1. Tahniah, atas perlantikan Encik Abu Seman bin Abdul Rahim sebagai Pensyarah Cemerlang Bahasa Melayu!
  2. Sila ambil surat perlantikan anda sebagai Pengerusi Sidang Seminar Penyelidikan 2021 daripada Puan Amilda Tahir.

Sering kali kita temukan perkataan ini dalam surat rasmi, sijil dan dalam dokumen rasmi yang lain. Para pengguna bahasa sering kali terkeliru dengan ejaan betul bagi perkataan tersebut sama ada “perlantikan” atau “pelantikan”. Adakah perkataan ini boleh bertukar ganti ejaannya sama ada “perlantikan” atau “pelantikan”. Jika kita merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007 dan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, 2015, ejaan yang betul ialah “pelantikan”, (tiada huruf “r” bagi perkataan pelantikan).

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan “lantikan” bermaksud “tindakan melantik”, manakala “pelantikan” bermaksud “perihal” atau “perbuatan melantik”. Pengguna bahasa sering keliru dengan kata nama terbitan yang mengandungi imbuhan “peN…-an” dan “peR…an”. Untuk menentukan bentuk imbuhan yang betul, kita perlu melihat bentuk asal perkataan tersebut dari aspek kata kerjanya.

Secara umumnya kata nama terbitan yang menggunakan imbuhan “peR…-an” berasal daripada kata kerja yang menggunakan awalan “beR-“, contohnya “berkubur” (perkuburan), “berbeza” (perbezaan), “berbanding” (perbandingan), “berjuang” (perjuangan) dan lain-lain lagi.

IKLAN

Kata nama yang menggunakan apitan “peN…-an” pula berasal daripada kata kerja yang menggunakan imbuhan “meN…i” atau “meN…-kan”, contohnya “melantik”. Tiada kata kerja yang menggunakan awalan “meR” bagi perkataan “merlantik”, maka ejaan atau apitan yang betul ialah “pelantikan”.

Pelantikan Atau Perlantikan? Jom Belajar Istilah Yang Betul
.

IKLAN

Begitu juga dengan perkataan“perlaksanaan” atau “pelaksanaan” yang menjadi kekeliruan pengguna bahasa. Perkataan ini berasal daripada kata kerja “melaksanakan”. Dalam hal ini tidak ada bentuk awalan atau apitan seperti “merlaksanakan” atau “berlaksana”. Bentuk kata nama terbitan yang ada dalam bahasa Melayu ialah “pelaksanaan” yang membawa maksud proses.

Dalam bahasa Melayu, pasangan imbuhan bagi “pe….” ialah “me”, “pen….men”, “pem…mem”, dan “peng…meng”. Namun demikian terdapat juga perkataan yang boleh menerima kedua-dua bentuk “peN…-an” dan “peR…-an” kerana bentuk ini berasal daripada dua bentuk kata kerja yang membawakan maksud yang berbeza seperti “perpisahan” yang berasal daripada kata kerja “berpisah” dan “pemisahan” yang berasal daripada kata kerja “memisahkan”. Contoh yang lain ialah “persekolahan” (bersekolah) dan “penyekolahan” (menyekolahkan), “pertukaran” (bertukar) dan “penukaran” (menukarkan) dan lain-lain. Oleh itu, penggunaan yang betul bagi ayat tersebut ialah:

IKLAN
  1. Tahniah, atas pelantikan Encik Abu Seman bin Abdul Rahim sebagai Pensyarah Cemerlang Bahasa Melayu!
  2. Sila ambil surat pelantikan anda sebagai Pengerusi Sidang Seminar Penyelidikan 2021 daripada Puan Amilda Tahir.

Semoga penerangan ini dapat menjelaskan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa. “Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul”, “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama di antara Majalah Remaja dan Dewan Bahawa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Haji Amir bin Haji Juhari

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI