Khabar duka masih menyelubungi seluruh negara sejak malam tadi apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam, pada usia 85 tahun.
Sepanjang enam tahun memimpin negara, Tun Abdullah bukan saja dikenang dengan pendekatan kepimpinan yang tenang dan berhemah, tapi juga kerana satu slogan yang sampai sekarang masih segar di ingatan rakyat iaitu ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’ menjadi simbol pentadbiran beliau yang fokus pada pembangunan menyeluruh dari segi ekonomi, pendidikan, sains, hingga nilai kemanusiaan.
Pendekatan gaya kepimpinan beliau sangat berbeza dan Tun Abdullah tidak memilih untuk garang atau populis, sebaliknya percaya bahawa kejayaan negara bermula dari pembangunan insan. Disebabkan itu jugalah beliau dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan dan sentiasa ingin memastikan anak muda negara ini mempunyai ilmu, etika dan jiwa besar.
“Apabila kita berjaya mencapai tahap cemerlang, gemilang dan terbilang, walau sekecil manapun bilangan kita, walau sebesar manapun perhimpunan, walau di bumi mana kita berada, walau di bawah langit mana kita bernaung, kehadiran kita akan dirasai dan diberi penghormatan,” begitulah petikan ucapan beliau ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO ke-56 pada 2005.
Dalam pada itu, Tun Abdullah turut disanjung kerana menjadi salah seorang pemimpin yang tidak suka menunjukkan kuasa dan memilih pendekatan yang lebih lembut, bijak dan berjiwa rakyat.
“Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama saya,” antara kata-kata keramat yang membuktikan gaya kepimpinan beliau yang inklusif. Pada awal pentadbirannya beliau juga jelas mahu rakyat, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik bekerja bersama-sama dalam membangunkan negara.
Selain itu, beliau turut memperjuangkan integriti dan ketelusan dengan melancarkan Pelan Integriti Nasional serta menubuhkan Institut Integriti Malaysia. “Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan, tetapi muflis dari segi nilai moral, etika dan integriti,” katanya sewaktu pelancaran pelan tersebut — satu mesej yang masih relevan hingga hari ini.
Tun Abdullah juga menaik taraf BPR menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuh usaha membanteras rasuah. Malah, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap PDRM membuktikan iltizam beliau untuk memperbaiki institusi negara demi kebaikan rakyat.
Walaupun kini Pak Lah sudah pergi meninggalkan rakyat Malaysia, semangat yang dibawa beliau pasti masih kekal hidup. Slogan ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’ bukan sekadar kenangan, tetapi menjadi prinsip hidup dan pentadbiran akan kekal dikenang generasi muda. Kami di REMAJA mengucapkan salam takziah dan terima kasih atas segala jasa Pak Lah. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman, Al-Fatihah.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Awal pagi Khamis, dunia dikejutkan dengan laporan bahawa 12 aktivis kemanusiaan Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Israel selepas beberapa kapal yang mereka naiki dipintas ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.
Antara individu yang berada dalam senarai tahanan ialah penyanyi Zizi Kirana, pendakwah selebriti Heliza Helmi bersama adiknya Hazwani Helmi, pelakon Ardel, selain personaliti media sosial serta aktivis kemanusiaan, Farah Lee.
Menurut kenyataan daripada Sekretariat Nusantara Care for Community (SNCC), kapal yang membawa delegasi Malaysia iaitu Alma, Sirius, Huga, Grande Blu dan Hio yang telah dipintas oleh pihak Israel.
Dengan penahanan terbaharu ini, jumlah keseluruhan aktivis kemanusiaan Malaysia yang terbabit meningkat kepada 12 orang, melibatkan beberapa nama artis serta aktivis tanah air.
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) itu disertai aktivis dari seluruh dunia sebagai simbol solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin. Selain itu, kapal-kapal terbabit juga membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta barangan asas ke Gaza.
Dalam kenyataan rasmi, Perdana Menteri Malaysia menegaskan pendirian kerajaan terhadap insiden tersebut.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas kapal-kapal Global Sumud Flotilla. Kapal-kapal ini membawa orang awam yang tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan penting untuk Gaza, namun mereka telah disambut dengan intimidasi dan paksaan.
“Malaysia akan menggunakan segala saluran yang sah dan sahih bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya dalam perkara yang melibatkan keselamatan warganegara Malaysia.
“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah keutamaan, dan kita tidak akan membiarkan ia digadai tanpa sebarang tindakan,” kata dalam kenyataan.
Kerajaan Malaysia kini memantau rapat situasi berkenaan bagi memastikan keselamatan semua aktivis negara terjamin, dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, kisah seorang pelajar STPM cemerlang menjadi bualan hangat di media sosial selepas mendakwa dirinya gagal mendapat tempat dalam program Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Malaya (UM).
Pelajar tersebut, Edward, memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) penuh 4.00, markah kokurikulum 9.9/10, sekali gus menjadikan merit keseluruhannya 99.90%. Namun begitu, enam universiti penyelidikan termasuk UM, UKM, UPM, UUM, UTM dan USM menolak permohonannya.
Berita ini mengejutkan ramai kerana Edward dianggap calon ideal dengan merit hampir sempurna. Rasa kecewa itu membawa Edward membuat aduan kepada parti MCA, sekali gus menimbulkan persoalan orang ramai tentang sejauh mana sistem pemilihan universiti awam benar-benar adil.
Persaingan Sangat Ketat
Data rasmi menunjukkan Edward sebenarnya berdepan persaingan yang terlalu sengit. Contohnya di UM, terdapat 2,291 permohonan layak, dengan 1,127 calon memperoleh merit penuh 100%. Edward berada di kedudukan 1,129 sedangkan UM hanya menyediakan 85 tempat untuk program perakaunan.
Situasi yang sama berlaku di universiti lain:
UPM: 4,154 permohonan, 1,718 merit penuh, 100 tempat sahaja. Edward di ranking 1,724.
UUM: 2,595 permohonan, 1,282 merit penuh, 350 tempat. Edward di ranking 1,288.
UTM: 2,292 permohonan, 1,060 merit penuh, 55 tempat. Edward di ranking 1,062.
Jelas bahawa walaupun Edward cemerlang, jumlah calon yang memiliki merit tinggi jauh lebih ramai berbanding kapasiti tempat yang ditawarkan.
Penjelasan Rasmi KPT
Isu ini turut mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman menegaskan bahawa semua keputusan pemilihan pelajar dibuat berdasarkan sistem meritokrasi tanpa campur tangan luar.
“KPT ingin tegaskan bahawa semua keputusan UPUOnline dijana oleh sistem berdasarkan pemarkahan merit yang ditetapkan mengikut kursus atau program yang dimohon,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, Edward sebenarnya berjaya ditawarkan program Sarjana Muda Pengurusan dengan Kepujian di sebuah universiti penyelidikan terkemuka, iaitu pilihan kelima yang diisi sendiri.
Walaupun begitu, KPT dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menyatakan kesediaan mereka untuk menerima pandangan masyarakat dalam usaha menambah baik sistem pemilihan agar lebih telus dan adil pada masa akan datang.
Apa Yang Kita Boleh Belajar?
Kes Edward membuka semula perdebatan tentang kapasiti universiti awam dan tahap persaingan dalam kalangan pelajar cemerlang. Hakikatnya, pelajar zaman kini semakin ramai yang hebat dan bijak. Kalau kita rasa sudah cukup cemerlang, ada beribu lagi yang sama-sama bersaing.
Untuk remaja yang bakal menyambung pengajian, ini adalah peringatan bahawa bukan akademik semata-mata yang jadi penentu. Strategi memilih kursus, persediaan kokurikulum, serta keterbukaan menerima pilihan lain juga sangat penting dalam perjalanan pendidikan tinggi.
Akhirnya, jalan menuju kejayaan bukan hanya bergantung pada universiti pilihan pertama, tetapi bagaimana kita memanfaatkan peluang yang ada untuk mencipta masa depan lebih cerah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan tampil meminta orang ramai supaya membaca dan meneliti kenyataan penuhnya yang dikemukakan di Parlimen berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kelmarin.
Menurut beliau, masyarakat perlu mengamalkan sikap bertabayyun dengan mendapatkan maklumat yang tepat serta merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat sebarang spekulasi terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan.
“Saya menjemput semua termasuk ahli-ahli Parlimen dan seluruh anggota masyarakat untuk merujuk dan meneliti dengan jujur jawapan penuh bertulis di Parlimen.
“Saya menegaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak normalisasi LGBT kerana bercanggah dengan agama, moral dan nilai masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan tersebut hadir susulan kritikan yang diterima beliau daripada pengguna media sosial berkaitan jawapan bertulis di Parlimen yang menyentuh isu tekanan kerja yang mungkin menjadi antara faktor mendorong seseorang individu terlibat dalam LGBT.
Jawapan bertulis itu dikemukakan bagi menjawab soalan daripada Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) yang meminta Perdana Menteri menyediakan data dan statistik terkini berkaitan trend isu LGBT di Malaysia.
Ini termasuk pecahan peratusan dan kumpulan umur yang terlibat, komposisi etnik berdasarkan kajian nasional atau laporan agensi berkaitan, serta faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes LGBT di negara ini.
Jawapan penuh Menteri boleh dirujuk menerusi laman rasmi Parlimen di pautan berikut:
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: BH Online
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!