“Apabila anda memilih untuk makan di Thevar, anda akan mendapat banyak masakan yang biasa korang lihat kerana ia mewakili kepelbagaian rasa masakan India di Semenanjung Malaysia.”
Apabila seseorang individu kelahiran Malaysia menempah kejayaan di luar negara, tentunya REMAJA tumpang bangga dengan kisah mereka dalam memburu impian.
Satu nama baharu yang mencuri tumpuan kami ialah Manogren Murugan Thevar yang kini bergelar chef di restoran miliknya berstatus 1 Bintang Michelin di Singapura, Thevar.
Sejak kecil, Manogren atau lebih mesra dengan panggilan Mano membesar dengan masakan India. Dia sentiasa tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai variasi makanan sewaktu kecil apabila ibu bapanya sering membawanya keluar menjamu selera di lokasi berbeza sekitar Pulau Pinang.
Ads
Dari situlah, Mano jatuh cinta dengan pelbagai jenis masakan Melayu, India dan China.
Lalu, Mano memilih kerjaya dalam bidang seni kulinari. Dia mendapat latihan secara rasmi dalam penyediaan masakan Perancis selama bertahun-tahun di restoran Guy Savoy dan Waku Ghin yang diiktiraf dengan Bintang Michelin; sebelum berjaya membuka restorannya sendiri, Thevar pada tahun 2018.
Cuma, apa yang menjadikan kisah kejayaan Thevar ini lebih menarik adalah kerana Mano tidak pernah pun menyediakan masakan India sebelum ini.
Ads
Pada usia 29, Mano menghabiskan masa sebulan menjelajah negara India untuk meningkatkan apresiasi deria rasanya terhadap masakan India.
Biarpun REMAJA secara peribadinya belum pernah ke Thevar, Singapura untuk merasai sendiri keunikan rasa masakan Mano, chef itu menerusi temubualnya dengan Michelin Guide mengungkap masakan di Thevar sebagai, “Masakan moden India yang disediakan dengan teknik Perancis serta mempunyai keunikan masakan Semenanjung Malaysia.”
Rasa masakan dan cara Mano menyediakannya dijamin asli kerana menu tersebut dicipta khas olehnya menggunakan pengalaman serta teknik yang diasahnya sendiri.
Ads
Segala usaha keras Mano dalam membangunkan Thevar akhirnya mendapat berbaloi apabila restoran itu dianugerahkan pengiktirafan Bintang Michelin pertamanya dalam senarai MICHELIN Guide Singapore 2021 pada tahun lalu.
“Saya berharap, dengan cara saya sendiri, saya boleh membanggakan budaya saya.”
Tahniah Chef Manogren!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Mungkin mudah untuk seseorang pelajar mendapat Anugerah Dekan jika cemerlang pelajaran bagi semester tertentu. Namun bukan semua layak menerima Anugerah Pelajaran Diraja yang merupakan antara anugerah tertinggi diberikan sesebuah universiti kepada pelajarn yang cemerlang.
Selain hebat dalam pelajaran, pelbagai aspek lain turut diambil kira seperti ketokohan dan juga tambah nilai yang diberikan kepada universiti menerusi pelbagai program yang disertai.
Baru-baru ini, Ee Hui En telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Ke-16 Universiti Malaysia Pahang. Gadis berusia 25 tahun ini merupakan penerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses.
Tamat pengajian dengan gred purata nilai keseluruhan 3.89, Hui En yang merupakan anak bongsu kepada pasangan Ee Koon Poon, 66 seorang pesara dan Chua Siew Wan, 57, seorang tenaga pengajar menerima anugerah tersebut daripada Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor pada hari pertama Majlis Konvokesyen UMP Ke-16.
Selain cemerlang pelajaran dengan memperoleh anugerah dekan bagi setiap semester, ketokohan Hui En turut terserlah apabila dia diberi kepercayaan untuk menjawat beberapa jawatan penting dalam pelbagai persatuan, program dan kelab.
Antara jawatan yang disandang olehnya seperti Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2019/2020 dan Exco Akademik Perwakilan Mahasiswa Residen Kediaman 3 Sesi 2017/2018. Penglibatan aktif Hui En dalam program kesukarelawanan yang juga merupakan sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah membantu mengasah bakat kepimpinan yang ada dalam diri.
