
Penyanyi popular K-Pop, Doyoung NCT baru-baru ini menunjukkan contoh teladan menjelang penyertaannya dalam perkhidmatan ketenteraan pada Disember ini apabila beliau menyalurkan sumbangan sebanyak 100 juta Korea Won (kira-kira RM294,000) kepada badan kebajikan antarabangsa, World Vision bagi tujuan membina sebuah sekolah di Uganda.
Menurut World Vision dalam sebuah kenyataan pada 31 Oktober memaklumkan bahawa, Doyoung NCT atau pemilik nama sebenar Kim Doyoung (29) telah menyumbang dana tersebut untuk memperbaiki persekitaran pendidikan bagi menyokong impian kanak-kanak.
Difahamkan, dana tersebut akan digunakan untuk projek pembinaan sebuah sekolah di Kampung Bugondo, Mayuge, Uganda yang bakal memberikan kemudahan pembelajaran lebih selamat dan selesa kepada kira-kira 1,000 kanak-kanak di kawasan tersebut.
Selain memperkukuh pengaruh positif beliau sebagai seorang idola K-pop, Doyoung NCT juga sempat menzahirkan rasa terima kasihnya kepada para peminat (NCTzen) selepas menamatkan jelajah keduanya yang bermula di Seoul pada bulan Jun lalu. Jelajah tersebut turut melibatkan beberapa bandar utama di Asia seperti Jepun, Singapura, Macau, Thailand dan Taiwan, sebelum diakhiri dengan konsert encore bertajuk ‘2025 DOYOUNG ENCORE CONCERT [Yours]’ yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober lalu.
Melalui konsert jelajah tersebut, Doyoung NCT berjaya mencipta memori bermakna bersama peminat yang telah menyokong sepanjang perjalanan kerjayanya. Justeru, keputusan untuk melakukan sumbangan ini dibuat sebagai cara untuk membalas semula kasih dan sokongan yang diterimanya daripada peminat di seluruh dunia.
“Sewaktu saya menutup tirai jelajah kedua ini, saya bersyukur dapat sedikit sebanyak membalas kasih sayang daripada para peminat di seluruh dunia.”
“Saya berharap sekolah yang dibina dengan sumbangan ini akan menjadi titik permulaan bagi kanak-kanak untuk membina dan mengejar impian mereka,” katanya.
BACA: RM BTS Bakal Sampaikan Ucaptama Di APEC CEO Summit 2025, Bukti Pengaruh Hebat K-Pop Di Dunia
BACA: BTS Bakal Kembali Mac 2026! RM Umum Album Baru & Konsert Jelajah Dunia!
Sementara itu, World Vision menjelaskan, projek pembinaan sekolah di Uganda itu bukan sahaja akan menyediakan ruang pembelajaran yang lebih kondusif, malah diharap dapat memberi motivasi kepada anak-anak di sana untuk terus menimba ilmu dan menggapai masa depan yang lebih baik.
Untuk perkembangan terkini, agensi naungan Doyoung NCT, SM Entertainment, mengesahkan bahawa idol tersebut akan memulakan latihan ketenteraan sebagai anggota aktif pada 8 Disember ini. Manakala ahli kumpulan NCT lain, Jungwoo, turut akan menyertai perkhidmatan pada tarikh yang sama setelah diterima masuk ke pasukan muzik tentera.
BACA: RM BTS Sumbang 200 Juta Won Kepada 2 Hospital Sempena Ulang Tahun Kelahiran Ke-31
SM Entertainment turut memaklumkan bahawa tiada sebarang acara khas akan diadakan pada hari pendaftaran ketenteraan tersebut. Pihak agensi meminta agar para peminat tidak hadir ke lokasi bagi mengelakkan sebarang kesesakan dan isu keselamatan.
“Kami berharap peminat terus memberi sokongan dan kasih sayang kepada Doyoung NCT dan Jungwoo semasa mereka menjalankan tanggungjawab ketenteraan dengan setia dan kembali dalam keadaan lebih sihat serta matang,” jelas SM Entertainment.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.