Hiburan

Central Cee Umum Peluk Islam, Tukar Nama Kepada Akhil

Share

Penyanyi rap terkenal, Central Cee, baru-baru ini mencuri perhatian peminat di media sosial apabila secara terbuka mendedahkan bahawa beliau telah memeluk agama Islam. Perkara itu dikongsikan sendiri olehnya menerusi satu sesi siaran langsung, sekaligus mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat dan industri hiburan antarabangsa.

Menerusi siaran langsung bersama pencipta kandungan, PlaqueBoyMax, Central Cee atau nama sebenarnya Oakley Neil Caesar-Su turut mengumumkan bahawa beliau telah menukar nama pertama Islamnya kepada Akhil.

“Baru saja tukar nama. Saya dah lafazkan syahadah,” katanya ringkas.

Untuk pengetahuan, syahadah merupakan pengakuan keimanan dalam Islam dan ia adalah salah satu daripada lima Rukun Islam. Ia juga menandakan satu fasa baru dalam kehidupan peribadi penyanyi itu, yang sebelum ini tidak pernah berkongsi secara terbuka mengenai pegangan atau kepercayaan agamanya.

Susulan itu, keputusan rapper yang kini berusia 28 tahun tersebut untuk memeluk Islam turut menerima reaksi positif daripada komuniti Muslim di seluruh dunia. Ramai yang menyambut baik penghijrahan tersebut dan mendoakan agar perjalanan baharunya sebagai seorang Muslim dipermudahkan.

Pada masa yang sama, Central Cee terus dikenali sebagai antara figura paling berpengaruh dalam dunia rap UK. Berasal dari Shepherd’s Bush, London, beliau mula mencipta nama sekitar tahun 2020 menerusi lagu-lagu genre drill seperti ‘Day in the Life’ dan ‘Loading’ yang mendapat sambutan meluas.

Kerjayanya terus melonjak apabila lagu berjudul Sprinter berjaya menduduki tempat pertama Carta Single UK pada tahun 2023. Kejayaan itu turut disokong dengan pelbagai kolaborasi berprofil tinggi bersama nama besar industri muzik antarabangsa seperti Drake dan J. Cole.

Dalam satu temu bual sebelum ini, Central Cee pernah berkongsi mengenai perjalanan kerjayanya yang bergerak pantas sambil mengakui jadual kerja yang padat membuatkan beliau jarang mempunyai masa untuk merenung pencapaiannya.

“Sekarang ini barulah semuanya benar-benar terasa. Saya bergerak terlalu pantas untuk tempoh yang lama sampai tak sempat nak hadam semua yang berlaku,” jelasnya.

Terdahulu, album sulungnya berjudul ‘Can’t Rush Greatness’ yang dilancarkan tahun lalu, berjaya menduduki tempat pertama Carta Album UK dan mencipta sejarah sebagai album rap UK pertama yang menembusi kelompok 10 teratas carta di Amerika Syarikat.

Selain itu, penghijrahan Central Cee ini dilihat sebagai satu detik penting dalam kehidupannya, seiring dengan kerjaya global yang terus berkembang pesat.

BACA: “Alhamdulilah, Saya Kini Seorang Muslim” Richard Chin Dedah Peluk Islam November Lalu

BACA: “Nama Islam Saya Ialah Liana Alara” Kekasih Ben Amir, Maiya Sah Peluk Islam

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE