
Gambar Hiasan AI
“Tetiba semua orang nak kurus. Tapi kali ini bukan dengan diet, bukan dengan senaman… tapi dengan jarum.”
Beberapa tahun kebelakangan ini, dunia menyaksikan satu fenomena luar biasa ubat diabetes seperti Ozempic dan Mounjaro kini menjadi simbol gaya hidup moden untuk mendapatkan tubuh langsing dengan cara paling cepat. Pada asalnya, kedua-dua ubat ini dicipta khas untuk membantu pesakit mengawal paras gula dalam darah. Namun kini, ia digunakan secara meluas oleh mereka yang mahu kurus tanpa berlapar dan tanpa bersenam.
Segalanya bermula apabila pesakit diabetes yang menggunakan Ozempic, ubat mengandungi bahan aktif Semaglutide, melaporkan penurunan berat badan mendadak sebagai kesan sampingan. Dari situ, kisah ini mula tular di media sosial daripada forum perubatan ke platform popular seperti TikTok dan Instagram.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia, hashtag #Ozempic kini mencatat lebih tiga bilion tontonan di seluruh dunia. Tidak lama selepas itu, muncul pula Mounjaro, ubat yang mengandungi Tirzepatide dan memberi kesan lebih kuat kerana bertindak terhadap dua hormon sekaligus.
Di luar negara, versi Mounjaro untuk penurunan berat badan dikenali sebagai Zepbound dan telah diluluskan oleh FDA sebagai rawatan obesiti. Namun di Malaysia, ubat ini hanya diluluskan untuk pesakit diabetes bukan untuk tujuan kurus.
Ubat seperti Ozempic dan Mounjaro meniru hormon semula jadi dalam badan yang menghantar isyarat kenyang kepada otak. Ia memperlahankan proses pengosongan perut, menyebabkan seseorang rasa kenyang lebih lama, lalu mengurangkan pengambilan makanan.
Apabila jumlah kalori yang diambil berkurang, berat badan pun menurun. Tapi penting untuk difahami bahawa ubat ini hanya bantu kawal selera, bukan ubah gaya hidup. Tanpa disiplin pemakanan dan aktiviti fizikal, berat yang turun boleh naik semula dengan cepat apabila ubat dihentikan.
Fenomena Ozempic semakin meluas apabila selebriti terkenal seperti Elon Musk mengaku menggunakan ubat ini. Ramai artis Hollywood tampil dengan tubuh lebih langsing hingga muncul istilah “Ozempic Face”, merujuk kepada wajah yang tampak cengkung akibat kehilangan lemak mendadak.
Di media sosial, influencer mula mempromosikan “pen ajaib” ini sebagai jalan pintas kurus tanpa diet. Ramai membelinya tanpa preskripsi doktor, tanpa pemeriksaan kesihatan, dan tanpa pengetahuan tentang kesan sampingan yang boleh membawa risiko serius.
Kesan sampingan ubat Ozempic dan Mounjaro tidak boleh dipandang ringan. Antara yang biasa dilaporkan termasuk mual, muntah, sembelit dan sakit perut. Namun ada juga kes yang lebih serius seperti pankreatitis, gangguan buah pinggang, dan hipoglisemia dalam kalangan individu bukan pesakit diabetes.
Lebih membimbangkan, apabila berat turun terlalu cepat, otot turut menyusut bukan lemak semata-mata. Bila ubat dihentikan, berat badan akan naik semula dengan cepat, fenomena ini dikenali sebagai Ozempic Rebound.
Selain risiko fizikal, trend ini juga menimbulkan tekanan imej tubuh (body image pressure), terutama dalam kalangan remaja dan wanita muda. Ramai yang mula berasa tidak cukup sempurna jika tidak kurus, hingga sanggup mengambil risiko kesihatan demi kelihatan cantik di media sosial.
Disebabkan permintaan tinggi, banyak farmasi di luar negara termasuk Malaysia mula mengalami kekurangan stok Ozempic. Akibatnya, pesakit diabetes yang benar-benar memerlukan ubat ini terpaksa menukar rawatan, dan ia menjejaskan kawalan gula darah mereka.
Fenomena ini bukan sekadar isu kecantikan, tetapi juga masalah kesihatan awam yang menunjukkan bagaimana tekanan sosial boleh menukar ubat penyelamat nyawa menjadi alat kosmetik.
Kurus bukan salah. Tapi bila “kurus cepat” jadi budaya, kita sedang mengubah maksud sebenar kesihatan. Ubat seperti Ozempic dan Mounjaro bukan penyelesaian jangka panjang, sebaliknya hanya alat bantu sementara.
Kesihatan sebenar datang daripada disiplin, gaya hidup sihat, dan cinta pada tubuh sendiri. Tanpa pemakanan seimbang, senaman teratur, tidur cukup dan pengurusan stres, tubuh akan menjadi lemah dan cepat tua walaupun nampak kurus di luar.
Jadi, sebelum ikut trend viral yang belum tentu selamat, tanya diri: adakah aku mahu sihat, atau sekadar mahu kurus cepat?
BACA LAGI : Trend Pipi Kurus Dan ‘Jawline’ Timbul. Bahaya Atau Tidak Buang ‘Buccal Fat’?
Sumber : Public Health Malaysia