
Bagi meningkatkan tahap keselamatan pelajar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan beberapa kriteria sebagai panduan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan asrama tahun ini. Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, keutamaan akan diberikan kepada sekolah yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi buli.
Antara kriteria lain yang turut diambil kira termasuk:
• Rekod kes buli dalam tempoh dua tahun terkini
• Kepadatan penghuni atau enrolmen murid
• Perlindungan sedia ada (jika tiada CCTV atau liputannya tidak mencukupi)
• Kesiapsiagaan infrastruktur elektrik dan rangkaian

Selain itu, KPM juga akan mendapatkan pengesahan semakan tapak serta khidmat nasihat teknikal daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) bagi memastikan penempatan kamera dibuat dengan betul.
“Panduan ini digariskan bagi memastikan pelaksanaan pemasangan CCTV mematuhi prinsip perlindungan data peribadi serta privasi murid selaras dengan kehendak undang-undang dan dasar KPM,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Fadhlina turut memaklumkan bahawa pemasangan CCTV di asrama-asrama lain akan dilakukan secara berfasa, tertakluk kepada peruntukan kewangan serta inisiatif belanjawan tahun 2026.

“KPM menegaskan bahawa pemasangan CCTV secara berfasa ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memastikan kesejahteraan murid,” ujarnya.
Langkah ini juga menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari (PH) mengenai perincian inisiatif KPM bagi menangani isu buli di sekolah.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, turut memaklumkan bahawa sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan bagi pemasangan CCTV di 200 asrama sekolah di bawah kendalian KPM bermula 13 Oktober lalu.

“KPM memandang serius setiap insiden yang membabitkan kesejahteraan murid kerana kejadian seumpama ini bukan sahaja menyentuh aspek keselamatan fizikal tetapi juga memberi kesan mendalam terhadap emosi, pembelajaran dan masa depan anak-anak kita,” tegas Fadhlina.
Dengan langkah ini, diharapkan persekitaran sekolah dan asrama dapat menjadi tempat yang lebih selamat, kondusif dan bebas daripada budaya buli.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!









