Graduan universiti di China ini mencuri perhatian ramai apabila tampil dengan cara cukup luar biasa pada hari konvokesyennya apabila membawa lebih 70 pingat maraton sebagai simbol perjalanan dan pengorbanannya sepanjang menuntut ilmu.
Aksi unik itu bukan sekadar mencetuskan keterujaan hadirin, malah menjadi bukti bahawa usaha keras serta keazaman mampu membuka jalan untuk merealisasikan impian.

Lebih 70 Pingat Iringi Hari Bermakna
Graduan berusia 24 tahun itu, Jin Yanwei, yang menamatkan pengajian di Institut Kejuruteraan Trafik Xi’an di wilayah Shaanxi, membawa sebatang pikulan yang dipenuhi puluhan pingat maraton ketika menghadiri majlis konvokesyen pada 23 Jun lalu.
Sebaik sahaja menerima sijil tamat pengajian, Yanwei naik ke pentas bersama pikulan tersebut, manakala beberapa lagi pingat digantung di lehernya. Penampilannya itu mengundang tepukan gemuruh dan sorakan daripada pensyarah serta rakan-rakan graduan yang hadir.
Menurut laporan China Youth Daily, kesemua pingat berkenaan merupakan hasil penyertaannya dalam pelbagai pertandingan maraton dan acara larian jarak jauh sejak beberapa tahun lalu.

Jadikan Larian Sebagai Sumber Pendapatan
Menariknya, Yanwei bukanlah pelajar dalam bidang sukan. Dia hanya mula menceburi dunia maraton pada tahun 2021 sebagai salah satu cara untuk menampung perbelanjaan sepanjang bergelar mahasiswa.
“Bukan mudah untuk ibu bapa saya mencari wang. Jika saya dapat memperoleh sedikit pendapatan melalui larian bagi menampung kehidupan saya di universiti, saya dapat mengurangkan beban kewangan keluarga,” katanya.
Berkorban Demi Impian
Demi memberikan komitmen penuh terhadap latihan, Yanwei turut mendedahkan bahawa dia tidak pulang ke kampung halamannya di daerah Luochuan selama tiga tahun.
Sepanjang tempoh itu, dia menjalani rutin latihan yang cukup disiplin dengan berlari secara purata sejauh 15 kilometer setiap hari, sekali gus mencatat jumlah larian sekitar 350 hingga 400 kilometer setiap bulan.
Setiap hujung minggu pula dimanfaatkan dengan menyertai pelbagai acara larian di seluruh China bagi menambah pengalaman dan meningkatkan prestasi.
Usaha berterusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Yanwei berjaya meraih kemenangan dalam pertandingan maraton pertamanya pada tahun 2023.
Anda mungkin berminat dengan

Inspirasi Buat Anak Muda
Kisah Jin Yanwei membuktikan bahawa kejayaan tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya turut lahir daripada kesungguhan, disiplin dan pengorbanan dalam mengejar impian.
Lebih daripada sekadar koleksi pingat, setiap kejayaan yang dibawanya ke pentas konvokesyen menjadi simbol perjuangan seorang anak yang berusaha meringankan beban keluarga sambil mengejar cita-cita menamatkan pengajian.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Himpunan Sumud Flotilla di Kuala Lumpur jam 4 petang ini bakal menjadi tumpuan selepas seluruh dunia menantikan perkembangan terkini status para aktivis yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza. Beberapa kapal konvoi yang membawa bantuan telah dilaporkan ditahan pihak Israel, sekali gus mencetuskan protes di banyak negara.
Malaysia tidak ketinggalan apabila orang ramai diajak turun padang bagi menyatakan solidariti bersama aktivis yang kini masih ditahan.
Fedtri Yahya Ajak Rakyat Turut Serta
Menerusi perkongsian di Threads, pengacara dan pendakwah terkenal Fedtri Yahya memaklumkan bahawa Himpunan Sumud Flotilla akan berlangsung pada jam 4.00 petang ini di hadapan The Linc, Kuala Lumpur. Beliau turut menjemput seluruh rakyat Malaysia, khususnya anak muda, untuk hadir memberi sokongan.
Menurut Fedtri, himpunan ini bukan sekadar berkumpul, tetapi sebagai tanda solidariti buat aktivis termasuk selebriti tanah air seperti Ardell Aryana dan Zizi Kirana yang kini dilaporkan berada dalam tahanan selepas menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Syarat & Panduan Himpunan
Fedtri turut menekankan bahawa setiap individu yang hadir perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan agar himpunan berlangsung dengan aman:
-
Berpakaian sopan, berdisiplin dan bertemakan Palestin.
-
Menghormati sensitiviti serta tidak menimbulkan provokasi atau kekecohan.
-
Bendera Palestin dialu-alukan untuk dibawa.
-
Papan tanda atau sepanduk mestilah sesuai dan tidak melanggar sensitiviti.
Panduan ini dikeluarkan supaya himpunan benar-benar menjadi lambang solidariti dan tidak mencemarkan tujuan asal iaitu menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Sambutan & Reaksi Orang Ramai
Hantaran Fedtri di Threads menerima banyak respon positif. Ramai netizen mengucapkan sokongan dan berjanji akan turun padang. Malah, ada warga asing yang turut bertanya sama ada mereka boleh menyertai himpunan ini — bukti jelas bahawa isu Palestin adalah isu sejagat, melangkaui sempadan bangsa dan agama.
📍 Lokasi: The Linc, Kuala Lumpur
🕓 Masa: 4.00 Petang (Hari ini)
🎯 Tujuan: Solidariti buat rakyat Palestin & aktivis Sumud Flotilla
Kalau anda berada di sekitar Kuala Lumpur, ini masa untuk buktikan solidariti kita. Suara rakyat Malaysia, terutamanya anak muda, mampu memberi gema besar di mata dunia bahawa kita tetap bersama Palestin.
∞
Industri hiburan tanah air diselubungi khabar duka apabila anak kepada pelakon, Amyza Aznan, iaitu Andre Mikhail bin Khairil Izhar dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan sendiri oleh Amyza menerusi kemas kini di Instagram Stories pada Isnin.

