
Hanya dalam tempoh 33 minit perlawanan, satu lagi pingat emas yang ditagih oleh rakyat Malaysia berjaya dituai daripada arena sukan badminton.
Pingat emas ketujuh negara di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 ini menjadi kenyataan menerusi beregu utama wanita, Pearly Tan – Thinaah Muralitharan. Ia setelah mereka mengenepikan saingan pasangan tuan rumah, Chloe Birch – Lauren Smith 21-5, 21-9 di National Exhibition Centre sebentar tadi.


ARTIKEL BERKAITAN : Tuah Nur Dhabitah, ‘Hadiahkan’ Perak Kedua Di Birmingham Buat Malaysia – REMAJA
Tekanan pastinya dirasai beregu wanita di kedudukan 11 dunia itu setelah pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong terlebih dahulu tewas kepada pemain India, Lakshya Sen hari ini dan hanya berupaya membutirkan satu pingat perak.
Namun sebaliknya, sosok duo ini langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi cemas dan tenang sahaja memberikan saingan. Dengan kejayaan Pearly dan Thinaah ini, Malaysia kini meraih tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.

Semalam, atlet gimrama negara, Ng Joe Ee telah menggembirakan rakyat Malaysia setelah mencapai sasaran pingat emas keenam yang diletakkan ke atas kontinjen negara untuk temasya kali ini.
BACA LAGI : Pelajar SMK Puteri Titiwangsa, Ng Joe Ee Cemerlang Sumbang 2 Pingat Emas Untuk Malaysia – REMAJA
Acara penutup Sukan Komanwel 2022 dijadualkan berlangsung di Stadium Alexander bermula jam 3 pagi (Selasa) waktu Malaysia, esok.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Diinspirasikan Daripada Kisah Nyata! ‘Bangkai’ Julang Cineman Pictures Sebagai Juara Sulung SeeNI X Remaja UniDrama

Baru-baru ini, pelajar dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila meraih gelaran juara dalam pertandingan SeeNI X Remaja UniDrama menerusi karya berjudul ‘Bangkai’ arahan pasukan Cineman Pictures.
Kemenangan tersebut bukan sekadar trofi semata-mata, tetapi menjadi bukti bahawa bakat muda dalam kalangan mahasiswa tempatan semakin berani bereksperimen dengan idea segar dan berani.
Diterajui oleh Ketua Projek, Wan Marissa Fadhal (22), pelajar Ijazah Sarjana Muda Sinematografi, produksi ini menghimpunkan seramai 25 kru dan pelakon yang berusia antara 22 hingga 25 tahun.


Menurut Marissa, ‘Bangkai’ mengangkat genre thriller dengan sentuhan elemen seram, yang mengetengahkan kisah sebuah komuniti kucing yang cuba membongkar misteri pembunuh kucing di institusi universiti mereka.
Difahamkan, idea tersebut bukanlah sekadar fiksyen kosong, sebaliknya diinspirasikan daripada kes sebenar yang pernah tular sebelum ini dan masih belum terjawab sehingga kini.
“Sebenarnya kami ambil inspirasi dari kes yang tular sebelum ini dan sampai sekarang masih belum selesai, jadi kami jadikan itu sebagai elemen dalam short drama kami,” katanya ketika ditemui pihak media selepas acara Watch Party SeeNI X Remaja UniDrama yang berlangsung pada 11 Februari, semalam.
Jelasnya, penyertaan mereka dalam UniDrama juga bukan satu kebetulan. Dalam kalangan pelajar FiTA sendiri terdapat beberapa pasukan produksi, namun Cineman Pictures antara yang paling aktif menyertai pertandingan dan festival. Projek ini turut menyatukan empat pasukan produksi dalam satu kelas, sekaligus memperlihatkan semangat kolaborasi yang kuat.

@remaja.my Menurut ketua kepada projek drama pendek ‘Bangkai’, Wan Marisa dan pasukan produksi beliau Cineman Pictures mengambil inspirasi berdasarkan kisah benar yang tular di media sosial✨ Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Filem (FITA) dari UiTM Puncak Perdana, Harith Baharudin berharap lebih banyak peluang yang diberikan kepada pelajar untuk memperluaskan bakat & kreativiti mereka di pelbagai platform sedia ada👏🏻 #MajalahRemaja #Remaja #Seeni #RemajaMalaysia #UNIDRAMA ♬ original sound – Remaja
Susulan itu, usaha tersebut nyata membuahkan hasil apabila ‘Bangkai’ bukan sahaja mencuri perhatian juri, malah dipuji atas kekuatan visual dan nilai produksinya.
Menurut Pengasas Komet Productions yang juga merupakan juri industri berpengaruh, Datuk Ahmad Izham Omar menyifatkan kekuatan utama sesebuah karya terletak pada penceritaannya.
“Daripada pandangan saya yang paling penting adalah cerita yang boleh menggerakkan hati penonton dan bagaimana kita dapat menanam rasa ingin tahu setiap karakter,” katanya.
“Bagi saya, kekuatan Bangkai memang pada production value dan production design. Walaupun shot secara vertical (menegak). Mood, pengarahan dan kerja kamera mereka memang bagus,” jelasnya.


@remaja.my Menurut salah seorang juri SeeNI X Remaja: UNIDRAMA, Datuk Ahmad Izham Omar berkata para pelajar yang berminat untuk menceburi industri filem wajar mengambil peluang menyerlahkan bakat dengan menyertai pertandingan seperti ini✨🎬 #MajalahRemaja #Remaja #Seeni #RemajaMalaysia ♬ original sound – Remaja
Pada masa yang sama, beliau turut menekankan kepentingan platform seperti ini sebagai medan latihan sebenar buat pelajar. Lebih lagi, penghasilan filem memerlukan kerjasama, hujah yang kukuh serta keupayaan menterjemahkan visi skrip kepada visual yang berkesan.
Sementara itu, bagi Pensyarah Kanan Program Filem UiTM Puncak Perdana, Harith Baharudin pula melihat mikro-drama sebagai trend semasa yang membuka ruang lebih luas kepada bakat baru.
Katanya, perkembangan platform digital mewujudkan ekosistem yang lebih inklusif, serta memberi peluang kepada pelajar untuk berkarya tanpa perlu menunggu lama untuk menembusi industri.
Bagi edisi sulung ini, kemenangan Bangkai dalam SeeNI X Remaja UniDrama jelas menjadi penanda aras baru buat pelajar FiTA UiTM Puncak Perdana. Menerusi kombinasi idea berani, semangat kolaborasi dan sentuhan teknikal yang matang, Cineman Pictures membuktikan bahawa generasi muda tempatan bukan sahaja mampu bersaing, malah bersedia mencorakkan masa depan industri kreatif tanah air.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Azeem Fahmi Menang Emas Pertama Di Amerika Syarikat. Cemerlang Dalam Bidang Sukan & Pelajaran

Nama Azeem fahmi cukup mekar dalam arena olahraga negara. Kejayaan anak jati Perak Darul Ridzuan dalam bidang pendidikan dan sukan menjadi inspirasi terbaik untuk anak muda negara.
Berjaya memperoleh 6A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan disokong dengan prestasi yang hebat dalam bidang sukan, Azeem menjadi buruan beberapa universiti terkemuka Amerika Syarikat yang menyaksikan dia memilih Auburn University yang terletak di Alabama sebagai pilihan.
Terbaharu, jejaka berusia 19 tahun ini berjaya merangkul pingat emas dalam acara 100-meter pada kejohanan Florida State University (FSU) Relays yang diadakan di Tallahassee, Florida, Amerika Syarikat hari ini.
Dia mencatat masa 10.32-saat jauh meninggalkan pesaing yang berada di tempat kedua iaitu Andre Ewers yang mencatat masa 10.49-saat dan Trei Thorogood yang mencatat masa 10.51-saat dari Syracuse University.

Azeem mula mencipta namanya apabila dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 100-meter dengan melakar catatan masa 10.09-saat pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun yang diadakan di Cali, Colombia.
Selain itu dia juga berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 60 meter yang dipegang Watson Nyambek hampir 24 tahun dengan catatan masa 6.63m di Kejohanan Texas Tech Open&Multi di Texas yang berlangsung awal tahun ini.
Imbas kembali, Azeem Fahmi sebelum ini pernah bersekolah di sekolah berasrama penuh Sekolah Tuanku Abdul Rahman sebelum berhijrah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat yang merupakan sebuah Sekolah Kluster Sukan bagi menumpukan perhatian dalam bidang Olahraga.
Kini di Auburn University, Azeem mengambil kursus dalam bidang Fisiologi Senaman dan Kinesiologi.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bertudung Labuh Bukan Penghalang Jadi Pereka Fesyen, Baiti Mohamed Terima Anugerah Gold UiTM Degree Show

Acara tahunan Pertunjukan UiTM Degree Fashion Show 2024 melabukan tirai baru-baru ini dengan menobatkan pelajar seni reka fesyen, Nur Baiti Mohamed sebagai pemenang anugerah Gold.
Baiti telah mengenepikan 51 orang pelajar lain yang turut menampilkan koleksi tiga rekaan lengkap masing-masing pada acara yang berlangsung di Shah Alam, tempoh hari. Anugerah Silver menjadi milik Muhammad Fikri Mahadi manakala Nur Nelisya Hazelya pula menyambar anugerah Bronze.

Koleksi Baiti telah diilhamkan daripada seni arca seramik ‘Comb Form’ rekaan artis Fenella Elms dan menampilkan kombinasi rona natural, pelbagai garisan serta pergerakan dengan menggunakan material seperti fabrik kanvas serta organza.
Kemenangan Baiti telah ditentukan oleh barisan juri terdiri daripada pengulas fesyen Zaihani; pereka fesyen/pensyarah Jasmi Rejab; pereka fesyen Rico Rinaldi dan pensyarah akademik, Muhammad Khalik.


Menariknya, bukan hanya koleksi Baiti yang mencuri perhatian warganet sejurus kemenangannya diumumkan. Malah, ramai juga tertarik dengan penampilan empunya badan sendiri yang berprinsipkan fesyen sederhana Muslimah sekaligus merobek stereotaip dunia fesyen yang acapkali sinonim dengan gaya pemakaian di luar kotak.
REMAJA menemubual Baiti bagi mendalami minat, usaha keras dan soal pemakaian baginya sebagai seorang pereka fesyen muda serta lebih utama, sebagai seorang remaja Muslimah.
REMAJA (REM): Bagaimana Baiti boleh tertarik untuk mengambil jurusan seni reka fesyen?
BAITI (B): Sebenarnya, saya minat menjahit baju-baju anak patung sejak umur 7 tahun. Mak ayah saya pun nampak minat dan kemahiran saya sehinggalah saya ambil subjek Ekonomi Rumah Tangga (ERT) di sekolah menengah.
Sesudah mengambil subjek sama untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pun putuskan untuk ambil jurusun Rekaan Fesyen kerana bagi saya, bakat yang ada seperti melukis dan menjahit itu saya hendak bentukkan lagi.
REM: Bagaimana penerimaan keluarga apabila Baiti luahkan impian untuk mengambil jurusan ini?
B: Keluarga saya positif sahaja. Mak ayah saya pun tidak menghalang apa yang minati sekarang kerana mereka faham minat serta kemahiran yang saya ada sejak awal usia. Menginjak usia remaja, impian mereka hanyalah agar saya boleh menjadi seorang pereka fesyen muslimah yang berjaya.

