Ketahui 5 Perkara Mengenai Tengku Mahkota Pahang Berusia 23 Tahun Ini

 

Hari ini merupakan hari bersejarah buat Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah setelah dimasyurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang DAN Pemangku Raja Pahang.

 

Seperti yang dilaporkan oleh rakan media di Astro Awani, istiadat pelantikan dan pemasyuran di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Kuantan itu juga mencatat sejarah dalam Kesultanan Pahang moden apabila proses pemasyuran kedua-dua jawatan utama kerabat Diraja Pahang itu dilakukan serentak ke atas seorang ahli kerabat.

Berbanding beberapa ahli kerabat kesultanan negeri lain yang lebih – hhm – menonjol di khalayak ramai, Tengku Hassanal nyata lebih selesa dengan sikap low profile.

Walaupun tak banyak info yang rakyat ketahui mengenai Baginda, ini adalah 5 perkara yang menarik mengenai Tengku Hassanal.

 

01

Diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Baginda merupakan anakanda sulung kepada Al-Sultan Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah  dan Tengku Puan Pahang Tungku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

 

02

Baginda mempunyai dua orang adinda lelaki dan dua orang adinda perempuan. Mereka terdiri daripada Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muad’zam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.

Tengku Hassanal juga merupakan sepupu kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

 

03

Baginda Sultan mengakui akan kekurangan pengalaman yang dimiliki oleh Tengku Hassanal.

“Namun, Beta percaya Tengku Hassanal telah dilatih dengan baik untuk memegang kepercayaan dan menjalankan tuhas. Beta yakin dia boleh menjadi seorang pemimpin yang baik untuk negeri dan rakyat Pahang,” kata Baginda semasa mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu lalu.

 

04

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Thomas Kuantan sebelum menyambung pengajian di Caldicott Preparatory School dan di Sherborne School, kesemuanya terletak di Great Britain.

Pada tahun lalu, Baginda memperoleh ijazah sarjana muda dalam jurusan Perhubungan Antarabangsa daripada Fakulti Diplomasi Geneva di Switzerland. Sekaligus, baginda merupakan anakanda ketiga yang menerima ijazah selepas YM Tengku Amir Nasser dan YM Tengku Iman Afzan.

Buat masa ini, Tengku Hassanal sedang menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst di Great Britain, lokasi sama yang disertai oleh Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan DYTM Tengku Amir Shah. Namun setelah perlatikan dan pemasyuran ini, status pendidikan Baginda itu masih belum dapat dipastikan.

 

05

Pada usia 23 tahun, Tengku Hassanal mewarisi sikap ibunya yang cukup mesra rakyat semasa mencemar duli pada aktiviti kemasyarakatan di sekitar negeri Pahang terutamanya semasa rakyat negeri ditimpa musibah.

BACA: Putera Harry Telah Dimiliki, Ini 5 Lagi Putera Bujang Kacak