Walaupun menghadapi cabaran besar dalam hidupnya, Nurul Iffah Alias tetap bertekad untuk menamatkan pengajian dan meraih ijazah bersama rakan-rakannya apabila berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam Majlis Konvokesyen kali ke-22.
Pada usia 23 tahun, Nurul Iffah telah diuji dengan ujian kesihatan yang serius apabila disahkan menghidap Systemic Lupus Erythematosus (SLE), sejenis penyakit auto-imun yang menyerang darah dan sendi.
Penyakit ini juga difahamkan telah menyebabkan dia sering demam berulang dan mengalami kesukaran untuk bergerak, sehingga terpaksa terbaring pada beberapa ketika.
“Saya disahkan menghidap SLE pada Ogos 2023. Keadaan saya semakin buruk pada November 2023, di mana saya terpaksa dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujar Nurul Iffah mengenang pengalaman pahitnya.
Ads
Namun, meskipun keadaannya semakin kritikal, Nurul Iffah tidak pernah berputus asa untuk terus mengejar cita-citanya. Beliau bertekad untuk menyelesaikan pengajian dan bergraduasi bersama teman-teman yang telah bersama-sama menempuh perjalanan akademik.
Kredit: USIM
Sepanjang proses pemulihan di hospital, sokongan luar biasa daripada rakan-rakan sekelas juga membantu Iffah dalam memastikan beliau dapat menyiapkan tugasan dan mengulang kaji pelajaran.
“Sokongan mereka sangat bermakna bagi saya. Mereka banyak membantu saya menyiapkan kerja-kerja akademik dan memberi tunjuk ajar dalam pelajaran. Selepas keluar dari PPUM, mereka juga banyak meluangkan masa bersama saya, memberikan kata-kata semangat dan kekuatan,” luahnya dengan penuh rasa syukur.
Ads
Kini, keadaan kesihatannya semakin stabil dan beliau boleh tersenyum ceria dengan pencapaiannya. Walaupun begitu, beliau masih perlu bergantung pada ubat-ubatan sepanjang hayatnya bagi memastikan kesejahteraannya terus terjaga.
Kejayaan Iffah ini menjadi bukti bahawa semangat juang dan sokongan daripada orang terdekat mampu mengatasi sebarang cabaran hidup yang datang.
Sumber: Facebook Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tatabahasa bahasa Melayu sesungguhnya amat unik dan menarik. Antara yang menarik untuk dikongsi pada kali ini ialah ragam ayat pasif untuk kata kerja transitif berimbuhan “ter-”.
Penutur bahasa Melayu lazimnya menguasai kemahiran untuk menukarkan ayat aktif kepada ayat pasif. Sebagai contoh:
Jenis Ayat
1
2
3
Ayat aktif
Saya belum membaca novel itu.
Kamu telah membaca novel itu?
Dia tidak membaca novel itu.
Ayat Pasif
Novel itu belum saya baca.
Novel itu telah kamu baca?
Novel itu tidak dibaca olehnya.
Perbezaan tentang ayat pasif diri pertama, diri kedua dan diri ketiga juga dikuasai oleh kebanyakan penutur bahasa Melayu walaupun kesilapan umum seperti “Novel itu belum dibaca oleh saya,” “Novel itu telah dibaca oleh kamu” dan “Novel itu tidak dia baca sering dilakukan”.
Banyak penutur bahasa Melayu sering keliru apabila kata kerja transitif aktif digunakan dalam ayat aktif berimbuhan “ter-”.
Sebenarnya, kata kerja transitif berimbuhan “ter-” amat penting dan mendukung pelbagai maksud dan penggunaan.
Contohnya,
Saya tertelan pil tidur itu kerana tidak membaca label ubat dengan teliti.
(Maksud tertelan: tidak sengaja menelan)
Kamu terangkat almari yang berat itu tanpa bantuan sesiapa?
(maksud terangkat: berupaya untuk mengangkat)
Jika diperhatikan, kata kerja transitif berimbuhan “ter-” ini memang berasal daripada kata kerja transitif berimbuhan “meN-”. Sebagai contoh, tertelan dan terangkat dalam ayat 1 dan 2 di atas boleh digantikan dengan menelan dan mengangkat. Walau bagaimanapun, makna keseluruhan ayat akan berubah walaupun masih gramatis. Kesilapan sering berlaku apabila ayat 1 dan 2 dipasifkan.
Ayat aktif
Saya tertelan pil tidur itu kerana tidak membaca label ubat dengan teliti.
Kamu terangkat almari yang berat itu tanpa bantuan sesiapa?
Ayat pasif yang salah
1a. Pil tidur itu saya telan kerana tidak membaca label ubat dengan telitinya.
2a. Almari yang berat itu kamu angkat tanpa bantuan sesiapa?
1b. Pil tidur itu saya tertelan kerana tidak membaca label ubat dengan teliti.
2b. Almari yang berat itu kamu terangkat tanpa bantuan sesiapa?
Ayat pasif yang tepat
1c. Pil tidur itu tertelan oleh saya kerana tidak membaca label ubat dengan teliti.
