Sambutan menggalakkan yang diterima daripada siri original Netflix, The Queen’s Gambit sehingga ke hari ini sedikit sebanyak telah membuka mata masyarakat di Malaysia mengenai keunikan sukan catur di peringkat tempatan serta antarabangsa.
Kini barulah ramai sedar mengenai strategi yang perlu diatur oleh pemain dan betapa menariknya mereka menggunakan kebijaksanaan dalam mengatur langkar.
Terbaru, kehadiran gadis pemain catur berusia 17 tahun yang dikenali sebagai Nur Batrisya Wafa Bintin Mohsen di sebuah pertandingan catur antarabangsa telah mencuri tumpuan ramai.
Ibarat menyaksikan babak Elizabeth Harmon dalam siri The Queen’s Gambit itu sendiri, Batrisya mewakil Malaysia dengan mengambil bahagian dalam kejohanan Czech Open International Chess & Games Gestival yang telah mula dilangsungkan sejak 7 Januari lalu dan akan tamat pada 14 Januari 2022.
Kata ayahnya, Mohsen Amdan; 44 mengenai pembabitan anaknya yang juga merupakan pelajar SMK Convent Kajang itu, kehadiran mereka di sana sebagai salah seorang atlet catur adalah hasil pembiayaan sendiri sepenuhnya. Sebagai ibu bapa, mereka ingin Batrisya menggali sebanyak mungkin pengalaman daripada atlet antarabangsa dengan cara bertanding dengan mereka.
Ads
Tambahnya lagi, Batrisya mewakili kumpulan The Hacker Checker dalam kategori terbuka dan akan bermain dalam beberapa pusingan. Malah, selepas kejohanan ini, gadis itu akan terus bertanding dalam beberapa lagi kejohanan catur lain di Czech Republic.
Difahamkan, Batrisya bukanlah wajah baru yang menyertai pertandingan catur di peringkat antarabangsa. Sejak menunjukkan minat dari usia 10 tahun, dia telahpun aktif melibatkan diri dalam beberapa kejohanan sebelum ini. Cuma, musim pandemik telah sedikit merencatkan perancangannya untuk terus bertanding secara langsung dan hanya menyertai pertandingan di atas talias sahaja.
Antara kejayaan yang pernah dicipta oleh Batrisya adalah bergelar naib juara dalam kategori bawah 18 tahun di Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor 2021. Selain bertanding, dia juga mengasah lagi bakatnya dengan menurunkan ilmu sebagai tutor bagi remaja dan kanak-kanak yang berminat dengan sukan catur.
Tidak mustahil satu hari nanti, kita akan melahirkan juara dunia dalam sukan ini!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bukan mudah untuk seorang pemain boleh negara menempah nama di peringkat kelab antarabangsa. Bukan saja mereka perlu bersaing bersama pemain tempatan, malah mereka juga berdepan dengan cabaran pemain remaja seluruh negara pada peringkat saringan.
Semalam menandakan tarikh penuh bermakna buat Luqman Hakim Shamsuddin, 18 apabila dia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Belgium bagi memulakan fasa seterusnya dalam kariernya sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
Luqman terpilih untuk ke Eropah bagi bermain dalam Divisyen 1 Belgium untuk kelab KV Kortrijk dengan mengikat kontrak selama 5 tahun.
Untuk pengetahuan korang kelab Belgium itu dimiliki oleh pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent tan yang merasakan Luqman memiliki skil dan semangat yang membara untuk diletakkan dalam sebuah kelab Eropah.
Kata pemain remaja yang berasal dari Kelantan itu, perasaan terujanya mengatasi sebarang perasaan gementar semasa menaiki pesawat semalam.
“Beberapa penumpang di atas pesawat mengenali saya dan tujuan saya ke Belgium. Mereka sempat memberikan kata-kata semangat untuk saya melakukan yang terbaik dan berharap agar saya membawa nama bola sepak Malaysia untuk menjadi lebih dikenali.
“Kini setelah saya tiba di Belgium, saya tak sabar untuk menyertai pasukan saya, KV Kortrijk,” kata Luqman lagi kepada rakan media.
Penyertaan Luqman itu juga mendapat sokongan daripada bekas Menteri Belia & Sukan negara, YV Syed Saddiq menerusi akaun Twitter beliau semalam
Liga bola sepak Belgium dianggotai oleh beberapa kelab ternama yang telah mencipta nama di peringkat Eropah, terutamanya. Kortrijk adalah sebahagian daripada 18 buah pasukan yang bertanding, selain Anderlect, Club Brugge dan Standard Liege.
All the best Luqman, banggakan Malaysia ya!
Sebelum ini, pemain bola sepak negara yang pernah menyertai kelab bola sepak di luar negara termasuklah Akmal Rizal (RC Strasbourg), Zafuan Azeman (Ang Thong FC), Safee Sali (Pelita Jaya FC), Nazmi Faiz (SC Beira-Mar), Wan Zack Haikal (FC Ryukyu) dan ramai lagi.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dalam rencana yang disiarkan pada bulan Mac 2021 tentang penggunaan imbuhan “se-“, pembaca telah mengetahui bahawa kata adjektif yang berimbuhan “se-“ biasanya tidak boleh diikuti dengan kata sendi nama “dengan” atau “seperti”. Contohnya:
Baju yang saya beli ini tidak semahal dengan baju yang engkau beli itu.
Hang Jebat sehebat seperti Hang Tuah.
Kedua-dua ayat ini tidak gramatis kerana imbuhan “se-“ telahpun mendukung makna “sama”, maka perkataan “dengan” dan “seperti” sepatutnya digugurkan.
Namun demikian, dalam perkongsian kali ini, kita dapati bahawa sebenarnya bukan semua kata adjektif berimbuhan “se-“ tidak boleh diikuti “dengan”, malah sebenarnya ada kata adjektif berimbuhan “se-“ yang wajib diikuti “dengan”.
Cuba kita memperhatikan ayat yang berikut:
Tindakan ini tidak selari SOP yang telah ditetapkan.
Sejajar keputusan mesyuarat tersebut, kami akan mula melaksanakan program ini pada bulan ini.
Guru mestilah menyampaikan pengajaran selaras standard pembelajaran dan standard kandungan yang ditetapkan.
Reka bentuk itu dihasilkan seiring konsep sains dan teknologi.
Keberanian yang ditunjukkan oleh remaja itu sesungguhnya tidak sepadan kekuatan fizikalnya.
Pasti kita berasa janggal membaca ayat (3) hingga (7). Hal ini kerana ayat ini semuanya tidak gramatis. Ayat ini dapat dibetulkan seperti ayat (8) hingga (12) yang berikut:
Tindakan ini tidak selari dengan SOP yang telah ditetapkan.
Sejajar dengan keputusan mesyuarat tersebut, kami akan mula melaksanakan program ini pada bulan ini.
Guru mestilah menyampaikan pengajaran selaras dengan standard pembelajaran dan standard kandungan yang ditetapkan.
Reka bentuk itu dihasilkan seiring dengan konsep sains dan teknologi.
Keberanian yang ditunjukkan oleh remaja itu sesungguhnya tidak sepadan dengan kekuatan fizikalnya.
Persoalannya, bilakah kita perlu menggunakan “dengan”? Bagaimanakah kita menentukannya? Sebenarnya, jika kita menguasai golongan kata, perkara ini amat mudah sahaja. Kata “secantik” tidak boleh diikuti “dengan” disebabkan kata dasarnya, iaitu “cantik” merupakan kata adjektif.
Jika dibandingkan dengan kata “selari”, “sejajar”, “secocok”, “selaras”, “seiring”, dan “sepadan” pula, kita dapati bahawa kata dasarnya, iaitu “lari”, “jajar”, “laras”, “iring” dan “padan” bukan kata adjektif.
