
Tragedi kemalangan bas pelajar di Gerik, Perak yang berlaku pada awal Jun lalu ternyata meninggalkan kesan mendalam buat rakyat Malaysia, khususnya apabila kisah dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat, Muhammad Adham Tuan Adnan dan Nur Ain Najwa Mohd Ilias, tular di media sosial.
Terkini, nasib kedua-dua pelajar ini mendapat perhatian istimewa daripada Kerajaan Negeri Terengganu apabila mereka diangkat sebagai anak angkat negeri di bawah Portfolio Kebajikan.
BACA LAGI : Kubur Arwah Nurly Shahirah Dipasang Tali Penghadang, Didakwa Berlaku Amalan Khurafat
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, selepas mencapai persetujuan bersama beberapa pihak kerajaan negeri dan agensi kebajikan.
Menurut beliau, sebagai usaha jangka panjang, kedua-dua pelajar ini akan menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500 seorang bermula Julai ini sehingga mereka tamat pengajian di UPSI.
“Kerajaan Negeri menerusi portfolio kebajikan tidak membiarkan anak-anak ini menghadapi kesusahan bersendirian. Kita akan bersama mereka hingga mereka berjaya menamatkan pengajian,” jelas Maliaman kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Tambahnya, pemilihan Adham dan Ain Najwa dibuat berdasarkan beberapa faktor, termasuk latar belakang keluarga masing-masing yang cukup mencabar.
“Semua sedia maklum ibu bapa Adham adalah Orang Kurang Upaya Penglihatan dan fizikal, manakala Ain Najwa pula anak yatim, lahir dalam keluarga susah dan sedang melalui proses pemulihan yang mencabar,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, kisah Adham dan Ain Najwa menyentuh hati ramai setelah tular di media sosial. Bukan sahaja kerana kecederaan yang dialami mereka, tetapi juga kisah ketabahan keluarga masing-masing.
Pengorbanan ibu bapa Adham yang merupakan OKU fizikal dan penglihatan telah mengundang simpati masyarakat yang turut menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggungnya.
Manakala kisah pengorbanan dua adik kembar Ain Najwa pula menjadi tular selepas mereka nekad menangguhkan pengajian semata-mata untuk memberi laluan kepada kakak mereka menyambung pelajaran.
BACA LAGI : Nahas UPSI: Nurly Shahirah Meninggal Al-Quran Di Tangan. “Pergi Al-Quran Di Tangan Dan Di Dada..”
“Adik-adik saya terpaksa tolak tawaran ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kerana nak kerja dahulu. Katanya, ‘Kakak belajar, kami tanggung kakak. Nanti kita bergilir-gilir’,” luah Ain Najwa.
Difahamkan, keluarga Ain Najwa kehilangan bapa tercinta beberapa tahun lalu yang bekerja sebagai mekanik, manakala ibunya kini uzur dan hanya mampu mengambil upah mencuci rumah jiran untuk menyara keluarga.
Akibat kemalangan tersebut, Ain Najwa mengalami patah bahu kiri dan kecederaan di pergelangan tangan. Kini, dia sedang menjalani proses pemulihan dan dibantu oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk permohonan kad OKU.
Adham juga turut mengalami kecederaan serius dan datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Pelajar UPSI ini telah menjalani pembedahan dan memerlukan rawatan susulan secara berpanjangan.
Untuk rekod, kos rawatan Adham sebanyak RM2,900 turut ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Malaysia Gazatte