Kini gadis cemerlang ini telah memulakan kerjayanya sebagai seorang Jurutera Produk Baharu di sebuah syarikat swasta yang sebelum ini menjadi tempat dia menjalani latihan industri. Kongsinya, “Latihan industri yang saya jalani selama enam bulan di Moreth Sdn. Bhd. telah menarik minat saya untuk membangunkan karier dalam bidang Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal). Kini, saya merupakan Jurutera Produk Baharu di tempat yang sama dan ditawarkan jawatan tetap pada bulan ketiga berkhidmat.”
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber & Foto :Unit Komunikasi Korporat UMP
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Mari kita berbincang tentang perkataan “mensabitkan” dan “menyabitkan” dalam perkongsian pada kali ini. Perkataan yang bermula dengan “s” apabila menerima imbuhan “meN-” akan menjadi “meny-!”.
“Sabit” ada beberapa makna. Yang pertama, sudah tentu “sabit” yang mendukung maksud pisau yang melengkung untuk memotong padi, rumput dan sebagainya. Selain itu, sesuatu yang melengkung seperti sabit juga berkaitan dengan makna “sabit” yang pertama ini. Oleh itu, sekiranya kita hendak menyabit sesuatu untuk seseorang, maka kita boleh menggunakan perkataan “menyabitkan”.
Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:
Ketika adik sakit, datuk selalu “menyabitkan” adik dedaun herba untuk mengubatinya.
Yang menariknya, kita juga sering mendengar ayat seperti ini:
Lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah itu telah “disabitkan” oleh polis setelah memperoleh bukti yang kukuh.
Perkataan “disabitkan” dalam ayat 2 sudah semestinya berbeza dengan ayat 1 dan makna pertama “sabit”. Dalam ayat 2, kata dasar “sabit” ini asalnya kata adjektif dan bermaksud sudah nyata atau terbukti dan biasanya digunakan untuk sesuatu yang berkaitan kesalahan atau jenayah.
Jelaslah bahawa sabit ialah satu kata yang mempunyai banyak makna. Namun begitu, tahukah anda jika ayat 2 ditukarkan kepada ayat aktif, seperti dalam ayat 2a dan 2b yang berikut, ayat manakah yang betul?
2a. Polis telah menyabitkan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah itu setelah memperoleh bukti yang kukuh.
2b. Polis telah mensabitkan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah itu setelah memperoleh bukti yang kukuh.
Ayat yang betul ialah 2b, iaitu perkataan yang tepat ialah “mensabitkan”. Makna “mensabitkan” ialah mengaitkan seseorang dengan sesuatu pertuduhan atau kesalahan. Pengecualian daripada pematuhan sistem pengimbuhan lazim ini dibuat untuk membezakan makna kedua-dua perkataan ini. Hal ini turut menggambarkan kebijaksanaan bahasa kita.
Oleh itu, marilah kita menguasai penggunaan “menyabitkan” dan “mensabitkan”. Jangan sekali-kali perkataan ini ditukar ganti penggunaannya sehingga menjadi bahan seloroh.
Penyiaran artikel ini merupakan hasil kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Alex Leong Jun Wei
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sebagai remaja yang berwawasan untuk menerajui tampuk kepimpinan pada masa depan, kuasailah tatabahasa dari peringkat asas untuk berbahasa dengan tepat dan santun.
Kata nama am ialah golongan kata yang paling asas untuk dikuasai. Kata nama ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti orang, haiwan, dan sesuatu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, tempat, dan benda. Jelasnya, kata nama am digunakan bagi menyebut sesuatu secara am atau umum.
Di bawah disertakan contoh setiap jenis kata nama am:
Manusia: ustaz, guru, polis, askar, tukang kayu Binatang: tikus, kucing, lembu, kambing Benda: kapal terbang, pisau, buku, komputer, jam Konsep: kesejahteraan, keamanan, perpisahan, keindahan
Kata nama am boleh ditulis bergandingan penjodoh bilangan. Kata nama am juga ditulis bermula dengan huruf kecil kecuali pada permulaan ayat.
Berikut ialah beberapa binaan frasa nama yang menunjukkan kedudukan kata nama sebagai inti frasa nama dan perkataan-perkataan lain yang hadir sebelum dan selepasnya.
Pembaca mestilah menguasai konsep asas dalam tatabahasa terlebih dahulu supaya pembaca akan sentiasa beketerampilan dalam berbahasa.
Kesantunan menulis dengan betul akan menggalakkan orang lain menulis dengan cara yang betul. Keadaan ini akan membantu kita memartabatkan bahasa rasmi negara dan bahasa ibunda kita.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Puan Khannita binti Zakariah.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!