Berita

“Bukan Minta Sedekah, Tapi Cari Rezeki” -Berniaga Bersama Anak, Kisah Penjual Roti John Ini Buat Ramai Tersentuh

Share

Di sebalik kesibukan kota, kisah seorang penjual roti john di tepi jalan mencuri perhatian ramai apabila videonya tular di TikTok. Lelaki itu ialah Zakaria Amsar, 41, yang gigih mencari rezeki demi menyara isteri dan tiga orang anaknya.

Zakaria tidak pernah mengajar anak-anaknya untuk malu bekerja. Baginya, selagi rezeki dicari dengan cara yang halal dan bermaruah, tiada apa yang perlu disembunyikan daripada pandangan orang.

Saya pesan kepada anak, buat apa nak malu kerana bukan mencuri tapi cari rezeki.

Biar orang nak cakap apa kerana hakikatnya kita menjual, bukannya minta sedekah. Lainlah kalau ambil hak orang kerana Nabi (Rasulullah SAW) pun galakkan berniaga,” katanya.

Tular Bersama Anak, Undang Air Mata Netizen

Kisah Zakaria mula mendapat perhatian selepas sebuah video memaparkan dirinya berniaga sambil ditemani dua orang anaknya,

Muhammad Zulhairi, 12, dan Zulaikha Zafirah, 7. Rakaman ringkas itu nyata menyentuh hati ramai warganet.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum terhadap kesungguhan Zakaria sebagai seorang bapa. Tidak kurang juga yang menyamakan beliau dengan watak Papa Zola, adiwira realiti yang berjuang demi keluarga tercinta.

Pernah Jadi Kelindan Lori, Kini Berniaga Sepenuh Masa

Berkongsi kisah hidupnya, Zakaria yang berasal dari Batu 8 1/2 berkata, dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan sebelum ini, antaranya bekerja di premis cucian kereta dan menjadi kelindan lori. Namun, pada September tahun lalu, dia mengambil keputusan berhenti kerja untuk berniaga sepenuh masa.

Keputusan itu dibuat walaupun sedar cabaran sebagai peniaga kecil bukan mudah, terutamanya apabila pendapatan tidak menentu.

Saya berniaga kerana minat, isteri pun sama (minat) malah emak dengan ayah juga berniaga.

“Sebelum ini berniaga ‘steamboat’ dan nampak senang tapi leceh. Disebabkan itu, saya pilih jual roti john dan sudah jual sejak tiga tahun lalu iaitu sebelum berhenti kerja lagi.

“Sejak awal lagi memang berniaga di sini dan syukur kerana bertahan sampai sekarang,” katanya lagi.

Roti John Jadi Sumber Rezeki Keluarga

Setiap hari, Zakaria akan mula menyediakan roti john seawal jam 6 petang dengan bantuan isteri dan anak-anaknya. Sebelum kisahnya tular, dia hanya menyediakan sekitar

20 hingga 30 roti john ayam dan dagingyang dijual pada harga RM10 seunit.

Namun, selepas menerima sokongan ramai, jumlah itu meningkat kepada 60 roti sehari.

Buat masa ini, saya berniaga setiap hari bermula jam 8 malam hingga jualan habis.

“Alhamdulillah, setiap hari habis kerana ramai juga yang beli dengan tujuan infaq.

“Seronok berniaga terutama bila pelanggan kata sedap cuma biasalah, mencabarnya ketika hari hujan kerana tiada pilihan melainkan berteduh di hentian bas berhampiran,” tambahnya.

Tular Bawa Rezeki, Hati Seorang Ayah Tersentuh

Menurut Zakaria, video yang tular itu memberi impak besar apabila semakin ramai pelanggan datang membeli roti john daripadanya.

Terkejut dan terharu, rasa macam mimpi selepas tular, terima kasih semua yang membeli juga mendoakan. Ada yang kata kisah saya macam Papa Zola dan sebenarnya memang banyak persamaan.

”Saya pun sudah menonton filem itu di panggung wayang dan memang menyentuh hati saya sebagai bapa,” tuturnya.

Namun di sebalik senyuman, terselit impian kecil seorang ayah yang belum tertunai.

Sebaknya kerana terkenang anak yang pernah minta bercuti tapi belum dapat tunaikan kerana tengah kumpul duit memandangkan hasil pendapatan pun tak menentu. Tapi Insya- Allah akan tunaikan bila ada rezeki nanti,” ujarnya.

Pempengaruh Turut Bersyukur Kisah Ini Diberi Perhatian

Sementara itu, pempengaruh Leeroy Wong atau mesra disapa Roy, 32, turut mengakui tersentuh dengan kisah Zakaria dan bersyukur apabila perkongsiannya di TikTok memberi kesan positif.

Gembira kerana selepas video itu tular, abang Zakaria dapat jual 40 roti john dalam tempoh sejam.

”Saya doakan yang terbaik, harap jangan putus asa dan saya faham apa dirasainya kerana juga datang daripada keluarga sama,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Metro Online & TikTok Abang Roy

Published by
Fath