Baru-baru ini, seorang graduan berusia 24 tahun, Fatini Alya Baharudin telah menyentuh hati ramai apabila keberaniannya melawan kanser kelenjar air liur mendapat penghormatan istimewa di Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-38. Ketika namanya disebut oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, seluruh dewan bergema dengan tepukan, tanda sokongan kepada pejuang muda yang tidak pernah berputus asa.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook rasmi UUM, Fatini atau lebih mesra disapa Tini, difahamkan menghidap kanser kelenjar air liur pada tahun 2021, ketika negara masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sejak itu, hidupnya berubah sepenuhnya. Tanpa kelenjar air liur yang berfungsi, beliau tidak lagi mampu menghasilkan air liur untuk makan, bercakap, atau menelan tanpa rasa sakit. Namun, di sebalik segala penderitaan, Tini memilih untuk terus melangkah.
Perjuangan Melawan Kanser Kelenjar Air Liur
“Saya sangat gembira sebab berjaya sampai ke tahap ini walaupun ada banyak dugaan, terutama pada awal semester,” ujar Tini sambil menahan sebak, mengimbas detik sukar sepanjang rawatan.
Sepanjang tempoh rawatan, Tini menjalani enam pusingan kemoterapi dan 30 sesi radioterapi di Hospital Pulau Pinang. Keluarganya menyewa rumah berdekatan hospital demi memudahkan ulang-alik setiap hari.
Walaupun tubuhnya semakin lemah, semangatnya tidak pernah padam. Beliau tetap membawa buku ke mana-mana, menelaah ilmu di antara waktu rawatan, bukti ketabahan luar biasa melawan kanser kelenjar air liur.
Ads
Kasih Keluarga Jadi Sumber Kekuatan
Anak bongsu daripada tiga beradik ini membuktikan bahawa semangat juang tidak pernah mengenal batas. Dengan segala kesakitan yang dilalui, beliau akhirnya berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3.59 — hadiah paling bermakna buat ibu bapanya. Ayahnya seorang tukang gunting rambut manakala ibunya seorang suri rumah, namun kasih dan doa mereka menjadi kekuatan utama dalam perjuangan Tini.
“Setiap kali keputusan keluar, mereka menangis gembira. Saya bukan pelajar terbaik, tapi bagi mereka, saya tetap hebat kerana berjaya sampai ke tahap ini,” ujarnya dengan penuh rasa syukur.
Kisah Tini bukan sekadar tentang sakit dan sembuh, tetapi tentang kekuatan jiwa seorang gadis muda yang enggan tunduk pada takdir. Beliau percaya setiap kesakitan datang bersama rahmat tersendiri, dan setiap kehilangan memberi ruang untuk menemukan kekuatan baharu.
“Jangan putus asa. Sakit bukan alasan untuk berhenti berjuang. Percaya pada doa, pada kasih keluarga, dan pada diri sendiri,” pesannya kepada mereka yang sedang bergelut dengan cabaran hidup.
Hari ini, Tini berdiri megah di pentas konvokesyen bersama keluarga tercinta, membuktikan bahawa walau tubuhnya tidak lagi sempurna, semangatnya tetap utuh. Beliau mungkin kehilangan ‘kilang air liur’, tetapi tidak pernah kehilangan harapan dan keberanian yang menjadikannya inspirasi buat ramai.
Kisah Fatini Alya Baharudin menjadi bukti bahawa kekuatan sebenar bukan diukur pada kesempurnaan fizikal, tetapi pada keupayaan untuk terus melangkah walau diuji sesukar mana sekalipun.
Sumber artikel & foto: FB UUM
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kata bilangan didefinisikan sebagai kata yang menyatakan banyaknya benda. Kata bilangan ada enam jenis; iaitu kata bilangan tentu, kata bilangan tidak tentu, kata bilangan himpunan, kata bilangan pecahan, kata bilangan pisahan, dan kata bilangan tingkat.
Kata bilangan tidak tentu terdiri daripada beberapa, banyak dan segala. Perbincangan pada kali ini hanya memfokuskan kata bilangan tidak tentu beberapa.
(a) Kata bilangan tidak tentu beberapa perlu diikuti oleh penjodoh bilangan apabila diikuti kata nama konkrit.
Contoh ayat:
(i) Beberapa pelajar atau beberapa orang pelajar?
Jawapan yang betul ialah beberapa orang pelajar. Seperti yang kita ketahui bahawa beberapa perlu diikuti oleh penjodoh bilangan (orang) untuk pelajar. Beberapa di sini membawa maksud sama ada dua, tiga atau lebih yang juga merujuk tidak tentu bilangannya.
(ii) Beberapa lembu atau beberapa ekor lembu?
Jawapannya tentulah beberapa ekor lembu. Beberapa diikuti oleh penjodoh bilangan (ekor) untuk haiwan yang tidak tentu bilangannya, sama ada dua atau lebih daripada sepuluh.
(b) Kata bilangan tidak tentu beberapa tidak diikuti oleh penjodoh bilangan apabila diikuti oleh kata nama abstrak.
Contoh ayat:
(i) Beberapa buah cadangan atau beberapa cadangan?
