbualan sesama penduduk Putra Heights Puchong. Tinjauan terhadap paparan mesej itu mendapati wujud amaran awal mengenai pencerobohan rizab Petronas sebelum kejadian pada Selasa.
Penyampai mesej itu turut memaklumkan tentang pembinaan bangunan di lokasi itu yang dibimbangi akan mencetuskan letupan besar.
Biarpun kesahihan tangkap layar mesej itu belum dapat dipastikan – sekiranya benar – Nushi Mahfodz berkata ia adalah satu bentuk kecuaian yang harus disiasat.
“Di lokasi sebegini, setiap kerja pengorekan wajib disertakan dengan Job Safety Analysis (JSA) yang lengkap – meliputi pemetaan paip, penilaian risiko, serta kehadiran penyelia bertauliah.
“Jika tiada JSA atau pematuhan terhadap protokol keselamatan, itu bukan sekadar kecuaian kecil – itu adalah pelanggaran serius terhadap tatacara kerja selamat dan boleh dianggap jenayah terhadap keselamatan awam.
“Sekiranya benar berlaku pencerobohan ke atas rizab Petronas, ini bukan isu teknikal semata-mata. Ini adalah kelalaian yang mencabuli keselamatan rakyat dan mendedahkan kelemahan sistem kawal selia di peringkat pelaksanaan,” catat Nushi.
Nushi Mahfodz
Tambah beliau, sekiranya dakwaan itu benar, kontraktor yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pembinaan tersebut wajar disiasat secara telus bahkan tindakan undang-undang perlu dikenakan tanpa kompromi.
Tragedi ini baginya juga perlu dijadikan satu titik perubahan dan bukan sekadar satu lagi berita yang akan dilupakan.
Terdahulu, media melaporkan seramai 112 mangsa membabitkan 49 buah kediaman telah terkesan kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas Petronas sepanjang kira-kira 500 meter.
Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah sah bercerai talak satu buat kali kedua dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Khamis.
Menerusi laporan media tempatan, penyanyi lagu popular Sayang Sayang itu melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat pada jam 1.10 petang.
Peguam syarie, Azmi Mohd Rais memaklumkan anak guam yang diwakilinya, Bella, dalam keadaan suci dan tidak mengandung semasa prosiding berlangsung.
“Saya Muhammad Aliff bin Aziz menceraikan isteri saya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah dengan talak satu hari ini,” katanya.
Hakim Syarie Wan Mohd. Najib kemudian mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Bella menjalani tempoh idah selama tiga bulan dan mendaftarkan perceraian mereka.
Selain itu, Mahkamah Rendah Syariah memaklumkan tiada ruang untuk Bella dan Aliff untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga mereka susulan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu.
Ia kerana, Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang telah dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu dan kewujudan pihak ketiga.
Terdahulu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon Ruhanies di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Pada 11 Mac lalu, Bella telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Aliff atas antaranya alasan sudah tiada lagi persefahaman dan mawaddah (cinta dan kasih sayang).
Sekadar info, Bella dan Aliff telah mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, dan Ara Adreanna.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Satu insiden tragis menggemparkan Indonesia apabila sebuah pesawat jenis ATR 42-500 yang membawa seramai 11 individu dilaporkan terhempas.
Menurut laporan, pesawat malang itu terhempas di kawasan pergunungan terpencil yang terletak di puncak Gunung Bulu Saraung berhampiran Makassar.
Pesawat berkenaan yang dikendalikan oleh Kementerian Lautan dan Perikanan Indonesia dilaporkan hilang daripada radar ketika sedang terbang pada ketinggian rendah sebelum komunikasi terputus sepenuhnya.
Data penerbangan menunjukkan isyarat terakhir dikesan kira-kira 20 kilometer dari Lapangan Terbang Makassar, sebelum pesawat itu gagal dikesan.
Menurut laporan awal, pesawat tersebut membawa lapan kru serta tiga penumpang.
Rakaman yang kini tular di media sosial memperlihatkan serpihan pesawat yang hangus bertaburan di kawasan berbatu, dengan keadaan persekitaran berkabus tebal sekali gus menyukarkan operasi pencarian dan menyelamat.
Difahamkan, lokasi nahas yang terletak di kawasan pergunungan menyukarkan pasukan penyelamat untuk tiba dengan segera, memandangkan akses yang terhad serta faktor cuaca yang tidak menentu.
Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status mangsa mahupun punca sebenar kejadian.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!