
Pelakon jelita, Ezzanie Jasny, berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaannya selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya bersama ibu bapanya baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Ezzanie menjelaskan insiden tersebut melibatkan dirinya yang mengalami kecederaan paling serius berbanding ibu bapanya.

“Saya hanya ingin menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku berkaitan kemalangan tersebut. Saya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya bersama ibu bapa saya.
“Alhamdulillah, ibu bapa saya berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami lebam ringan di bahagian tangan dan kaki,” katanya.
Menurut Ezzanie, ketika kejadian dia berada di tempat duduk belakang, di belakang pemandu, dan tidak pasti punca sebenar kecederaan yang dialaminya.

“Saya pula adalah yang paling terkesan. Ketika itu, saya duduk di bahagian belakang, di belakang pemandu, dan saya sendiri tidak pasti sama ada saya terhantuk pada cermin di sebelah kanan atau terhumban ke bahagian tali pinggang keledar.
“Disebabkan itu, saya telah ditempatkan di zon kritikal (zon merah) sepanjang malam,” kongsinya.
Bagaimanapun, Ezzanie bersyukur apabila keadaannya kini semakin baik dan menunjukkan perkembangan positif.

“Alhamdulillah, semuanya kini semakin reda. Saya sudah sedar sepenuhnya, kembali bertenaga dan sudah boleh berjalan semula. Kaki saya berfungsi dengan baik, cuma bengkak di bahagian muka masih ada dan datang secara berperingkat.
“Saya juga mengalami pendarahan di bahagian kepala, namun saya amat bersyukur dengan keadaan saya setakat ini,” tambahnya lagi.
Dalam perkongsian sama, Ezzanie turut memaklumkan perancangannya untuk ke London terpaksa ditangguhkan susulan kejadian tersebut.

“Saya sepatutnya berangkat ke London untuk satu perjalanan selama sebulan, namun mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini. Barangkali jika kemalangan ini tidak berlaku, sesuatu yang lebih buruk boleh terjadi ketika saya berada di sana.
“Jadi buat masa ini, perjalanan ke London terpaksa ditangguhkan. Insya-Allah kita bertemu lagi di lain masa,” tulisnya.
Walaupun mengakui berasa sedih kerana terpaksa melepaskan perancangan yang telah lama dinantikan, pelakon itu tetap reda dengan ketentuan Ilahi.
Di akhir hantaran, Ezzanie turut memohon doa daripada semua agar diberikan kesembuhan sepenuhnya serta menghargai sokongan yang diterima.

“Walaupun sedih untuk melepaskan sesuatu yang sangat saya nantikan, saya percaya dengan perancangan dan waktu yang telah ditetapkan oleh Allah. Segala yang berlaku pasti ada sebabnya.”
“Mohon doakan saya agar terus diberikan kesembuhan.
Terima kasih atas segala doa, keprihatinan dan kasih sayang yang diberikan. Ia amat bermakna buat saya,” katanya lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!











