Nama Danial Chuer bukan asing lagi buat peminat muzik tempatan, namun kali ini penyanyi muda berbakat besar itu sekali lagi mencuri perhatian, bukan sahaja di pentas nyanyian, tetapi dalam dunia akademik.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Danial berkongsi berita gembira apabila beliau telah dipilih sebagai Graduan Terbaik Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan bakal menerima Anugerah Cemerlang Alumni UiTM pada konvokesyen ke-103 universiti itu nanti.
Danial meluahkan rasa syukur dan terharu dengan pengiktirafan tersebut selepas menerima surat rasmi dari pihak universiti.
“Alhamdulillah, syukur, Ya Allah. Terkedu sekejap apabila dapat e-mel dari UiTM menyatakan saya terpilih untuk menerima Anugerah Cemerlang Alumni UiTM.
“Salah satu anugerah tertinggi di peringkat UiTM untuk konvokesyen ijazah sarjana muda saya yang akan datang,” coretnya.
Tambah Danial, kejayaan ini adalah untuk insan-insan tersayang yang sentiasa ada bersamanya sepanjang perjalanan penuh cabaran.
Ads
“Ini adalah untuk ibu dan semua yang bersama saya sepanjang pahit manis perjalanan ini. Saya tahu arwah ayah pasti akan berasa gembira jika dia ada untuk menyaksikan pencapaian ini,” tambah Danial lagi.
Sekadar imbasan, Danial sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Naib Juara Big Stage musim keempat, pertandingan nyanyian popular anjuran Astro yang memperkenalkan ramai bakat baharu dalam industri muzik tanah air.
Ads
Kini setelah menamatkan pengajian, Danial meneruskan kerjaya sebagai pendidik vokal dan piano di The Music Academy Center, membuktikan bahawa kejayaan boleh dikecap dalam pelbagai bidang, asalkan ada usaha dan minat yang mendalam.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kes penderaan kanak-kanak kurang upaya sindrom down, Bella sememangnya mendapat perhatian ramai. Tidak kira bangsa dan agama, semuanya prihatin dan tidak jemu berkongsi perkembangan kes ini agar tidak dilupakan.
Setelah terbongkarnya keadaan Bella yang berada dalam jagaan Rumah Bonda yang kini telah disita, nasib kanak-kanak malang itu kini semakin baik dalam jagaan rumah kebajikan Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.
Terbaharu kemaskini mengenai anak syurga itu, seperti yang dimuat naik oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, keadaan kanak-kanak berusia 13 tahun itu semakin baik. Dia yang berkunjung ke rumah kebajikan tersebut meluangkan masa melawat Bella dan juga penghuni yang lain pada hari raya keempat.
“Hari ini masuk hari keempat kita berhari raya. Saya meraikan hari raya keempat hari ini bersama Bella dan rakan-rakan. Bella manis dan ceria berbaju tema ungu menikmati juadah yang dihidangkan. Saya turut membawa nasi goreng kegemaran Bella yang saya masak sendiri dari rumah.
“Selain KFC, Bella memang suka nasi goreng ‘no pedas’, berselera sungguh dia menikmati hidangan-hidangan yang saya bawa. Saya juga membawa nasi impit, lemang, rendang, ayam goreng kek dan kuih muih khas buat Bella dan rakan-rakan,” kongsinya mengenai juadah yang dibawa ketika membuat lawatan.
Ujarnya lagi, “Terima kasih kepada warga kerja pusat pelindungan kanak-kanak ini yang tanpa jemu menjaga dan melindungi kanak-kanak yang ditempatkan di tempat selamat ini setiap hari. Alhamdulillah mereka dijaga dengan baik dan sempurna dari sudut keperluan fizikal dan emosi.”
Sekadar informasi mengenai Kes Bella yang mana tertuduh Siti Bainun Ahd Razali ketika ini sedang didakwa di mahkamah. Tunku Mahkota Johor dan isteri, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam bulan lalu telah menyuarakan kekesalan mengenai situasi penderaan yang dialami kanak-kanak malang itu.
Kedua-dua baginda mengikuti rapat kes tersebut dan menghantar peguam sebagai pemerhati kepada kes ini. Dengan adanya sokongan dari Istana, masyarakat menjadi lebih cakna dan tidak membiarkan kes ini sekadar di angin lalu. Kebenaran harus ditegakkan dan mereka yang bersalah harus dihukum.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik yang mana negara ini memiliki Sembilan kerajaan negeri yang dipayungi oleh kuasa seorang Sultan. Setiap lima tahun, Sembilan Sultan ini akan bergilir-gilir menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia.
Mungkin ada dari kita mengenali putera-putera Sultan di Malaysia yang telah dinamakan sebagai putera mahkota, kecuali negeri Perak yang mana negeri tersebut memiliki sistem penggiliran takhta yang unik. Anak lelaki sulung kepada Sultan Perak tidak semestinya bakal mewarisi takhta disebabkan sistem penggiliran di antara keluarga-keluarga Diraja negeri Perak.
Dalam artikel ini penulis ingin berkongsi wajah puteri kepada beberapa sultan di Malaysia.
Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah (PAHANG)
Kini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah merupakan Yang Dipertuan Agong Malaysia yang ke-16. Tengku Puteri Iman Afzan merupakan puteri sulung Baginda sultan.
Bersama adinda Puteri-Puteri Pahang yang lain ketika majlis perkahwinan
Berusia 29 tahun, baginda telah berkahwin pada 4 Ogos 2018 dengan pasangannya, dari kerabat Pahang, Tengku Abu Bakar Ahmad Tengku Arif Bendahara Tengku Abdullah dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Aktif dalam aktiviti sukarelawan, baginda merupakan seorang pejuang dalam isu kesihatan mental dan baginda merupakan penaung antarabangsa bagi Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020.
Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin (TERENGGANU)
Baginda merupakan cahayamata sulung kepada pasangan Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Sultanah Nurzahirah. Berusia 25 tahun, Tengku Nadhirah Zaharah diputerakan pada 18 Disember 1996 dan baginda memiliki tiga orang adinda iaitu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mu’az dan Tengku Fatimatiz Zahra. Anggun seperti bondanya, Tengku Nadhirah kerap bersama bondanya menyantuni rakyat jelata dalam sebarang acara yang diadakan.
Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Ibrahim Ismail (JOHOR)
Merupakan anakanda kedua dan puteri tunggal bagi pasangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail Ibni Sultan Mahmud Iskandar dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah. Baginda mempunyai enam orang adik-beradik. Diputerikan pada 8 April 1986, Tunku Aminah sudah berkahwin dengan Dato’ Muhammad Dennis Abdullah dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Layla Sofiah.
YAM Tunku Tun Aminah bersama suami, Dato Muhammad Dennis Abdullah
Baginda merupakan seorang yang menggemari dunia fesyen, pada tahun 2016 baginda telah berkolaboratif bersama pereka fesyen terkenal, Dato’ Jovian Mandagie dalam menghasilkan koleksi istimewa Tunku Tun Aminah x Jovian Mandagie. Koleksi tersebut menampilkan rekaan baju kurung dan baju kebaya.
Yang Teramat Mulia Raja Nazira Safya Binti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (PERAK)
.
Berusia 9 tahun, Raja Nazira Safya merupakan puteri tunggal pasangan Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim. Diputerikan pada 2 Ogos 2011, baginda mempunyai seorang kekanda lelaki iaitu Raja Azlan Muzzaffar Shah yang merupakan Raja Kechil Besar Perak. Ketika ini baginda masih lagi berada di alam persekolahan sekolah rendah. Wajahnya yang comel saling tidak tumpah mewarisi kecantikan bonda baginda.
Yang Amat Mulia Tengku Zatashah binti Sultan Sharafuddin Idris Shah (SELANGOR)
Sosok wanita anggun berusia 48 tahun ini bukanlah asing bagi rakyat Malaysia khususnya, baginda sangat aktif dalam bidang kemanusiaan dan alam sekitar. Baginda banyak mengilhamkan kerja-kerja yang mendidik masyarakat untuk sentiasa memberi manfaat kepada orang sekeliling dan juga alam sekitar. Sebagai contoh, baginda memulakan kempen #zerofoodwastege pada tahun 2016 dengan menggesa hotel dan juga restoran untuk tidak membuang makanan lebihan sebaliknya mendermakannya kepada badan kebajikan seperti Kechara Soup Kitchen untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Merupakan anakanda kedua kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, baginda memiliki seorang kekanda yang bernama YAM Tengku Zerafina dan juga adinda, DYTM Tengku Amir Shah yang merupakan Raja Muda Selangor.
***P/S- Sebagai rakyat Malaysia kita harus berbangga dengan Keluarga DiRaja Malaysia yang bukan sahaja menjadi penaung rakyat bahkan aktif dalam isu rakyat.
Bermula pada 2015, Alef Aeronautics ditubuh untuk membangunkan kereta terbang pertama di dunia.
Terbaharu, Alef Model A, kereta terbang yang dibangunkan oleh syarikat penerbangan dan automotif berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu telah mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA).
Menurut laman web rasmi syarikat itu, kereta terbang Alef boleh dipandu di semua jenis permukaan jalan. Ia juga boleh disesuaikan dengan lorong pemanduan standard dan mengikuti semua undang-undang trafik.
“FAA secara aktif mempersiapkan dasar bagi kenderaan berlepas dan mendarat elektronik menegak (eVTOL), selain mentadbir interaksi antara eVTOL dengan infrastruktur di darat.
“Sijil Kebolehpenerbangan Khas bagaimanapun mengehadkan lokasi dan tujuan Alef dibenarkan untuk terbang,” kata syarikat itu menerusi satu kenyataan.
Selain itu, Alef Model A menunjukkan keupayaan berlepas dan mendarat secara menegak, dan ia boleh memuatkan dua pengguna selain dikendalikan sepenuhnya oleh elektrik dan menghasilkan pelepasan sifar semasa ia beroperasi.
Kenderaan itu turut boleh diletakkan di ruang parkir biasa dan muat dalam garaj bersaiz standard.
Sementara itu, Alef Model boleh terbang sejauh 177 kilometer dan selain boleh dipandu sejauh 322 kilometer. Ia juga boleh diterbangkan ke mana-mana arah, termasuk ke depan, belakang, kanan, kiri, atas, bawah dan pada setiap sudut.
Harga kereta terbang Alef Model A bermula AS$300,000 (RM1.4 juta) dan dengan token AS$150, pratempahan kenderaan elektrik ini boleh dibuat di laman web Alef.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.