
Terbaru, dunia fesyen tempatan menerima suntikan baharu apabila jenama pakaian dari China, CABBEEN, berkolaborasi bersama label streetwear tempatan, 2AM menerusi sebuah pop-up eksklusif di The Starhill, Kuala Lumpur pada 4 Mac hingga 8 Mac lalu.
Lebih daripada sekadar ruang pameran, selama lima hari, ruang ikonik itu berubah menjadi sebuah area fesyen futuristik menampilkan gabungan ‘tailoring’ berkarakter, instalasi seni bina diinspirasikan daripada bentuk bagasi berskala besar serta inovasi kasut cetakan 3D yang mencuri perhatian.
Difahamkan, konsep ruang ini direka untuk membawa pengunjung menyelami imaginasi masa depan fesyen, di mana rekaan potongan klasik dipadukan dengan estetika urban yang berani serta sentuhan futuristik. Hasilnya, pop-up ini hidup seperti sebuah galeri fesyen interaktif yang hidup, meraikan pertembungan antara gaya, seni dan inovasi.
Kolaborasi CABBEEN X 2AM ini juga penting bagi CABBEEN memperluaskan pengaruhnya ke pasaran antarabangsa. Sebagai salah satu jenama China yang semakin mendapat perhatian global, kehadiran mereka di Kuala Lumpur memperlihatkan keyakinan terhadap pasaran Malaysia, selain mengukuhkan imej jenama yang menggabungkan identiti budaya dengan pendekatan fesyen kontemporari.
Namun antara tarikan paling mencuri tumpuan sudah tentu koleksi kasut sneaker inovatif daripada 2AM yang menggunakan teknologi cetakan 3D generasi baharu, kasut-kasut ini menampilkan struktur jaringan bernafas 360 darjah yang ringan tetapi tahan lasak.
Antara koleksi kasut yang mencuri perhatian seperti Awake, Rocker, Evolve dan Hybrid memperlihatkan siluet dramatik dengan struktur yang unik, menjadikan setiap langkah seolah-olah satu pernyataan gaya.
Inovasi cetakan 3D ini juga memberikan kelebihan dari segi keselesaan serta pendekatan yang lebih mesra alam, sambil menonjolkan visi masa depan kasut yang semakin berasaskan teknologi.
Bagi peminat fesyen urban, kerjasama CABBEEN X 2AM ini turut membuka peluang untuk menyaksikan sendiri bagaimana estetika global bersatu dengan inovasi rekaan dari Asia. Dengan konsep ruang yang menyeluruh dan koleksi eksklusif terhad, pengalaman ini memberi sekilas pandang ke arah masa depan fesyen yang fleksibel digayakan tanpa mengira jantina.
Sementara itu, acara pelancaran pop-up CABBEEN X 2AM ini juga diserikan dengan kehadiran figura terkenal seperti Nadhir Nasar, Zarif Ghazzi, pereka fesyen Hatta Dolmat, serta bekas finalis Dewi Remaja 2025, Camelia Natasya, selain ramai lagi tetamu jemputan dari dunia fesyen dan hiburan yang hadir untuk menyaksikan sendiri gabungan gaya dan inovasi yang dipersembahkan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.