2c. Almari yang berat itu terangkatoleh kamu tanpa bantuan sesiapa?
Ayat 1a dan 2a gramatis tetapi makna khusus “tidak sengaja” dan “berupaya” dalam imbuhan “ter-” sudah hilang. Oleh sebab itu ayat 1a dan 2a bukan ayat pasif untuk ayat aktif 1 dan 2. Ayat 1b dan 2b pula menyalahi hukum tatabahasa. Oleh itu, untuk ayat aktif dengan kata kerja transitif berimbuhan “ter-”, struktur ayat pasifnya, baik ayat pasif diri pertama, diri kedua atau diri ketiga semuanya sama sahaja, misalnya tertelan oleh saya dan terangkat oleh kamu.
Kesimpulannya, kita boleh menggunakan ayat seperti “Novel yang tebal itu terbaca oleh saya”.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Alex Leong Jun Wei
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Apabila orang Islam mula sahaja menyambut Ramadan al-Mubarak, orang ramai mula berbicara tentang rentas negeri. Persoalan yang berlegar dalam minda mereka ialah adakah pada tahun ini mereka dibenarkan untuk balik ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bersama-sama saudara-mara di kampung? Dengan berdasarkan data pesakit baharu yang dijangkiti COVID-19 pada setiap hari sekarang ini, kerajaan tidak mungkin akan memberikan kebenaran untuk umat Islam merentas negeri.
Hal ini menyebabkan mereka terlalu sensitif apabila mendengar lagu Balik Kampung yang dipopularkan oleh Allayarham Sudirman Haji Arshad berkumandang di aplikasi WhatsApp yang dipanjangkan oleh pengguna atau pemilik telefon bimbit.
Sebenarnya, betapa mereka berasa sensitif akan lagu itu, banyak juga pencipta bahasa amat sensitif akan kesalahan bahasa yang terdapat dalam lirik lagu tersebut. Jika kita meneliti sebahagian daripada lirik lagu tersebut, kita akan dapat menyedari sesuatu yang tidak kena yang terdapat dalam lirik tersebut jika kita memiliki ilmu tentang tatabahasa. Mari kita teliti lirik yang di bawah ini sambil bernyanyi.
.
Ho-ho-ho … Balik kampung! Ho-ho-ho … Balik kampung! Ho-ho-ho … Balik kampung! Hati girang!
Dalam lirik lagu tersebut, terdapat satu frasa kerja yang diulang sebanyak tiga kali, iaitu balik kampung. Yang peliknya ialah bahagian yang salah tersebut menjadi daya penarik kemasyhuran atau kekuatan lagu ini. Frasa seperti ini sering diulang-ulang oleh kanak-kanak atau penggemar lagu ini tanpa perlu mereka menyanyikan lagu ini secara keseluruhannya.
Kemasyhuran atau populariti lagu ini sudah pasti memberikan kesan terhadap pihak DBP untuk memperkembang penggunaan bahasa yang betul dalam kalangan rakyat. Situasi ini merupakan masalah besar kepada DBP untuk memajukan penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Dalam situasi ini, faktor populariti atau sedap didengar telah berjaya menarik perhatian pendengar untuk menerima bahasa yang salah. Faktor inilah merupakan halangan terbesar pihak DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara kita.
Faktor yang kedua ialah sikap masyarakat terhadap elemen simplikasi, iaitu mereka gemar untuk memudahkan sesuatu. Hal ini menyebabkan mereka membuang sesuatu seperti menggugurkan kata sendi nama supaya mereka dapat menimbulkan kesedapan dalam lagu atau perbualan walaupun mereka menyedari cara tersebut salah. Banyak kesalahan penggunaan bahasa yang berkaitan dengan frasa kerja seperti ini yang digunakan dalam kalangan masyarakat seperti:
pergi masjid sepatutnya pergi ke masjid pergi surau sepatutnya pergi ke surau balik rumah sepatutnya balik ke rumah pulang desa sepatutnya pulang ke desa
Yang betul belum pasti sedap, Yang sedap belum pasti betul,
Dalam hal ini, kita perlu mematuhi peraturan. Namun demikian, peraturan memang sukar dipatuhi. Kebanyakan orang akan mematuhi peraturan jika ada penguatkuasaan dan hukuman. Untuk memastikan peraturan diikuti dan dipatuhi, tindakan penguatkuasaan dan hukuman perlu dilaksanakan. Malangnya, elemen ini tiada dalam pelaksanaan bahasa di negara kita walaupun bahasa kita tercatat dalam perlembagaan negara bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Abdul Ghalib bin Yunus.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Benar kata orang, hanya pendidikan sahaja mampu mengubah nasib hidup kita dari susah kepada senang. Itulah yang dilalui oleh gadis yang berasal dari pedalaman ini yang kini berjaya bergelar peguam.
Hasil kesungguhan dan kecekalan dalam menuntut ilmu, menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Meskipun terpaksa bersusah payah dan melipatgandakan usaha dalam menimba ilmu.
Ikuti Perkongsiannya
Basak Budouk Basak Tenguk.
Itu pepatah dalam dialek Melanau Dalat yang membawa maksud asalkan rajin berusaha akan memperoleh hasil yang lumayan.
