Perjalanan untuk mencapai kejayaan bukanlah mudah, setiap orang memiliki kisahnya yang tersendiri. Setiap satu liku yang dilalui menjadi satu pengalaman berharga untuk diguna pakai dalam mengemudi kehidupan.
Begitulah juga dengan Muhammad Hazwanudin Nassarudin yang cemerlang sepanjang bergelar seorang pelajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Bukan sahaja hebat dalam bidang akademik dia juga cemerlang dalam kokurikulum. Oleh sebab itu dia telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena istiadat konvokesyen kali ke-95 UiTM yang berlangsung hari ini.
Menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Kepujian) Pengurusan Seni dengan nilai purata gred keseluruhan 3.81, jejaka tampan ini telah menenerima anugerah tersebut daripada Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Norashikin.
Dalam satu temubual bersama unit komunikasi korporat UiTM, Hazwanudin berkongsi perasaan gembiranya apabila dia diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut. “Saya rasa berbesar hati dan bangga kerana antara ramai graduan saya antara yang dipilih oleh pihak universiti dan terima kasih pihak fakulti yang telah mencalonkan saya.
Ads
“Secara jujurnya saya tidak langsung tahu mengenai anugerah ini, tetapi selepas proses temuduga berlangsung dan saya mendapat keputusan daripada pihak UiTM bahawa saya mendapat anugerah ini. Melalui saat itulah saya membuat sedikit research untuk tahu tentang anugerah ini. Kepada graduan di luar sana, usaha lebih sikit untuk capai anugerah ini,” kongsinya panjang lebar.
Merupakan bekas pelajar SMK Methodist ACS Ipoh, tanpa usaha yang jitu dan juga semangat yang tinggi sebagai seorang graduan, tidak mungkin jejaka ini mampu untuk menjadi yang terbaik. Pasti ada tip dan juga amalan yang diamalkan ketika masih bergelar pelajar di peringkat sarjana muda tidak lama dahulu.
“Rangkul peluang sebanyak mungkin ketika belajar di universiti masing-masing. Cuba menjadi yang terbaik antara yang terbaik dan rebut ilmu sebanyak mungkin kerana setiap pensyarah-pensyarah di sekeliling anda itu adalah punca ilmu untuk anda berjaya,” ujarnya berkongsi tip kepada pelajar yang masih lagi di peringkat pengajian.
Bukan hanya menumpukan kehidupan universiti dalam bidang akademik, jejaka berkulit hitam manis ini aktif dalam kokurikulum. REMAJA yang meninjau ke halaman linkedin miliknya, dia banyak terlibat dalam bidang pengurusan acara berskala besar saat berada di Fakulti Filem, Teater dan Animasi (Kini dikenali sebagai Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM).
Ads
Antara jawatan yang dipegangnya seperti Ketua Penyelaras Acara & Pengurus Produksi, Penolong Pengurus Pentas Untuk Emcee, Ketua Jabatan Tajaan Wirasa UiTM dan Ketua Penyelaras Acara. Usai tamat pengajian, Hazwanudin kini berkhidmat di bahagian Perhubungan Antarabangsa (Kebudayaan) di Kementerian Pelacongan, Seni dan Budaya sejak Mac 2021 lagi.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tatabahasa bahasa Melayu sesungguhnya amat unik dan menarik. Antara yang menarik untuk dikongsi pada kali ini ialah ragam ayat pasif untuk kata kerja transitif berimbuhan “ter-”.
Penutur bahasa Melayu lazimnya menguasai kemahiran untuk menukarkan ayat aktif kepada ayat pasif. Sebagai contoh:
Jenis Ayat
1
2
3
Ayat aktif
Saya belum membaca novel itu.
Kamu telah membaca novel itu?
Dia tidak membaca novel itu.
Ayat Pasif
Novel itu belum saya baca.
Novel itu telah kamu baca?
Novel itu tidak dibaca olehnya.
Perbezaan tentang ayat pasif diri pertama, diri kedua dan diri ketiga juga dikuasai oleh kebanyakan penutur bahasa Melayu walaupun kesilapan umum seperti “Novel itu belum dibaca oleh saya,” “Novel itu telah dibaca oleh kamu” dan “Novel itu tidak dia baca sering dilakukan”.
Banyak penutur bahasa Melayu sering keliru apabila kata kerja transitif aktif digunakan dalam ayat aktif berimbuhan “ter-”.
Sebenarnya, kata kerja transitif berimbuhan “ter-” amat penting dan mendukung pelbagai maksud dan penggunaan.
Contohnya,
Saya tertelan pil tidur itu kerana tidak membaca label ubat dengan teliti.
(Maksud tertelan: tidak sengaja menelan)
Kamu terangkat almari yang berat itu tanpa bantuan sesiapa?
(maksud terangkat: berupaya untuk mengangkat)
Jika diperhatikan, kata kerja transitif berimbuhan “ter-” ini memang berasal daripada kata kerja transitif berimbuhan “meN-”. Sebagai contoh, tertelan dan terangkat dalam ayat 1 dan 2 di atas boleh digantikan dengan menelan dan mengangkat. Walau bagaimanapun, makna keseluruhan ayat akan berubah walaupun masih gramatis. Kesilapan sering berlaku apabila ayat 1 dan 2 dipasifkan.
Ayat aktif
Saya tertelan pil tidur itu kerana tidak membaca label ubat dengan teliti.
Kamu terangkat almari yang berat itu tanpa bantuan sesiapa?
Ayat pasif yang salah
1a. Pil tidur itu saya telan kerana tidak membaca label ubat dengan telitinya.
2a. Almari yang berat itu kamu angkat tanpa bantuan sesiapa?
1b. Pil tidur itu saya tertelan kerana tidak membaca label ubat dengan teliti.
2b. Almari yang berat itu kamu terangkat tanpa bantuan sesiapa?
Ayat pasif yang tepat
1c. Pil tidur itu tertelan oleh saya kerana tidak membaca label ubat dengan teliti.
2c. Almari yang berat itu terangkatoleh kamu tanpa bantuan sesiapa?
Ayat 1a dan 2a gramatis tetapi makna khusus “tidak sengaja” dan “berupaya” dalam imbuhan “ter-” sudah hilang. Oleh sebab itu ayat 1a dan 2a bukan ayat pasif untuk ayat aktif 1 dan 2. Ayat 1b dan 2b pula menyalahi hukum tatabahasa. Oleh itu, untuk ayat aktif dengan kata kerja transitif berimbuhan “ter-”, struktur ayat pasifnya, baik ayat pasif diri pertama, diri kedua atau diri ketiga semuanya sama sahaja, misalnya tertelan oleh saya dan terangkat oleh kamu.
Kesimpulannya, kita boleh menggunakan ayat seperti “Novel yang tebal itu terbaca oleh saya”.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Alex Leong Jun Wei
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Seorang pelajar lelaki, Ahmad Khidir Ahmad Nazri, telah menarik perhatian ramai selepas dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar Cemerlang dalam majlis penganugerahan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee, George Town, Pulau Pinang.
Melalui hantaran yang dimuat naik oleh kakaknya, Fatimah Azzahra, di laman TikTok, dia meluahkan rasa bangga atas kejayaan adiknya yang meraih lima jenis anugerah.
Antara anugerah tersebut adalah sebagai Timbalan Ketua Pengawas, tempat pertama di kelas dan tingkatan, serta terbaik dalam beberapa mata pelajaran.
Apa yang lebih membanggakan, Khidir merupakan satu-satunya pelajar Melayu yang berulang kali naik ke pentas untuk menerima penghargaan pada majlis tersebut, sekali gus membuatkan netizen teruja dan kagum dengan pencapaiannya.
“So proud of you brother! Fly high and higher,” tulis Fatimah Azzahra dalam kapsyen hantaran itu.
Di ruangan komen, ramai netizen turut menzahirkan ucapan tahniah dan berbangga dengan kejayaan Khidir. Pencapaiannya secara tidak langsung memberikan inspirasi dan menaikkan semangat pelajar Melayu untuk terus berjaya dalam bidang pendidikan.
Selain itu, Khidir turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi doa dan sokongan kepadanya. Dalam kesempatan tersebut, dia menyeru pelajar lain untuk belajar dengan bersungguh-sungguh demi membanggakan keluarga serta guru.
“Terima kasih semua orang atas doa dan teguran. Tolong doakan SPM saya terus cemerlang ya!
“Dan saya doakan calon-calon SPM yang lain berjaya dengan cemerlang juga. Jom kita sama-sama banggakan ibu bapa dan guru,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Badang kerdil negara, Bonnie Bunyau Gustin baru-baru ini membuktikan keperkasaannya di pentas antarabangsa sekali lagi selepas berjaya merangkul kejuaraan dunia dalam acara Para Powerlifting Dunia 2025 di Kaherah. Selain itu, kemenangan ini juga melakar sejarah baru buat atlet berusia 26 tahun itu apabila kekal mempertahankan gelaran juara dunia buat kali keempat berturut-turut.
Menerusi aksi final kategori lelaki bawah 72 kilogram, Bonnie mempamerkan kekuatan luar biasa dengan melakukan angkatan terbaik seberat 230kg. Catatan itu mengatasi pesaing utamanya dari China, Zhang Pingkang yang mengangkat 222kg, dan atlet Britain, Mark Swan yang menamatkan saingan dengan 217kg.
Dalam pada itu, Bonnie turut mendominasi kategori jumlah angkatan keseluruhan dengan rekod 672kg, jauh meninggalkan Amir Jafari Arangeh dari Iran (581kg) dan Swan (427kg). Kemenangan tersebut sekaligus menghadiahkan dua pingat emas kepada Malaysia dalam kejohanan berprestij tersebut.
Pada masa yang sama, kejayaan ini bukan sahaja mengekalkan statusnya sebagai atlet para elit dunia, malah mengukuhkan reputasinya sebagai antara atlet paling konsisten dalam sejarah sukan para powerlifting dan Bonnie kini menjadi satu-satunya atlet yang berjaya menjuarai edisi 2019, 2021, 2023 dan kini 2025 secara berturut-turut.
Lebih menarik lagi, kemenangannya di Kaherah kali ini hadir walaupun angkatan Bonnie sedikit di bawah rekod dunia miliknya sendiri iaitu 232kg yang dicatat ketika meraih emas di Paralimpik Paris 2024. Namun, kekuatan mental dan teknik angkatan yang sempurna sudah cukup untuk memastikan dominasi globalnya tidak tergugat.
Prestasi hebat beliau di bumi Mesir itu sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia masih kekal sebagai antara kuasa besar dalam sukan para powerlifting dunia. Aksi Bonnie turut menjadi bukti jelas bahawa semangat juang tinggi dan disiplin mampu mengekalkan prestasi di peringkat tertinggi.
Kredit foto: FB MSN
Sementara itu, pada edisi kali ini menyaksikan penyertaan atlet dari 70 negara yang berentap merebut pingat serta kelayakan ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28). Saingan sengit daripada barisan atlet dunia tidak menghalang Bonnie untuk terus mengekalkan rentak juara.
Untuk pengetahuan, Bonnie kini mengumpul empat gelaran dunia, dua kejuaraan Paralimpik, satu emas Komanwel, tiga emas Piala Dunia dan satu emas Para Asia. Menerusi pencapaian itu menjadikan beliau antara atlet para paling berjaya dan disegani dalam sejarah sukan negara.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Penutupan jalan Batu Caves Thaipusam bermula 30 Januari hingga 3 Februari. Ketahui senarai jalan ditutup, laluan alternatif dan amaran penting untuk elak kesesakan teruk.