Kesimpulannya “dengan” perlu digunakan sekiranya kata dasarnya bukan kata adjektif. Jika kata dasarnya ialah kata adjektif, maka kata “dengan” atau “seperti” tidak boleh digunakan sesudahnya. Berfikirlah dengan teliti semasa menggunakan kata adjektif berimbuhan “se-“ kerana bukan selalunya “dengan” tidak diperlukan dan begitulah juga sebaliknya.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Alex Leong Jun Wei
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tahniah, atas perlantikan Encik Abu Seman bin Abdul Rahim sebagai Pensyarah Cemerlang Bahasa Melayu!
Sila ambil surat perlantikan anda sebagai Pengerusi Sidang Seminar Penyelidikan 2021 daripada Puan Amilda Tahir.
Sering kali kita temukan perkataan ini dalam surat rasmi, sijil dan dalam dokumen rasmi yang lain. Para pengguna bahasa sering kali terkeliru dengan ejaan betul bagi perkataan tersebut sama ada “perlantikan” atau “pelantikan”. Adakah perkataan ini boleh bertukar ganti ejaannya sama ada “perlantikan” atau “pelantikan”. Jika kita merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007 dan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, 2015, ejaan yang betul ialah “pelantikan”, (tiada huruf “r” bagi perkataan pelantikan).
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan “lantikan” bermaksud “tindakan melantik”, manakala “pelantikan” bermaksud “perihal” atau “perbuatan melantik”. Pengguna bahasa sering keliru dengan kata nama terbitan yang mengandungi imbuhan “peN…-an” dan “peR…an”. Untuk menentukan bentuk imbuhan yang betul, kita perlu melihat bentuk asal perkataan tersebut dari aspek kata kerjanya.
Secara umumnya kata nama terbitan yang menggunakan imbuhan “peR…-an” berasal daripada kata kerja yang menggunakan awalan “beR-“, contohnya “berkubur” (perkuburan), “berbeza” (perbezaan), “berbanding” (perbandingan), “berjuang” (perjuangan) dan lain-lain lagi.
Kata nama yang menggunakan apitan “peN…-an” pula berasal daripada kata kerja yang menggunakan imbuhan “meN…i” atau “meN…-kan”, contohnya “melantik”. Tiada kata kerja yang menggunakan awalan “meR” bagi perkataan “merlantik”, maka ejaan atau apitan yang betul ialah “pelantikan”.
.
Begitu juga dengan perkataan“perlaksanaan” atau “pelaksanaan” yang menjadi kekeliruan pengguna bahasa. Perkataan ini berasal daripada kata kerja “melaksanakan”. Dalam hal ini tidak ada bentuk awalan atau apitan seperti “merlaksanakan” atau “berlaksana”. Bentuk kata nama terbitan yang ada dalam bahasa Melayu ialah “pelaksanaan” yang membawa maksud proses.
Dalam bahasa Melayu, pasangan imbuhan bagi “pe….” ialah “me”, “pen….men”, “pem…mem”, dan “peng…meng”. Namun demikian terdapat juga perkataan yang boleh menerima kedua-dua bentuk “peN…-an” dan “peR…-an” kerana bentuk ini berasal daripada dua bentuk kata kerja yang membawakan maksud yang berbeza seperti “perpisahan” yang berasal daripada kata kerja “berpisah” dan “pemisahan” yang berasal daripada kata kerja “memisahkan”. Contoh yang lain ialah “persekolahan” (bersekolah) dan “penyekolahan” (menyekolahkan), “pertukaran” (bertukar) dan “penukaran” (menukarkan) dan lain-lain. Oleh itu, penggunaan yang betul bagi ayat tersebut ialah:
Tahniah, atas pelantikan Encik Abu Seman bin Abdul Rahim sebagai Pensyarah Cemerlang Bahasa Melayu!
Sila ambil surat pelantikan anda sebagai Pengerusi Sidang Seminar Penyelidikan 2021 daripada Puan Amilda Tahir.
Semoga penerangan ini dapat menjelaskan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa. “Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul”, “Bahasa Jiwa Bangsa”.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama di antara Majalah Remaja dan Dewan Bahawa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Haji Amir bin Haji Juhari
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!