Pepatah itu juga mengambarkan usaha kental Jacquelyn Juliet Suching, 25, wanita asal Kampung Kebuaw, di sini, sebuah perkampungan pendalaman di Sarawak mengejar impian ke menara gading sehingga berjaya bergelar peguam.
Gadis Pendalaman Berperahu Ke Sekolah Kini Berjaya Bergelar Peguam!
Ubah Nasib Keluarga
Wanita Melanau Iban yang berasal daripada keluarga petani itu bersemangat mahu mengubah nasib keluarganya dengan pendidikan biarpun perlu merentas Sungai Rajang dengan menaiki perahu dihantar ibu setiap hari untuk ke sekolah.
Kisah Jacquelyn Juliet mendapat perhatian di TikTok selepas peguam muda itu berkongsi video yang dimulai dengan dirinya ketika berusia 11 tahun pulang dari sekolah ditunggu ibu di perahu, bergraduasi dan ditauliahkan sebagai peguam.
Berkongsi kisahnya, Jacquelyn Juliet berkata, kampungnya terletak di bahagian hilir Sungai Rajang dan selama enam tahun dia menjadikan perahu sebagai pengangkutan utama ke sekolah di persisiran Sungai Rajang, Batang Igan.
Gadis Pendalaman Berperahu Ke Sekolah Kini Berjaya Bergelar Peguam!
Ibu Bapa Utamakan Pendidikan
Menurutnya, setiap hari dia akan dihantar dan diambil ibu, Catherine Stin, 48, yang mengemudi perahu sendirian, sementara bapa, Suching Jugei, 58, mengambil upah berkerja di kebun rumbia milik orang.
“Sebagai anak pedalaman saya sudah biasa merentasi Sungai Rajang, malah tak berasa takut menyeberanginya biarpun ada buaya kerana perahu satu-satunya kenderaan kami di kampung untuk ke sekolah. Lagipun saya tahu hanya dengan pendidikan dapat mengubah nasib kita.”
“Malah saya beruntung mempunyai ibu bapa yang sangat mengutamakan pendidikan, malah pendapatan tidak menentu sebagai petani dan mengambil upah mengerjakan kebun rumbia tetap diutamakan untuk persekolahan kami,” katanya.
Cuti Sekolah Bantu Mak Ayah Di Kebun Rumbia
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, ketika berusia 13 tahun dia belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Miri dan setiap kali cuti sekolah dia akan membantu ibu bapa di kebun rumbia untuk mencari pendapatan lebih, manakala waktu makan dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran.
“Kehidupan sederhana tanpa kemewahan di kampung yang tiada kemudahan internet yang baik, jalan raya dan air bersih mendidik saya untuk tekad mengejar impian sekali gus membuktikan anak pedalaman juga boleh mencapai cita-cita.”
“Sehingga belajar di universiti saya dan adik-beradik masih membantu mak dan ayah di kebun rumbia. Itu juga menaikkan semangat saya untuk memberi kesenangan kepada mereka yang banyak mengorbankan masa serta tenaga untuk kami,” katanya yang kini berkerja di sebuah firma guaman di Bintulu.
Kerja Keras Ibu Bapa
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah itu berkata, kejayaan yang diperolehinya disifatkan bukan usahanya semata-mata sebaliknya ia adalah kerja keras ibu bapanya yang membanting tulang empat kerat.
“Saya masih baru dalam bidang perundangan kira-kira setahun tujuh bulan termasuk tempoh chambering dan apabila sudah tamat belajar saya melihat apa diperolehi ini hasil usaha pahit manis sejak kecil menjadikan saya sebak.”
“Walaupun mak ayah hanya petani tetapi mampu membentuk masa depan kami dengan pendidikan. Tiga adik saya juga masing-masing bergraduasi dan masih belajar di universiti tempatan dan seorang di Australia, manakala dua abang saya sudah berkeluarga dan berkerja,” kata Jacquelyn Juliet
Berhubung video TikToknya, katanya video itu dirakam guru matematik, Cikgu Ermi pada 2009 dan ketika itu dia adalah pelajar terakhir yang pulang selepas mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.
Katanya, Cikgu Ermi memberikan video itu kepadanya pada 2018 namun dia tidak pernah berkongsi video berkenaan di media sosialnya sebelum tergerak hati untuk memuat naik di TikTok, baru-baru ini sebagai kenangan selain penghargaan buat ibu bapa dan guru serta pensyarahnya.
REMAJA : Tahniah atas kejayaan mencapai cita-cita bergelar peguam. Meskipun laluannya tak mudah, terpaksa meredah sungai yang ada buaya dengan perahu ketika pergi ke sekolah, namun tetap cekal untuk rajin belajar. Semoga menjadi inspirasi buat remaja diluar sana.
Artikel diambil dan diolah daripada Mingguan Wanita.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Formula 1 Sepang terus menjadi harapan peminat selepas Grand Prix Malaysia dihentikan pada 2017. Ketahui senarai bintang Formula 1 masa kini yang masih belum pernah berlumba di Litar Antarabangsa Sepang.