Azzah Sultan di hadapan galeri Trotter and Sholler yang menjadi 'rumah' kepada pameran solo keduanya di New York berjudul 'Batu Belah, Batu Bertangkup' sehingga 26 Februari 2022.
Bukan mudah untuk seseorang artis seni visual muda mendapat peluang mempamerkan kreativiti serta skilnya menerusi pameran solo di galeri tempatan; apatah lagi untuk memperolehi peluang berbuat sedemikian di galeri antarabangsa.
Berdiri di atas bakat sendiri dan dek minat yang mendalam dalam dunia seni visual, gadis keturunan Malaysia yang dikenali sebagai Azzah Sultan baru-baru ini telah dihidangkan peluang untuk mengetengahkan karya seninya di Galeri Trotter & Sholer, New York menerusi pameran solo keduanya.
Bercakap kepada REMAJA sewaktu dihubungi baru-baru ini, Azzah menggambarkan peluang ini telah lama didambakannya sejak minat terhadap dunia artistik berputik pada usia kanak-kanak.
Azzah dibesarkan dalam persekitaran berbeza; dilahirkan di Abu Dhabi dan kemudiannya dibesarkan di beberapa buah negara termasuklah Malaysia, Arab Saudi, Finland, Bahrain sebelum akhirnya berkelana di Amerika Syarikat. Boleh dikatakan sepanjang kehidupannya dihabiskan dengan peluang merantau. Enggan melupakan jati diri, Azzah sebaliknya lebih menghargai budaya serta tradisi yang dimilikinya sebagai seorang yang berjiwa Malaysia.
“Saya berpindah ke New York pada usia 16 tahun sebagai penuntut jurusan Seni Halus di Parsons. Dari situ saya mengembangkan potensi saya sebagai seorang artis seni visual hingga menamatkan pengajian Sarjana dalam jurusan Seni Halus di Washington State University pada tahun 2020.
“Saya kemudiannya kembali ke kota New York dan di sinilah saya berpeluang mengadakan pameran solo pertama saya bersama galeri Trotter and Sholler sewaktu pandemik melanda. Pada waktu sama, saya tidak berhenti daripada mengambil tugas sebagai seorang guru seni dan turut meneruskan residensi bersama Pioneer Works,” kongsinya sewaktu dihubungi.
Ads
Azzah menggambarkan keputusannya untuk berkecimpung dalam dunia seni visual ini tidak selalunya indah. Sekiranya di Malaysia, bidang seni halus kadangkala diperlekehkan sebagai bidang ‘tiada kepentingan’, situasi sama tidak jauh berbeza di New York.
Selalunya, remaja hilang segala keyakinan diri untuk memilih seni sebagai cabang kerjaya memandangkan banyak kata-kata negatif di sekeliling yang berbisik jalan yang dipilih ini tidak mungkin dapat menjamin kehidupan yang selesa.
Namun jika korang rajin mencari peluang dan bijak mengatur langkah sebagai seorang artis seni visual, dalam diam rupanya ada banyak dana serta sumber di luar sana yang boleh membantu seseorang mengejar impiannya.
Contoh paling jelas yang dapat REMAJA kongsikan adalah bagaimana Azzah berjaya muncul dengan pameran seni solo keduanya berjudul Batu Belah, Batu Bertangkup sejak 20 Januari lalu.
“Kisah dongeng Batu Belah, Batu Bertangkup adalah antara kisah yang selalu saya dengari ketika kanak-kanak. Dalam kisah sebegini, perhubungan di antara ibu dan anak perempuan sering digambarkan sebagai bermasalah dan tragis. Ibu pula selalu dilabel sebagai watak jahat.
“Namun menerusi pameran Batu Belah, Batu Bertangkup ini, saya telah singkapkan lapisan yang lebih kompleks dalam konteks figura seorang ibu. Ibu di sini saya gambarkan sebagai seorang insan yang terpaksa melalui kepayahan dan trauma yang dirasainya selama ini terserlah menerusi tingkah lakunya.”
“Mak, don’t talk like that” Azzah Sultan 2021-2022, Oil on canvas with hand stitched fabric. 48 x 48 in. Foto : Instagram @sitisultan
“Saya ingin pemerhati merasai betapa terusiknya emosi sang ibu yang bertanggungjawab ke atas anak perempuannya. Permulaan pameran Batu Belah, Batu Bertangkup ini seakan diceritakan dari sudut pandang seorang ibu. Barulah kemudiannya saya mengubah kepada perspektif sang anak pula pada bahagian kedua pameran.
Ads
“Pada lukisan terakhir saya yang berjudul Not My Burden To Bear, anak perempuan tadi tersedar bahawa dia tidak berdiri di bawah bayang-bayang ibunya tetapi dia ialah insan yang boleh membuat keputusan sendiri. Dari situlah baru si dia dapat melupakan tragedi lampau dan ‘move on’,” jelas Azzah.
“Don’t forget what I’ve told you” Azzah Sultan 2021-2022, Oil on canvas with hand stitched fabric and found pearls. 48 x 48 in. Foto : Instagram @sitisultan
Bagi Azzah, pemilihan kisah dongeng Melayu sebagai inspirasi utamanya adalah demi membuatkan gadis muda mudah memahaminya.
Mana-mana anak gadis di luar sana mempunyai figura ibu dalam hidup mereka. Azzah enggan lagi membiarkan naratif negatif yang sama setiap kali perhubungan antara ibu dan anak perempuannya dijadikan sebagai inspirasi.
Sebaliknya, menerusi Batu Belah, Batu Bertangkup; Azzah inginkan pemerhati wanitanya merasai betapa hebatnya diri mereka sebagai seorang individu. Si anak bukanlah 100 peratus bayangan siapa gerangan ibunya. Masing-masing ialah insan berbeza. Jika seseorang itu berjaya, ia adalah hasil usahanya. Jika seseorang itu bersalah, ia adalah tanggungjawab yang harus dipikulnya dan bukannya meletakkan kesalahan itu ke atas ibunya.
“Kisah Batu Belah, Batu Bertangkup semakin dilupakan oleh generasi baharu. Oleh itu, ini adalah cara saya untuk mengembalikannya menerusi konteks yang lebih moden dan segar,” simpul Azzah.
Situasi ‘full house’ sewaktu malam pelancaran pameran ini pada 20 Januari 2022. Foto : Instagram @sitisultan
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Seramai 1,727 pelajar baharu telah mendaftar masuk ke Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh bagi sesi pengajian 2025/2026 hujung minggu lalu, namun apa yang menarik perhatian ramai ialah kehadiran tiga pasangan kembar yang turut menjadi sebahagian daripada warga baharu institusi ini!
Menurut Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PUO, Mohd Fakrul Razi Jamaluddin, kesemua pelajar terbabit berusia 18 tahun dan memilih PUO sebagai destinasi untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang.
Antara pasangan kembar yang mencuri tumpuan ialah, Nurul Syafriend dan Nurul Syafrieza Nasarudindari Rawang, Selangor yang memilih Diploma Pengajian Perniagaan, Saw Xin Ying dan Saw Xin Yi yang mendaftarkan diri dalam Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) dan D. Sharran dan D. Sharaniepula memilih untuk menyambung pengajian dalam Diploma Perakaunan.
“Pasangan kembar itu menyerikan lagi suasana pendaftaran dan mencerminkan tarikan PUO sebagai institusi pendidikan tinggi dalam Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama,” ujar Mohd Fakrul Razi dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, PUO terus mencipta rekod cemerlang apabila berjaya mencapai 100 peratus pendaftaran pelajar baharu untuk sesi ini, dengan 914 pelajar mendaftar secara rasmi pada 26 Julai, manakala 813 pelajar lagi mendaftar keesokan harinya.
“Seluruh warga kerja PUO menyambut pencapaian 100 peratus ini dengan penuh semangat.
“Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan ibu bapa dan pelajar terhadap kualiti pendidikan serta persekitaran kondusif yang ditawarkan oleh PUO,” katanya lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kata penguat ialah kata yang digunakan bersama-sama kata adjektif. Fungsinya adalah untuk memberikan penekanan kepada maksud kata adjektif tersebut. Kata penguat boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu kata penguat hadapan, penguat belakang dan penguat bebas.
(a) Kata Penguat Hadapan
Kata penguat hadapan terletak di hadapan kata adjektif dan tidak boleh hadir di belakang kata adjektif. Kata penguat hadapan tidak boleh hadir secara serentak dengan kata penguat belakang dalam satu ayat. Contoh:
Jalan raya ke kampung itu agak sempit.
Zakri paling tinggi di dalam kelas tersebut.
Ibu cukup marah dengan kejadian yang menimpanya semalam.
Fauzi terlalu kerap berbohong.
Adiknya kurang bijak berbanding Kefli.
(b) Kata Penguat Belakang
Kata penguat belakang hadir di belakang kata adjektif dan tidak boleh hadir di hadapan kata adjektif. Kata penguat belakang tidak boleh hadir secara serentak dengan kata penguat hadapan dalam satu ayat. Contoh:
Indah nian pemandangan di tepi pantai Teluk Cempedak.
Ramai benar pelajar yang hadir pada pameran lukisan itu.
Suasana di rumah banglo itu sunyi sekali.
Teruk betul suasana di pasar malam tersebut.
(c) Kata Penguat Bebas
Kata penguat bebas boleh hadir sama ada di hadapan kata adjektif atau di belakang kata adjektif. Kata penguat bebas juga boleh hadir secara serentak. Kata penguat bebas boleh hadir bersama-sama kata penguat belakang tetapi tidak boleh hadir bersama-sama kata penguat hadapan. Contoh:
Pengetahuan yang dimiliki oleh guru itu amat luas.
Jiwanya sangat tertekan dengan kejadian itu.
Paras rupa gadis itu sungguh cantik.
Rumah banglo di lereng bukit itu besar amat.
Benci sungguh saya melihat wajah orang tua yang miang itu.
Restoran di tengah bandar itu amat sangat selesa.
Sangat indah nian pemandangan di lereng bukit Cameron Highlands.
Sungguh kacak sekali anak lelaki saya apabila berbaju Melayu.
Kata penguat juga boleh digunakan pada kata adjektif yang berfungsi sebagai kata kerja. Contoh penggunaan dalam ayat adalah seperi yang berikut:
Mereka sekeluarga sangat bersedih atas kematian ibu mereka.
Sejak diisytiharkan muflis, Azmin sangat berjimat.
Mira sangat berdukacita kerana ditinggalkan oleh kekasihnya.
Penggunaan kata penguat yang salah adalah seperti yang berikut:
Terlalu benci amat saya kepadanya ( x )
Cukup memilukan sungguh peristiwa itu. ( x )
Begitu sakit benar gigi saya. ( x )
Ayat (1) salah kerana kata penguat hadapan yang membawa maksud paling (terlalu) tidak boleh hadir dengan kata penguat bebas (amat), manakala Ayat (2) salah kerana penggunaan kata cukup (penguat hadapan) hadir secara serentak dengan penguat bebas (sungguh). Kehadiran kata penguat hadapan dengan penguat belakang secara serentak juga tidak dibenarkan seperti dalam contoh ayat (3) iaitu “begitu” (penguat hadapan) dan “benar” (penguat belakang).
Kesimpulannya, kehadiran kata penguat untuk membantu menegaskan sesuatu kata adjektif dalam ayat haruslah diteliti dari segi fungsinya agar kita tidak meletakkannya di tempat yang tidak sepatutnya. Setiap kata penguat itu mempunyai fungsi dan peranannya yang tersendiri.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh DR. HAJAH NOOR ZILA BINTI MD. YUSUF
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Jaguh lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly menghadiahkan emas keempat buat kontinjen Malaysia di Sukan Para Asia Hangzhou 2022, sekali gus melengkapkan koleksi kilauan pingat ketiga berturut-turutnya di temasya empat tahun sekali itu, semalam.
Pada aksi di Stadium Pusat Sukan Huanglong, pemenang pingat emas dua kali Sukan Paralimpik 2016 dan 2020 itu, melakukan lompatan terbaiknya pada percubaan keempat dengan 7.18 meter (m), selepas melakukan 7.08m pada percubaan pertama bagi acara lompat jauh lelaki T20.
Mengiringi kejayaan podium, rakan senegara Zulkifly Abdullah yang meraih gangsa dengan lompatan terbaiknya 6.48m, dilakukan pada percubaan keempat selepas melakukan 5.91m pada percubaan ketiga.
Sementara itu, pingat perak diraih wakil Arab Saudi Hassan Nasser Dawshi, yang melakukan lompatan 6.80m pada percubaan keduanya.
“Syukur sebab dapat pertahankan pingat emas ketiga pada Sukan Para Asia ini…Saya memang sasar untuk emas sahaja, tidak memikirkan soal membuat rekod lompatan baharu,” katanya.
Beliau dalam masa sama mengakui tidak berada di prestasi terbaiknya, biarpun mendominasi saingan acara lompat jauh T20 sebentar tadi.
“Saya hanya guna 50 peratus tenaga sahaja, saya ada misi lagi untuk tahun depan termasuk Kejohanan Dunia dan Sukan Paralimpik 2024 Paris,” katanya.
Terdahulu, jaguh lontar peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli menghadiahkan emas ketiga kontinjen negara, selepas muncul juara acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual).
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
KREDIT FOTO: BERNAMA
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!