
Baru-baru ini, seorang lelaki berusia 60 tahun dari timur China telah mencuri perhatian masyarakat di media sosial apabila menjadi pelajar universiti, sekaligus membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk menimba ilmu. Bebekalkan semangat dan fizikal yang masih bertenaga, kisahnya menjadi tular selepas beliau menyertai latihan ketenteraan wajib untuk pelajar baru.
Memetik laporan media antarabangsa, Wang Wensheng yang merupakan bekas pegawai sumber manusia berasal dari Hefei, wilayah Anhui, akhirnya berjaya diterima masuk ke sebuah kolej vokasional tempatan pada Ogos lalu selepas dua kali menduduki peperiksaan kemasukan universiti kebangsaan China (gaokao).
Beliau yang teguh berpegang pada motonya “belajar selagi saya hidup”, Wang kini mengikuti pengajian dalam bidang pemasaran dalam talian dan e-dagang penstriman langsung.
Menurut Wang, beliau pernah menduduki peperiksaan tersebut beberapa dekad lalu namun gagal mencapai keputusan yang diharapkan.
“Mengalami suasana pembelajaran di kampus universiti sentiasa menjadi impian saya,” katanya.
Dalam pada itu, sebaik sahaja menerima surat tawaran, ibunya yang sudah lanjut usia sempat bergurau bahawa beliau tidak akan menanggung yuran pengajian anaknya.
“Tiada masalah, saya sudah dewasa. Sokongan terbaik daripada ibu ialah menjaga kesihatan,” jawab Wang dengan tenang.
Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa keluarganya turut memberikan sokongan penuh terhadap keputusannya dan kos pengajian selama tiga tahun itu akan ditanggung melalui simpanan sendiri serta gaji isterinya.
Terdahulu, pada September, Wang berkongsi video dirinya menyertai latihan ketenteraan pelajar baharu di media sosial China. Di mana program latihan selama dua minggu itu melibatkan aktiviti seperti kawad, latihan tempur, serta aktiviti fizikal untuk meningkatkan ketahanan badan dan semangat berpasukan.
Menariknya, Wang berjaya menamatkan latihan tersebut dengan cemerlang, malah mendakwa kini mampu menaiki lima tingkat tangga sepantas rakan-rakan sekelasnya yang jauh lebih muda.
Beliau gemar berkongsi pengalaman hidup bersama rakan-rakan sekelas yang mesra memanggilnya “Uncle Wang” serta mudah menyesuaikan diri di kampus. Apabila kelab-kelab kampus mengadakan promosi aktiviti, Wang turut serta mengambil gambar dan mempelajari trend terkini budaya anime.
“Saya rasa lebih muda, lebih bertenaga dan lebih teruja untuk meneroka selepas masuk universiti,” katanya.
Kini, Wang kerap melakukan penstriman langsung sesi pembelajarannya di media sosial bagi memberi inspirasi kepada orang ramai khususnya golongan muda. Akaunnya telah meraih lebih 45,000 pengikut dalam masa singkat dan usahanya itu juga meraih pelbagai reaksi positif dari warga internet yang memuji ketekunan beliau.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.