Berita

China Ketatkan Kawalan Media Sosial, Pempengaruh Wajib Ada Sijil Akademik Profesional

Share

Baru-baru ini, kerajaan China memperkenalkan langkah baru yang lebih ketat dalam usaha mengekang penyebaran maklumat palsu di platform media sosial, khususnya dalam kalangan pempengaruh digital. Langkah ini juga dilihat sebagai strategi kerajaan untuk mengawal penyampaian maklumat yang berkaitan dengan bidang profesional dan sensitif kepada masyarakat umum.

Peraturan Baru Untuk Pempengaruh Digital

Memetik laporan media antarabangsa, melalui kerjasama antara Cyberspace Administration of China (CAC) dan Kementerian Kebudayaan serta Pelancongan China, pempengaruh kini diwajibkan memiliki sijil akademik sah sekiranya ingin menghasilkan kandungan berkaitan topik profesional seperti perubatan, undang-undang, pendidikan dan kewangan. Peraturan ini bertujuan memastikan hanya individu yang benar-benar berkelayakan dapat berbicara mengenai bidang berisiko tinggi tersebut.

Pelaksanaan & Pemantauan Ketat Media Sosial

Dasar baru ini mula dikuatkuasakan sejak awal Oktober dan turut memberi tanggungjawab besar kepada penyedia platform media sosial utama seperti Douyin (TikTok versi China), Bilibili dan Weibo untuk memastikan pencipta kandungan mematuhi semua syarat terbaru yang ditetapkan kerajaan China.

Setiap individu yang mencipta kandungan diberi tempoh selama dua bulan untuk mengesahkan sijil akademik masing-masing sebelum mereka dibenarkan menerbitkan kandungan profesional. Langkah ini diambil bagi memastikan kesahihan dan kredibiliti individu yang berkongsi maklumat kepada pengguna media sosial di China.

BACA: “Kurangkan Bercinta, Banyakkan Cuci Mata” Pakar Kesihatan Di China Saran Wanita Lihat Lelaki Berotot Untuk Tingkatkan Mood

Ketelusan Kandungan & Penggunaan Teknologi AI

Pada masa yang sama, semua kandungan yang diterbitkan selepas ini wajib disertakan dengan sumber maklumat yang jelas. Pempengaruh juga perlu memaklumkan sekiranya kandungan mereka mengandungi unsur lakonan atau elemen yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI). Langkah ini diambil bagi meningkatkan ketelusan dan kepercayaan penonton terhadap kandungan digital di China.

Tanggungjawab & Pencegahan Berita Palsu

Penyedia platform media sosial turut diarahkan agar memastikan proses pengesahan dijalankan secara telus serta menasihatkan pengguna tentang kepentingan mematuhi undang-undang dan etika penyiaran maklumat dalam talian. Ini termasuk tanggungjawab mereka dalam mengekang penyebaran berita palsu dan kandungan mengelirukan.

Larangan Iklan & Kandungan Tidak Sah

Selain itu, CAC memperkenalkan langkah tambahan untuk menghalang penyamaran iklan dan promosi tersembunyi dalam kandungan media sosial. Antara peraturan baru termasuk larangan terhadap iklan perkhidmatan atau produk perubatan, makanan kesihatan serta konsultasi dalam talian yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa. Akaun yang menggunakan pendekatan pendidikan untuk tujuan promosi produk atau menyamar sebagai profesional turut diarah untuk ditutup.

Tindakan tegas ini juga bertujuan menyekat kandungan berunsur seksual yang disamarkan sebagai kandungan pendidikan. Dengan dasar baru ini, kerajaan China menegaskan komitmennya untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, beretika dan berintegriti untuk semua pengguna.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE