
Saringan kedua Jalen Star Chef musim kedua yang berlangsung di UiTM Permatang Pauh terus memperlihatkan persaingan menarik dalam kalangan pelajar kulinari dan hospitaliti dari institusi pengajian tinggi tempatan.
Kali ini, antara penyertaan yang mencuri perhatian ialah wakil daripada Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS). Membawa semangat baharu ke pentas pertandingan, UniSHAMS diwakili oleh tiga peserta iaitu Nur Asma Izzati Binti Alias, 21, Syed Azimuddin Bin Syed Azizul, 27, dan Muhammad Afiq Bin Arifin, 23.
Ketiga-tiga mereka tampil sebagai peserta yang pertama kali menyertai pertandingan memasak seumpama ini. Namun, status sebagai ‘first timer’ tidak menghalang mereka untuk mencabar diri, keluar daripada zon selesa dan merasai sendiri tekanan sebenar dunia kulinari kompetitif.
Penyertaan dalam Jalen Star Chef 2 juga menjadi peluang penting buat mereka untuk menimba pengalaman baharu serta memahami realiti sebenar pertandingan memasak profesional.
Bagi Syed Azimuddin, pengalaman menyertai Jalen Star Chef 2 memberikan perasaan yang cukup berbeza. Pada awalnya, dia mengakui berasa seronok kerana berpeluang menyertai pertandingan tersebut. Namun, apabila sudah berada dalam suasana sebenar pertandingan, perasaan itu mula bertukar menjadi satu cabaran besar.
Menurutnya, apabila melihat peserta lain turut bersaing dengan serius, semangat kompetitif itu mula terasa. Situasi tersebut membuatkan dia lebih tercabar untuk memberikan yang terbaik dan membuktikan kemampuan diri di dapur.
Nur Asma Izzati pula mengakui dia berasa teruja dan gementar dalam masa yang sama. Sebagai peserta yang pertama kali menyertai pertandingan seperti ini, perasaan nervous itu memang sukar dielakkan.
Pada awalnya, dia cuba untuk kekal tenang. Namun, apabila melihat peserta lain mula bersiap dan menunjukkan kesungguhan masing-masing, rasa gugup itu semakin terasa. Baginya, pengalaman ini membuka matanya tentang suasana sebenar pertandingan memasak yang bukan sahaja memerlukan kemahiran, tetapi juga ketenangan mental.
Sementara itu, Muhammad Afiq pula melihat penyertaan ini sebagai satu cabaran baharu, terutama dari segi pengurusan masa. Jika sebelum ini latihan biasa dilakukan dalam tempoh lebih sejam, pertandingan Jalen Star Chef 2 hanya memberikan masa sekitar 45 minit untuk menyiapkan hidangan.
Bagi Afiq, kekangan masa tersebut menjadi cabaran utama kerana peserta perlu bergerak pantas dari awal hingga akhir. Dalam tempoh singkat itu, mereka perlu merancang kerja, menyediakan bahan, memasak, memastikan rasa hidangan seimbang dan melakukan plating dengan kemas.
Dalam pertandingan memasak, 45 minit mungkin kedengaran mencukupi. Namun, bagi peserta yang berada di dapur pertandingan, setiap minit sangat berharga.
Wakil UniSHAMS mengakui tempoh tersebut agak mencabar, terutamanya apabila mereka perlu mengolah produk-produk Jalen ke dalam hidangan masing-masing. Bukan sekadar memasukkan bahan ke dalam masakan, peserta perlu memahami rasa produk tersebut terlebih dahulu sebelum menentukan sukatan yang sesuai.
Menurut mereka, cabaran utama ialah memastikan penggunaan produk Jalen tidak terlalu berlebihan atau terlalu kurang dalam hidangan. Setiap bahan perlu dirasa, dinilai dan disesuaikan supaya hasil akhir benar-benar seimbang dari segi rasa dan persembahan.
Walaupun begitu, produk Jalen yang pelbagai turut memberi ruang kepada peserta untuk lebih kreatif. Dengan pilihan produk yang banyak, mereka boleh mencuba olahan berbeza dan menyesuaikannya mengikut idea masakan masing-masing.
Walaupun pertama kali menyertai pertandingan sebegini, ketiga-tiga peserta UniSHAMS melihat pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang sangat berharga.
Apabila ditanya sama ada mereka akan menyertai lagi pertandingan memasak pada masa akan datang, masing-masing memberikan jawapan yang positif. Bagi mereka, sekiranya ada rezeki dan peluang, mereka tidak menolak untuk mencuba lagi.
Syed Azimuddin menyatakan bahawa pengalaman seperti ini membuatkan dirinya lebih yakin untuk menyertai pertandingan lain pada masa hadapan. Asma pula melihat peluang ini sebagai satu pendedahan penting untuk mengasah keberanian diri. Afiq juga senada apabila menyatakan kesediaannya untuk mencuba lagi jika diberikan peluang.
Penyertaan UniSHAMS menerusi Jabatan Pengajian Hospitaliti di saringan kedua Jalen Star Chef 2 ini membuktikan bahawa bakat muda dalam bidang kulinari tempatan mempunyai potensi besar untuk terus diketengahkan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.