
Bintang filem antarabangsa, Fan Bingbing (44) baru-baru ini meraih perhatian apabila beliau secara rasmi bergelar Datuk selepas menerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. Penganugerahan ini sekali gus mengiktiraf sumbangan beliau dalam mempromosikan Melaka di mata dunia.
Memetik laporan Bernama, Fan juga memberi bayangan bakal kembali ke Melaka pada bulan September ini bagi satu projek baru dan kehadiran beliau dijangka akan memeriahkan sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
“Saya berharap dapat membawa lebih banyak cerita yang baik untuk Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, penganugerahan gelaran Datuk berkenaan bukan sekadar penghargaan, tetapi turut juga menunjukkan peranan besar Fan dalam menarik perhatian dunia terhadap sektor pelancongan negeri Melaka. Selain itu, populariti beliau di peringkat antarabangsa turut menjadi penyumbang besar untuk menarik pelancong untuk datang ke Melaka.
Pada tahun lalu, Fan telah dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka dan kehadiran tiga hari beliau pada Jun 2024 mencetuskan fenomena apabila mencatatkan lebih 1.2 bilion carian mengenai dirinya dan Melaka di seluruh dunia.
Sementara itu, Fan yang mempunyai lebih 63 juta pengikut di platform Weibo dan 4.1 juta pengikut di Instagram bukan sekadar seorang pelakon, tetapi ikon budaya China yang memberi pengaruh besar di peringkat global. Jadi tidak hairan jika pelakon filem ‘Ice Road: Vengeance’ itu menjadi perhatian ramai pihak dalam setiap langkahnya.

Selain filem dari China, Fan turut pernah membintangi beberapa produksi antarabangsa termasuk filem Perancis, Korea, dan menjadi wajah di kulit majalah Time pada 2017. Beliau pernah dinamakan antara 100 Orang Paling Berpengaruh pada tahun yang sama.
Kehadiran semula Fan ke Melaka kali ini pasti ditunggu-tunggu ramai, bukan sahaja peminat setia beliau, malah seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihat bagaimana kerjasama ini mampu melonjakkan lagi nama Melaka di mata dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

