Jawapannya ialah beberapa cadangan. Cadangan itu ialah kata nama abstrak. Abstrak ialah kata nama tidak hidup seperti senyuman, pendapat, ganjaran dan lain-lain yang hanya dapat dibayangkan atau dikhayalkan. Justeru, kata bilangan tidak tentu beberapa tidak perlu diikuti oleh penjodoh bilangan sebaliknya memadai dengan kata nama abstrak sahaja.
(ii) Beberapa buah perkara atau beberapa perkara?
Sama jawapan di atas iaitu beberapa perkara sahaja. Beberapa perkara menunjukkan tidak tentu bilangan perkara yang hendak dibincangkan, sama ada dua perkara sahaja atau lebih daripada dua.
Diharapkan penjelasan tentang kata bilangan tidak tentu beberapa ini dapat dibezakan bagi menggelakkan kekeliruan penggunaannya dalam ayat.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh FARIDAH BINTI MOHAMAD SAAD
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Atlet golf muda negara, Muhammad Afham Othman baru-baru ini berjaya menempah slot ke Piala Dunia Remaja 2025 di Florida, Amerika Syarikat yang bakal berlangsung pada 3 hingga 5 Januari tahun hadapan.
Menurut jurulatih beliau, Dinie Zakie berkata ini selepas pemain berusia 13 tahun itu berjaya menduduki tempat kedua pada Kejohanan Golf Remaja Thailand yang berlangsung pada 8 hingga 10 November lepas.
“Saya sendiri tidak menyangka Afham boleh beraksi cemerlang pada kejohanan semalam sebab dia dalam peralihan teknik pukulan bila mana selalunya atlet yang berada di fasa ini sukar untuk menampilkan prestasi terbaik, tapi Afham mampu cipta kejutan”
Kredit: Awani
“Selain itu, kami mahu beri pendedahan kepadanya untuk bermain dengan pemain lain dan dia memberi tentangan sengit kepada pemain Korea dengan perbezaan satu par sahaja (pada pusingan ketiga),” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Muhammad Afham membuat kejutan di kejohanan tersebut dengan menamatkan saingan di tempat kedua, mencatat keseluruhan 6 atas par 114 pukulan di bawah pemain Korea Selatan Taeoh Ryu yang mengungguli saingan dengan catatan keseluruhan 5 atas par 112 pukulan, manakala tempat ketiga menjadi milik atlet Filipina Ralph Rian Woo Batican.
Kredit: Sinar Harian
Susulan itu, Dinie berkata Muhammad Afham masih belum membuat keputusan untuk menyertai Kejohanan Remaja Piala Dunia kerana mempertimbangkan kos perjalanan yang akan ditanggung untuk ke Amerika Syarikat.
Walau bagaimanapun, beliau berharap atlet kelahiran Kelantan itu dapat menyertai kejohanan berprestij itu untuk memperoleh pengalaman selain mengasah potensi Muhammad Afham serta bakal menyediakan beberapa program buat Muhammad Afham sebagai persediaan untuk beraksi di Florida kelak.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, pasukan Selangor Red Giants (SRG) berjaya mempertahankan gelaran juara Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MLBB) (MPL) Malaysia Musim ke-14 selepas menewaskan Vamos 4-2 di Kompleks Sukan EduCity, Johor pada 3 November lalu.
SRG dibarisi Mark Genzon Sojero Rusiana (kramM), Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Hazziq Danish (Stormie), Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (YumS) dan John Vincent Banal (Innocent).
Manakala, Vamos dibarisi Mohamad Zulhisyam Mohd Nor (Xorn), Muhammad Nazhan Mohd Nor (Chibi), Kenneth Sablande Barro (Nets), Aeliff Adam Md Ariff (Smooth) dan Rizky Agustian (Warlord).
Kredit: FB Selangor Red Giants EsportsKredit: FB Selangor Red Giants EsportsKredit: FB Selangor Red Giants Esports
Perlawanan pertama menyaksikan anak buah Michael Bocado atau lebih dikenali Coach Arcadia meraih keputusan 1-0 dalam aksi yang menggunakan format terbaik daripada tujuh.
Walau bagaimanapun, Vamos bangkit untuk mengikat juara Mid Season CupMLBB 2024 itu pada babak kedua, namun SRG mendominasi perlawanan pada perlawanan ketiga dan keempat dengan keputusan 3-1.
Anak buah Khairul Azman Mohd Sharif atau Pabz, bangkit pada perlawanan kelima yang menyaksikan Chibi meraih tujuh kill sekaligus menyekat SRG untuk menang mudah dengan keputusan 12 kill berbalas dua kill.
Kredit: FB Selangor Red Giants EsportsKredit: FB Selangor Red Giants Esports
SRG mengesahkan kejuaraan selepas menamatkan saingan 17 minit pada perlawanan keenam dengan keputusan 13 kill berbalas lapan kill untuk membawa pulang hadiah US$25,000 (RM109,450) manakala Vamos naib juara dengan hadiah wang tunai US$13,000 (RM56,795).
Sementara itu pemain SRG, Stormie dipilih Pemain Paling Bernilai (MVP) pusingan akhir dan membawa pulang US$1,000 (RM4,369)
Sekadar info, kedua-dua pasukan itu akan mewakili Malaysia di pentas Kejohanan Dunia MLBB M6 berlangsung di Kuala Lumpur bulan ini.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Khairul Aming diserbu peminat ketika hadir di Absolute Bazaar MITEC. Sikap mesra dan rendah diri beliau ketika melayan peminat turut meraih pujian netizen.