Inpirasi

Sambut Hari Lahir Dengan Penuh Makna! Donghae Super Junior Sumbang 30 Juta Won Buat Kanak-Kanak Pesakit Kanser

Share

Penyanyi daripada kumpulan K-Pop popular, Donghae Super Junior sekali lagi mencuri perhatian apabila menunjukkan sisi keprihatinannya dengan menyumbangkan derma sebanyak 30 juta Korea Won (kira-kira RM90,000) kepada kanak-kanak yang menghidap kanser dan penyakit jarang jumpa yang sukar diubati.

Menurut Yayasan Kanser Pediatrik Korea (KPCF) melalui pengerusinya, Shin Hee Young, mengumumkan bahawa Donghae atau nama sebenarnya Lee Donghae yang juga merupakan duta promosi mereka telah menyalurkan sumbangan tersebut. Lebih menarik lagi, dana itu diberikan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-39 serta meraikan ulang tahun ke-8 pelantikannya sebagai duta yayasan.

Bantu Kanak-kanak Pesakit Kanser

Difahamkan, sumbangan tersebut akan digunakan sepenuhnya bagi menampung kos rawatan perubatan kanak-kanak pesakit kanser dan penyakit jarang jumpa yang kini sedang berjuang meneruskan kehidupan.

Untuk pengetahuan, sejak tahun 2017, Donghae aktif bersama yayasan itu dengan menyertai pelbagai program kesedaran seperti penggambaran studio bersama kanak-kanak duta kecil serta pertandingan ‘Dream Contest’ yang bertujuan memberi sokongan moral dan meningkatkan kesedaran mengenai pesakit kanser pediatrik.

Pesanan Ikhlas Donghae Kepada Peminat

“Saya berharap melalui tindakan kecil ini, bersama sokongan ikhlas semua orang, mampu menjadi sumber kekuatan buat anak-anak ini,” kata Donghae.

“Saya percaya kebaikan kecil juga boleh membawa kebahagiaan besar. Saya akan terus menjadi ‘guardian angel’ di sisi mereka,” ujarnya lagi, menunjukkan keikhlasan dan kasih sayang mendalam terhadap komuniti pesakit kanser.

Penghargaan Dari Yayasan Kanser Pediatrik Korea

Pada masa yang sama, Setiausaha Agung yayasan tersebut, Seo Sun Won turut menyatakan penghargaan mendalam kepada bintang K-Pop yang popular menerusi lagu ‘Sorry Sorry’ itu.

“Kami amat berterima kasih kepada Donghae Super Junior sebagai duta yang konsisten memberi sokongan sepanjang lapan tahun ini. Kami berharap pengaruh positif beliau mampu mencetuskan lebih banyak perhatian dan sokongan daripada masyarakat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Donghae bersama kumpulannya baru sahaja menamatkan konsert ulang tahun ke-20 SUPER JUNIOR berjudul SUPER SHOW 10 di Seoul yang berlangsung di KSPO DOME pada Ogos lalu. Sejak September, kumpulan sensasi itu juga sedang sibuk dengan siri jelajah dunia bagi bertemu peminat setia di seluruh dunia.

Terdahulu, peminat Super Junior (E.L.F) di Malaysia menyaksikan Donghae dan Eunhyuk membuat penampilan istimewa menerusi jelajah Super Junior-D&E pada Januari lalu. Namun, menjelang tahun 2026, mereka sebagai sebuah kumpulan besar akan kembali ke Arena Axiata untuk siri jelajah dunia SUPER SHOW 10 bagi menyambut ulang tahun ke-20 bersama peminat tempatan.

Tindakan murni Donghae ini bukan sahaja menonjolkan nilai kemanusiaan, tetapi turut membuktikan bahawa populariti sebenar seorang artis diukur melalui kebaikan hati dan keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE