
Dunia hiburan Hollywood dikejutkan dengan berita pemergian pelakon muda berbakat, Kaylee Hottle, yang dikenali menerusi francais Godzilla vs. Kong, selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Maryland, Amerika Syarikat.
Mendiang yang merupakan seorang pelakon pekak disahkan meninggal dunia pada usia 18 tahun dalam nahas yang berlaku kira-kira pukul 2.05 pagi waktu tempatan.

Berita sedih itu disahkan sendiri oleh bapanya, Joshua Hottle, menerusi rakaman video menggunakan bahasa isyarat Amerika (ASL) yang dimuat naik di Facebook.
“Saya menaiki satu penerbangan yang tidak pernah saya mahu naiki,” katanya sebelum berlepas dari Texas ke Maryland.

Kemalangan Dipercayai Berpunca Daripada Kelajuan Melampau
Menurut pihak berkuasa di Frederick County, kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan itu dipercayai berpunca daripada faktor kelajuan melampau.
Dalam kejadian sama, pemandu berusia 19 tahun dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di hospital, manakala seorang lagi penumpang turut cedera ringan.

Watak Jia Buka Laluan Ke Pentas Hollywood
Kaylee mula mencuri perhatian penonton menerusi watak Jia, seorang kanak-kanak yatim piatu yang mempunyai hubungan istimewa dengan Kong dalam filem Godzilla vs. Kong yang ditayangkan pada tahun 2021.
Populariti watak tersebut menyaksikan Kaylee kembali menghidupkan karakter sama dalam filem sekuelnya, Godzilla x Kong: The New Empire, tiga tahun kemudian.
Malah, lakonan cemerlangnya turut melayakkan pelakon muda itu menerima pencalonan dalam Anugerah Saturn bagi kategori Pelakon Muda Terbaik.

Industri Perfileman Turut Berduka
Pemergian Kaylee turut dirasai komuniti yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.
Texas School for the Deaf, sekolah tempat mendiang menimba ilmu, menzahirkan ucapan takziah menerusi media sosial dan meminta orang ramai menghormati privasi keluarga selain tidak membuat sebarang spekulasi berhubung nahas tersebut.
Dalam masa sama, penerbit Godzilla x Kong: The New Empire, Warner Bros., turut memberikan penghormatan terakhir menerusi satu hantaran di Instagram dengan menyifatkan pemergian Kaylee sebagai satu kehilangan besar buat industri perfileman.
Pemergian pelakon muda itu pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan-rakan serta peminat yang mengikuti perjalanan kerjayanya sejak kemunculan dalam francais filem popular tersebut.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