“Assalammualaikum dengan dukacita anak saya Andre Mikhail bin Khairil Izhar telah pulang ke negeri yang abadi, minta semua sedekahkan al-Fatihah kepada anak saya,” tulisnya ringkas namun penuh pilu.
Terdahulu, pelakon berusia 50 tahun itu pernah memohon doa orang ramai agar kesihatan anak sulungnya kembali pulih ketika menerima rawatan di hospital. Malah, Amyza juga pernah meminta bantuan dan pandangan sekiranya ada yang mengetahui kaedah perubatan alternatif yang boleh membantu merawat penyakit dihidapi Andre.

Dalam luahan sebelum ini, Amyza turut berkongsi rasa kecewa apabila mendakwa diberi harapan palsu sepanjang tempoh setahun anaknya menjalani rawatan. Dia juga menyatakan hasrat untuk membawa Andre keluar dari hospital demi memberikan keselesaan terbaik buat anak tersayang.
Pemergian Andre nyata meruntun hati ramai warganet yang mengikuti perkembangan kesihatannya sebelum ini. Ruangan media sosial pelakon itu kini dibanjiri ucapan takziah dan doa agar keluarganya terus diberi kekuatan menghadapi ujian berat ini.
Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Seramai 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berdepan detik mencemaskan apabila bas ekspres yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, bas tersebut telah melanggar belakang sebuah treler hingga menyebabkan kenderaan berat itu terbabas ke dalam longkang berhampiran.
BACA: “Brek Tak Berfungsi Secara Tiba-Tiba & Saya Lakukan Pelbagai Cara, Saya Minta Maaf Kepada Seluruh Keluarga Mangsa…” –Pemandu Bas

Keseluruhan 28 penumpang dalam bas ekspres itu, termasuk 13 pelajar UMPSA, bagaimanapun dilaporkan selamat dan telah dipindahkan ke sebuah bas lain untuk meneruskan perjalanan ke Terminal Sentral Kuantan.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, turut mengesahkan insiden berkenaan.
“Pihak kami menerima laporan bahawa 13 pelajar UMPSA menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam menuju hentian bas UMPSA Gambang.
BACA: UPSI Berduka: “Saya Nampak Mereka Meronta-Ronta & Ada Yang Tiba-Tiba Senyap, Waktu Itu Saya Tahu Mereka Dah Tiada” -Pelajar Terselamat

“Mereka terbabit dalam kemalangan pada kira-kira jam 1 pagi di Maran,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa pihak universiti bersyukur kerana kesemua pelajar selamat dan telah tiba di kampus sekitar jam 4 pagi.
“Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) memberikan bantuan segera kepada 13 pelajar terbabit yang tiba di Masjid UMPSA Gambang termasuk makanan, sokongan emosi serta tempat kediaman sementara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai memaklumkan siasatan awal mendapati bas tersebut melanggar belakang treler ketika kedua-dua kenderaan sedang menuju ke arah Kuantan.
“Kejadian berlaku ketika bas bergerak di lorong kiri dan pemandunya dipercayai hilang kawalan lalu merempuh treler di depannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan, dan kesemua penumpang telah dipindahkan ke bas gantian.
Tambah Kim Wai, siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah kerana pemandu bas gagal mengekalkan jarak selamat, dan kes kini disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 iaitu gagal mengawal kenderaan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: BH Online
∞