
Baru-baru ini, kisah hidup yang mencetus inspirasi oleh seorang graduan dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Dr. Malik Yatam mencuri perhatian orang ramai di media sosial selepas beliau berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) ketika masih menjalani hukuman penjara.
Pencapaian luar biasa beliau sekaligus membuktikan bahawa jeriji besi bukan penamat segalanya apabila pendidikan menjadi pintu kedua untuk membina masa depan. Selepas lebih dua dekad menjalani hukuman penjara, Dr. Malik kini muncul sebagai simbol harapan, disiplin dan keazaman luar biasa yang secara tidak langsung mencabar stigma masyarakat terhadap bekas banduan.
Menerusi sebuah perkongsian di aplikasi Threads, Dr. Malik yang turut dikenali dengan nama Dr. Murad berkongsi perjalanan luar biasa hidupnya yang bermula seawal usia remaja. Perjalanan akademiknya bukan satu laluan mudah apabila berdepan kekangan masa, akses internet yang terhad serta ketiadaan kemudahan pembelajaran sempurna, sekaligus menjadikan setiap langkah satu ujian mental dan emosi.
BACA: Banduan Pertama Peroleh PhD Semasa Jalani Hukuman Penjara Diberi Pengampunan Sultan Selangor
View on Threads
Bagaimanapun, segala cabaran itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus belajar dan membina masa depan berteraskan ilmu.
“Banduan pertama Malaysia, memperolehi PhD semasa dalam penjara. Selama 24 Tahun dalam penjara, saya mengambil SPM sehingga PhD semasa dalam penjara. Masuk Umur 14 Tahun. Dapat Pengampunan pada usia 38 Tahun.”
Memetik laporan yang diterbitkan Harian Metro, difahamkan Dr. Malik dilahirkan di Sabah, kemudian berhijrah ke Semenanjung pada usia 14 tahun demi membantu keluarga akibat kesempitan hidup.
Namun, eksploitasi dan penderaan majikan akhirnya mengheret beliau ke kancah tragedi yang membawa kepada hukuman penjara sebagai Tahanan Limpah Sultan. Dalam tempoh 24 tahun di sebalik tirai besi, beliau memilih pendidikan sebagai jalan keluar, bermula dengan SPM, diikuti STPM, ijazah sarjana muda dan akhirnya PhD dalam Pentadbiran Perniagaan.
Bagi Dr. Malik, pendidikan bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi proses memulihkan maruah dan membina semula keyakinan diri. Ia juga menjadi medium untuk membuktikan perubahan adalah sesuatu yang realistik, walaupun masyarakat masih dibelenggu stigma terhadap bekas banduan.
“What’s next? Saya dalam usaha untuk merealisasikan tesis saya menghasilkan Usahawan dalam kalangan prospek. Dengan membuat ladang cili bersama prospek. Saya juga menerima jemputan sekolah dan universiti. Pada masa yang sama penulis buku ‘PhD Dari Penjara’, mohon sokongan warga thread,” tulisnya.
Hari ini, Dr. Malik bukan sahaja bergelar pemegang PhD, beliau malah aktif menyumbang kepada masyarakat melalui keusahawanan tani dan perkongsian ilmu. Kisahnya turut menjadi bukti bahawa pendidikan mampu memutuskan kitaran gelap masa lalu dan membuka ruang kepada masa depan yang lebih bermakna, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain.
Di samping itu, program pendidikan dalam penjara semakin dilihat sebagai pemangkin perubahan sebenar, bukan sekadar inisiatif sampingan. Melalui pendidikan, prospek bukan sahaja dibekalkan ilmu akademik, malah dibina semula dari sudut pemikiran, nilai diri dan hala tuju kehidupan. Dalam konteks ini, perjalanan Dr. Malik menjadi contoh paling nyata bahawa ilmu mampu mengubah jalan hidup walau bermula dari titik paling gelap.
Sumber: Harian Metro & Threads Dr Malik Yatam
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.