
Terdapat pelbagai bentuk kata atau frasa penanda khusus yang digunakan dalam penulisan surat rasmi. Hal ini membezakan antara surat kiriman rasmi dengan surat kiriman tidak rasmi. Penggunaan frasa penanda ini berbeza-beza mengikut jenis surat. Antara beberapa frasa penanda berserta contoh ayat adalah seperti yang berikut:
(a) Penanda maklum
- Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa…
- Dengan sukacita kami maklumkan bahawa…
- Seperti yang tuan sedia maklum…
(b) Penanda matlamat
- Untuk tujuan tersebut, kami akan membekalkan …
- Untuk makluman pihak tuan, tujuan surat ini adalah untuk …
(c) Penanda penamat
- Sekian dimaklumkan.
- Sekian, terima kasih.
- Sekian untuk makluman dan tindakan tuan.
(d) Penanda pendapat
- Pada pendapat saya, cadangan tuan itu …
- Pada pandangan kami, perkara itu …
- Saya berpendapat bahawa …

(e) Penanda penghargaan
- Kerjasama yang diberikan sangat dihargai dan diucapkan …
- Kerjasama tuan didahulukan dengan ucapan terima kasih.
(f) Penanda penyertaan
- Bersama-sama ini saya sertakan …
- Bersama-sama ini dilampirkan …
(g) Penanda perintah
- Tuan diingatkan supaya membawa bersama-sama …
- Kami berharap tuan dapat hadir …
- Tuan dinasihatkan agar hadir tepat pada …
(h) Penanda perwakilan
- Bagi pihak jabatan ini, saya mengucapkan …
- Saya, bagi pihak semua kakitangan jabatan ini …
(i) Penanda permintaan
- Tuan diminta melaporkan diri pada …
- Sudilah kiranya tuan hadir bagi meraikan …
- Kami amat berbesar hati sekiranya tuan dapat hadir …
(j) Penanda rujukan
- Berhubung dengan perkara di atas …
- Perkara di atas dirujuk …
- Merujuk perkara di atas …
(k) Penanda sambungan
- Lanjutan daripada surat saya yang bertarikh …
- Merujuk perbualan telefon antara …
(l) Penanda sebab-musabab
- Oleh hal yang demikian, kelewatan kami …
- Atas kesilapan yang tidak disengajakan itu, kami …
(m) Penanda sikap
- Pihak kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan …
- Kerjasama tuan diucapkan terima kasih.
Gunakanlah frasa penanda dengan betul agar penulisan surat rasmi kita lebih berkualiti.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh FARIDAH BINTI MOHAMAD SAAD
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tak Kisah Dilabel Kolot, Cikgu Tari Tular FAREES ASRI Pertahankan Seni Budaya Menerusi Lensa Media Sosial – Isu Digital Ogos 2023

Lambakan trend tarian K-Pop di media sosial kini sama sekali tidak memadamkan api semangat pempengaruh terkenal, Farees Asri dalam memartabatkan seni budaya warisan Melayu merentasi pelbagai platform media sosial. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023, Farees Asri.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gaya FZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teks ADRIANA SYAURAH jurufoto AKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan CHE WAN persalinan SUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Farees, 25 enggan membuang garam ke laut. Sewaktu ditemui pada sesi penggambaran hari itu, jejaka tinggi lampai ini percaya bahawa setiap individu berperanan memupuk anak bangsa agar menghargai budaya warisan nenek moyang dan tidak seharusnya dipandang enteng begitu sahaja.
Farees mula dikenali di platform Tiktok dek kerana video-video tarian tradisionalnya dengan kanak-kanak pada tahun 2019. Akui Farees, keunikan tariannya yang dicampur dengan tarian moden dan tradisional berjaya menarik minat warganet yang turut menggelarnya sebagai “Cikgu Kacak”.
Niat awalnya hanya sekadar untuk merakamkan kenangan bersama anak murid. Namun ia bertukar menjadi sumber kewangan apabila bilangan pengikut di media sosial mula meningkat. Dalam tempoh empat tahun, pempengaruh dan jurutari ini terus giat berkongsi video klip dirinya menari bersama rakan dan anak didik demi mempromosikan lagi keindahan seni tari tradisional secara meluas.
Titik Mula
Bermula dari usia semuda 5 tahun, Farees mengorak langkahnya untuk mempelajari seni tarian tradisional dan menyertai pelbagai pertandingan di peringkat dalam dan luar negara.
Sokongan keluarganya tanpa jemu selama ini menjadi pembakar semangat untuk kekal aktif menyumbang masa dan tenaganya kepada industri seni tari kebudayaan Malaysia.
“Dari kecil, ayah sudah menyedari minat saya lebih ke arah bidang tarian. Bahkan kalau ada sebarang pertandingan, mereka sekeluarga akan turun padang memberi sokongan kepada saya sejak dari bangku sekolah rendah,” jelasnya.

Menyelusuri perjalanan insan ini beralih dari seorang penari kepada koreografer, dirinya mula mengasah bakat menjadi guru tari pada usia 19 tahun. Ketika itu, Farees yang sedang melanjutkan pelajaran di UiTM Kampus Puncak Perdana dalam bidang pengurusan industri kreatif telah dihubungi oleh pihak sekolah untuk mengajar seni tarian tradisional kepada murid mereka.
“Sejak 2019, saya beralih kepada dunia koreografi danmenghantar anak murid ke pertandingan tarian tradisional. Alhamdulillah, mereka berjaya meraih tempat pertama selaku juara peringkat negeri selama lima tahun berturut-turut,” ujanya lagi.
Begitupun, Farees enggan dikenali hanya sebagai seorang penari lantas turut bergiat aktif sebagai seorang model dan pelakon iklan buat masa sekarang. Jelas kembar kepada naib juara Hero Remaja 2017 itu lagi, dia dan kembarnya Farhan Asri sangat berbeza dari segi minat dan personaliti.
“Saya dengan Farhan sangat berbeza. Dia lebih fokus kepada bidang sukan manakala saya lebih berminat dengan bidang kebudayaan. Bahkan kalau di bangku sekolah dahulu, Farhan selalu naik pentas kerana pencapaiannya dalam bidang sukan. Manakala saya pula naik pentas disebabkan pencapaian persembahan tarian ataupun menyandang anugerah pemenang nyanyian solo.
Demi Anak Bangsa
Demi mendidik anak bangsa, Farees kini berkhidmat sebagai guru tarian di Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin dan selalu berkongsi di media sosial momen-momen kelas bersama para penari cilik di sana mengenai keindahan seni tarian budaya.
Selaku koreografer, dia berjaya melakar sejarah dan momen indah buat anak didiknya apabila kumpulan tarian yang diketuainya memenangi pelbagai anugerah dalam Pertandingan Tarian dan Kombo Sekolah-Sekolah Menengah dan Rendah Peringkat Negeri Sembilan.
Antara piala yang dibolot mereka ialah Johan Kategori Sekolah Rendah, Anugerah Koreografi Terbaik Sekolah Rendah, Penari Terbaik Sekolah Rendah, Naik Johan Kategori Sekolah Menengah dan Anugerah Penari Perempuan Terbaik Sekolah Menengah.
Turut tidak dilupakan, insan berbakat ini aktif sebagai salah seorang penari tradisional utama kumpulan Nyala Dance Theatre di bawah naungan Khairulazhar Mokhtar.

Tradisional vs K-pop
Lambakan trend tarian K-Pop di media sosial pada zaman ini tidak dinafikan menjadi ikutan ramai. Biarpun mungkin ada segelintir masyarakat memandang seorang terhadap tarian tradisional malah melabelnya sebagai budaya kolot yang telah ditelan zaman, Fareesyang mempunyai 300,000 orang pengikut di laman TikTok tidak mudah terbuai dengan persepsi kurang enak itu. Malah, dia percaya bahawa generasi muda kini perlahan-lahan akan gemar memartabatkan budaya sendiri berbanding budaya luar sekiranya diberikan pendedahan menerusi platform meluas seperti media sosial.
“Saya tidak menyalahkan mereka. Kita ambil situasi ini sebagai cabaran. Saya merasakan kekurangan figura penyanyi yang sinonim dengan imej budaya tradisional menjadi salah satu faktor mengapa orang muda kini lebih memilih dunia rancak K-Pop berbanding kelembutan dan lenggok budaya tradisional kita sendiri,” jelasnya lagi.
Saya #RemajaMalaysia
‘Biar mati anak, jangan mati adat’
Itulah yang ditekankan oleh Farees kepada generasi muda zaman kini. Menyedari kekurangan bakat baru dalam industri seni tari kebudayaan percaya bahawa Saya #RemajaMalaysia merupakan inisiatif terbaik agar definisi anak muda yang menyedari tanggungjawab mereka sebagai pelapis seni budaya Malaysia.
“Generasi muda zaman sekarang perlu lebih aktif dalam memartabatkan seni budaya warisan nenek moyang kita. Mereka adalah insan penting yang seharusnya membangunkan lagi industri seni kebudayaan. Kalau bukan kita sendiri, siapa lagi?” simpulnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Tidak Perlu Berhutang Untuk Nampak Mewah,” Khairul Aming Selesa Kekalkan Gaya Hidup Sederhana Walaupun Raih Pendapatan Tinggi

Terbaru perkongsian pempengaruh terkenal, Khairul Aming berkenaan gaya hidupnya yang sederhana menjadi perhatian ramai. Berkongsi menerusi laman sosial TikTok, personaliti media sosial yang kini berusia 32 tahun itu berpesan tidak perlu berhutang demi kemewahan dan perlu membuat keputusan bijak dalam berbelanja.
Mengusahakan perniagaan sambal hingga memiliki dua buah kilang, Khairul Aming menafikan memiliki hidup mewah ketika bekerja sebagai jurutera industri minyak dan gas sebelum ini.
Menurut Khairul Aming atau nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman, walaupun gaji permulaan industri berkenaan besar, beliau memilih bersederhana kerana tanggungjawab kepada keluarga.
@khairulamingfans_ Qana’ah. Semoga kita semua dikurniakan sifat Qana’ah dalam diri iaitu sentiasa berasa cukup & bersyukur dengan nikmat yang kita ada sekarang 🤲🏻 @Khairulaming #khairulaming #khairulamingfans #sambalnyet #dendengnyetberapi #quotes #islam #qanaah ♬ original sound – Fans KhairulAming
“Orang kata kerja oil and gas mesti stabil. Oil and gas memang ada gaji permulaan yang orang kata ‘sihat’, tapi dia ‘sihat’ kena tengok tanggungan juga.
“Kalau kau menanggung seluruh keluarga tidak cukup juga,” katanya.
Khairul Aming malah mengimbas kembali kehidupan awalnya yang membesar dalam keluarga sederhana.
Bapanya bekerja sebagai pekerja kontrak kerajaan manakala ibunya hanya menjual kuih-muih.

“Dari kecil sampailah besar, saya jual kuih. Situasinya, saya duduk Kuala Lumpur. Kena tanggung kos rumah sewa, kereta untuk keluarga. Saya juga menanggung ibu bapa. Jadi simpanan pun sedikit, dalam RM100 atau RM200 sebulan,” ujarnya.
Ramai yang mempersoal tindakannya tidak bermewah biarpun sudah mencapai status jutawan namun Khairul Aming mempunyai alasannya tersendiri.
“Orang kata kenapa tidak bermewah-mewah? Bila dalam keadaan yang mana duit itu cukup tetapi kamu berharap ada lebih. Apabila diberikan rezeki lebih, kamu tidak mahu lagi berada dalam keadaan itu.”
“Contohnya, kamu rasa hidup kalau ada gaji RM10,000 sebulan, semua masalah hidup akan hilang. Bila sudah capai RM10,000 sebulan, kau belanja RM9,500, tinggal RM500.”
“Memang tak cukup. Kamu rasa terbeban dan rasa kalau ada RM100,000 sebulan, hidup akan tenang. Tetapi apabila sudah dapat RM100,000 sebulan, beli pula kereta mewah dengan bayaran RM95,000 ribu sebulan dan yang tinggal hanya RM5,000. Kamu mula rasa tidak cukup lagi. Sampai ke sudah tidak akan habis,” katanya.

Justeru, graduan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Vanderbilt di Amerika Syarikat itu mengambil pendekatan lain. Walaupun jumlah pendapatan bertambah beliau tidak menaikkan perbelanjaan. Pesannya tidak perlu berhutang demi kemewahan agar kehidupan lebih tenang pada kemudian hari.
“Apa yang saya buat, saya naikkan pendapatan tapi kekalkan perbelanjaan sampailah ada satu jurang yang besar antara pendapatan dan perbelanjaan.”
“Ketika itu, barulah saya tingkatkan gaya hidup saya dengan mengambil sebahagian daripada pendapatan. Nak beli apa-apa, beli terus. Boleh bayar secara tunai. Tidak perlu hutang sangat, kamu boleh tidur dengan tenang,” tambahnya lagi.
“Itulah sebab kenapa tak upgrade sangat hidup. Ia adalah pendapat peribadi saya,” kongsinya.
Pada 2022, pempengaruh yang terkenal dengan tagline ‘What’s up guys’ itu mendedahkan belum memiliki rumah dan tidak membuat pinjaman peribadi manakala keretanya ialah Perodua Bezza biarpun mampu untuk memiliki lebih daripada itu. Katanya, beliau banyak melaburkan wang dalam perniagaan sambal dengan membeli aset yang diperlukan seperti mesin.
Sumber: Sinar Plus
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Penggunaan Huruf Condong Dalam Penulisan

Huruf condong atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai italic merupakan suatu bentuk tanda yang digunakan secara lazim dalam penulisan pada masa ini. Ada kalanya, huruf condong juga dikenali sebagai huruf miring. Secara amnya, huruf condong digunakan untuk menunjukkan kelainanan tentang apa-apa perkataan, frasa, istilah dan sebagainya dalam sesuatu teks.
Dari segi penggunaan huruf condong dalam penulisan, terdapat tiga fungsi utama huruf condong seperti yang berikut:
- Huruf condong digunakan untuk menulis nama atau judul buku, majalah dan akhbar. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:
- Rama suka membaca buku Tatabahasa Dewan.
- Majalah Pelita Bahasa keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka mendapat sambutan yang menggalakkan.
- Isu pemartabatan bahasa Melayu merupakan antara liputan berita dalam akhbar Berita Harian pada hari ini.
Dalam ketiga-tiga ayat di atas, perkataan yang dicondongkan ialah nama buku seperti dalam (a), nama majalah seperti dalam (b), dan nama akhbar seperti dalam (c).
- Huruf condong digunakan untuk menulis apa-apa perkataan, istilah atau ungkapan asing kecuali istilah atau ungkapan tersebut telah disesuaikan ejaannya mengikut bahasa Melayu. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:
- Negara Malaysia mengamalkan sistem common law yang ditinggalkan oleh British.
- Hibiscus rosa-sinensis ialah nama bagi bunga raya merah dalam bidang botani.
Dalam kedua-dua ayat di atas, perkataan yang dicondongkan ialah istilah asing, iaitu istilah undang-undang seperti dalam (a) dan istilah botani seperti dalam (b). Oleh itu, semua istilah asing dalam bahasa Melayu perlu dicondongkan semasa penulisan. Walau bagaimanapun, jika istilah asing tersebut telah dipadankan ejaannya mengikut sistem padanan ejaan bahasa Melayu, maka istilah tersebut tidak perlu lagi dicondongkan.
- Huruf condong digunakan untuk menekankan, menegaskan atau mengkususkan apa-apa huruf, perkataan, frasa, ayat dan sebagainya. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:
- Bab ini tidak membincangkan huruf tebal.
- Berikan contoh penggunaan simpulan bahasa ayam tambatan.
Dalam kedua-dua ayat di atas, perkataan yang dicondongkan ialah perkataan yang diberi penegasan atau penekanan.
Semoga penerangan ringkas tentang penggunaan huruf condong dalam penulisan memberikan manfaat kepada pembaca.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh PROF. MADYA. DR. RAMALINGGAM RAJAMANICKAM
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