REM: Siapakah inspirasi & idola Baiti dalam bidang fesyen dan mengapa?
B: Saya tiada mana-mana individu tertentu sebagai idola dalam bidang ini. Cuma saya tertarik mengikuti kisah & gaya artis-artis yang telahpun berhijrah seperti Neelofa dan Lisa Surihani. Mereka bagi saya merupakan contoh yang baik untuk anak-anak muda.
REM: Kongsikan persediaan bagi menyiapkan koleksi Degree Show kali ini di bawah bimbingan Encik Faizal Hamid.
B: Persediaan untuk menyiapkan koleksi Degree Fashion Show ini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga mental. Tempoh persediaan terasa pendek (kerana) banyak cuti. Pensyarah juga menasihati agar kami memulakan rekaan pada cuti semester lagi demi menyiapkan empat pasang baju.
Ada pelajar yang sanggup tidak pulang ke kampung kerana memikirkan tidak sempat siap. Mentaliti kami hanya fikirkan kerja. Tidur itu pun memang tidak cukuplah tetapi kami enggan merungut kerana tahu, inilah pengorbanan untuk menempa kejayaan seperti yang pernah dilakukan oleh pensyarah kami sendiri serta alumni terdahulu. Saya jadikan itu sebagai motivasi diri.
Dari segi konsep di bawah bimbingan Encik Faizal Hamid, beliau sememangnya seorang yang banyak membantu malah mengambil berat terhadap setiap pelajar. Beliau akan selalu ingatkan sekuen model, idea yang banyak.. saya pun saya tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih kepada beliau.
REM: Bagaimana Baiti haluan sebagai seorang pereka fesyen selepas menamatkan pengajian?
B: Dahulu, saya pun tidak pasti sekiranya saya benar-benar bersedia untuk menceburi bidang perniagaan fesyen. Ya, ia satu bentuk perniagaan dan itu bukan kemahiran saya. Begitulah saya, kadangkala overthinking kerana kita tidak mampu menilik masa depan.
Cuma saya tetap dengan niat saya untuk kekal dalam industri fesyen dan tidak ‘lari’ selepas menamatkan pengajian. Saya juga tetapkan niat untuk kekal dengan cara pemakaian saya sebegini. Jujurnya, sehingga sekarang tiada pula saya berdepan dengan komen-komen seperti minat tidak selari dengan cara pemakaian muslimah saya.
Saya ambil jurusan fesyen pun bermotif dan tidak melulu. Saya ingin membina nama dalam dunia modest fashion (fesyen sederhana) yang relevan dengan masyarakat di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Saya tiada masalah untuk menggayakan kelompok non-Muslim tetapi masih berpaksikan modest fashion.
REM: Rata-rata ramai tidak menyangka Baiti merupakan seorang fashion student, mungkin disebabkan imej Baiti yang dijaga penuh sopan. Adakah itu persepsi yang biasa diterima oleh Baiti?
B: Ramai sebenarnya tidak percaya. (Ketawa) Orang tanya ambil course apa, saya jawab fesyen lah. Orang tengok saya atas bawah dan berkata, “Lah fesyen? Ingat ambil Quran Sunah..”. Komen-komen itu sudah biasa saya terima. Saya pun dah malas nak jawab. (Ketawa) Jika ada yang bertanyakan soalan sama, saya jawab sahaja course Seni Reka.
Saya tidak malu pun untuk mengaku saya seorang pelajar jurusan Seni Reka Fesyen. Bagi saya, jangan kita hakimi seseorang dari segi pakaian. Kita sendiri lebih tahu diri sendiri dan minat sendiri. Pakaian itu melambangkan karakter peribadi sahaja, yang penting idea kena fresh. Bak kata Encik Faizal, “Idea tu jangan kampung sangat.” Cara pemakaian saya mungkin sebegini tetapi idea saya tetap berfikiran jauh selari dengan trend antarabangsa semasa.
Secara peribadi, tidak perlulah menggelar saya sebagai ‘pereka fesyen Muslimah’. Cukup sekadar digelar seorang pereka fesyen. Noktah.
ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Filomuzika: Kaleidoscope 2024 Platform Danial Chuer Raikan Bakat Pelajar ‘Music Composition’ UiTM – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

