‘No Dog. Only Rimau Allowed’: Chant ‘Anjing’, Pamer Sikap Tak Sensitif Rakyat Malaysia?

825

Sukan SEA 2017 edisi ke 29 menyaksikan negara kita menjadi tuan rumah. Ia merupakan kali keenam Kuala Lumpur diberikan penghormatan sebagai tuan rumah. Bagi kejohanan sukan yang cukup istimewa buat warga seluruh Asia Tenggara ini, Kuala Lumpur telah dipilih. Bagi ramai atlet, Sukan SEA merupakan platform untuk mereka menentukan penanda aras pencapaian mereka di peringkat Asia Tenggara; yang mungkin menjadi pembuka jalan untuk meningkatkan prestasi seterusnya ke peringkat lebih tinggi.

Antara acara sukan yang selalu mendapat perhatian ramai ialah bola sepak. Di angkat sebagai sukan nombor satu bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh Asia Tenggara, setiap perlawanan bola sepak pastinya mendapat perhatian serta liputan yang lebih meluas. Edisi kali ini juga tidak kurang hebatnya. Pasukan negara kita diletakkan di dalam kumpulan A bersama Singapura, Brunei, Laos dan Myanmar.

Terkini, pasukan negara telah berjaya meraih tiga kemenangan dengan yang terbaru semalam menewaskan Myanmar dengan jaringan tiga berbalas satu. Setiap kali pasukan negara turun pastinya ribuan penyokong akan turun ke stadium. Mereka terdiri daripada pelbagai golongan tidak kiralah tua, muda atau pelbagai bangsa. Benarlah kata orang, tiada perkara lain yang boleh menyatukan rakyat Malaysia melainkan sukan.

Namun dalam perlawanan menentang Brunei dan Singapura baru-baru ini telah kedengaran satu nyanyian atau chant yang cukup tidak sedap didengar. Memanggil negara/pasukan lawan dengan gelaran ‘anjing’ bukanlah satu perkara yang boleh kita banggakan. Apatah lagi ditujukan kepada negara seperti Brunei yang sebelum ini tidak pernah ada perseteruan secara serius dalam mana-mana sukan dengan negara kita.

Sokongan yang ditunjukkan oleh penyokong Malaysia; tidak kiralah bagaimana bentuknya memang cukup ditagih oleh pasukan kebangsaan. Namun, adakah dengan memperlekehkan lawan dengan menggunakan gelaran ‘anjing’ boleh melemahkan semangat mereka? Kita sebagai negara tuan rumah seharusnya memberikan contoh terbaik. Dalam bersaing kita perlu ada rasa hormat kepada pihak lawan. Dengan hormat itu bukan bererti kita lemah atau takut, malah boleh menjadikan kita lebih kuat dengan sokongan yang total daripada semua pihak.

Adakah nyanyian/chant ‘anjing’ diterima oleh semua orang? Melihat reaksi daripada pelbagai pihak di media sosial, ia ternyata memberikan reaksi cukup berbeza/ rata-ratanya cukup tidak bersetuju dengan tindakan ini. Di bawah meurpakan antara rekasi-reaksi daripada netizen;

Di kalangan penyokong bola sepak, perkara ini bukanlah perkara yang baru. Pada edisi Piala AFF 2012, ia pernah menjadi viral kerana perkara yang sama telah berlaku ketika pasukan negara menentang Singapura. Mungkin ada mengatakan sentimen ini berlaku kerana rivalry cukup kuat antara Malaysia dan Singapura. Ada juga mengatakan ia berlaku kerana sebagai tanda protes disebabkan penyokong kita menerima layanan teruk dan tidak dibenarkan masuk ke Singapura dalam perlawanan sebelum itu.

Walau apa jua alasan, kami di  Remaja tidak menyokong sebarang bentuk cercaan atau provokasi yang boleh menjejaskan nama baik Malaysia serta hubungan dengan negara-negara jiran. Di manakah sempadan yang harus kita letakkan? Usahlah kita terlalu taksub dan menceduk idea daripada penyokong bola sepak daripada Eropah atau Amerika Selatan. Mari sama-sama kita bina sokongan dengan cara kita sendiri. Apa jua sub budaya yang di bawa ke dalam bola sepak perlulah kita selarikannya dengan budaya kita sebagai orang Timur dan biarlah mempunyai adab seperti yang diajarkan oleh agama.

Ambil yang jernih, buang yang keruh. Semoga sokongan penyokong bola sepak Malaysia terus berkekalan. Demi Harimau Malaya, demi negara tercinta, demi maruah demi Malaysia!

Raikanlah Sukan SEA 2017 ini dengan moto yang kita laungkan. Bangkit Bersama! Rising Together! #RisingTogether #BangkitBersama