Masih ingat kisah ibu tunggal orang kurang upaya (OKU), Puan Alia atau nama penuhnya Nur Rahimah Alia Salehuddin yang baru-baru ini tular selepas basikal yang menjadi pengangkutan utamanya untuk mencari rezeki dicuri?
Kisah wanita berusia 44 tahun itu meraih perhatian ramai apabila dia tetap meneruskan tugas sebagai penghantar makanan biarpun kehilangan basikal yang selama ini menjadi ‘teman’ kerjanya.
Kini, selepas ujian tersebut, hadir pula rezeki buat Puan Alia apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil menyumbangkan sebuah basikal baharu bagi membolehkannya kembali mencari nafkah.
Sumbangan berkenaan pastinya cukup bermakna buat Puan Alia memandangkan basikal bukan sekadar alat pengangkutan, malah menjadi antara sumber penting yang membolehkannya bekerja sebagai penghantar makanan.
Dengan adanya basikal baharu itu, rutin penghantaran yang sebelum ini menjadi lebih mencabar selepas kehilangan basikal dapat diteruskan semula. Ia sekali gus memudahkannya bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain ketika melakukan penghantaran kepada pelanggan.

Puan Alia Mengayuh Demi Anak
Hampir lapan tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, Puan Alia gigih mencari rezeki dengan melakukan penghantaran makanan menggunakan basikal di sekitar Kajang dan Bangi.
Walaupun merupakan seorang OKU fizikal, keterbatasan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus bekerja dengan kudrat yang ada.
Lebih-lebih lagi, dia turut memikul tanggungjawab membesarkan anak tunggalnya yang juga merupakan seorang OKU dan memerlukan perhatian serta sokongan berterusan.
Dalam menjalani kehidupan seharian, pekerjaan sebagai penghantar makanan menjadi salah satu cara untuknya mendapatkan pendapatan dan meneruskan kehidupan bersama anak. Sebab itulah kehilangan basikal yang digunakan untuk bekerja memberi kesan yang cukup besar kepada rutin hariannya.
Sebelum ini, kisah Puan Alia mendapat perhatian di media sosial selepas basikal lipat yang digunakannya untuk mencari rezeki dilaporkan dicuri.
Kehilangan tersebut memberi kesan besar kepadanya kerana basikal berkenaan merupakan pengangkutan utama yang digunakan untuk melakukan penghantaran makanan.
Malah, dia sanggup meneruskan pekerjaannya dengan berjalan kaki sehingga kira-kira 20 kilometer demi menyelesaikan penghantaran.
Jarak tersebut bukan sesuatu yang sedikit, apatah lagi apabila perlu ditempuh ketika bekerja menghantar makanan. Namun keadaan itu tidak menghalangnya daripada meneruskan penghantaran yang perlu diselesaikan.
Bukan Kali Pertama Puan Alia Terima Bantuan

Selain sumbangan basikal baharu daripada TNB, Puan Alia turut menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor bagi meringankan beban keluarga serta membantu keperluan pendidikan anaknya.
Difahamkan, bantuan menerusi Zakat Selangor telah diterimanya sejak tahun 2020.
Bantuan yang hadir mungkin dapat meringankan sebahagian beban, namun di sebalik semua itu, usahanya sendiri untuk terus berdikari dan mencari rezeki wajar menjadi perhatian.
Bagi seorang penghantar makanan yang bergantung kepada basikal untuk bergerak, sumbangan tersebut juga membolehkannya kembali menjalankan rutin pekerjaan dengan lebih mudah berbanding ketika terpaksa berjalan kaki.
Basikal Baharu Buka Peluang Kembali Mencari Rezeki
Kehadiran basikal baharu daripada TNB memberi ruang untuknya kembali melakukan pekerjaan yang selama ini menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan. Selepas berdepan kehilangan basikal dan terpaksa meneruskan penghantaran dengan berjalan kaki, kini dia boleh kembali mengayuh.
Anda mungkin berminat dengan
Hari ini, apabila terlihat Puan Alia kembali mengayuh di jalan raya, mungkin yang kelihatan hanyalah seorang penghantar makanan sedang menuju ke lokasi pelanggan.
Namun di sebalik setiap kayuhan itu ada seorang ibu yang masih berusaha mencari rezeki, membesarkan anaknya dan meneruskan kehidupan dengan kudrat yang ada.
Sumber : Facebook Lembaga Zakat Selangor
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Beliau mungkin baru saja menggantung raket squasy selaku pemain kebangsaan profesional. Namun itu tidak sesekali membuatkan peminat dunia sukan melupakan nama beliau sama sekali.
Datuk Nicol David sekali lagi telah membanggakan Malaysia setelah beliau dnobatkan sebagai penerima anugerah Atlet Paling Unggul Sepanjang Zaman dalam dunia sukan.
Dengan undian sebanyak 318,943, beliau telah mengenapi beberapa lagenda sukan kontemporari lain seperti juara tarik tali Ireland, James Kehoe yang menerima 113,120 undian dan atlet powerlifting Ukraine, Larysa Soloviova yang menduduki tangga ketiga dengan 80,790 undian.

Nicol jelas berada pada kelas tersendiri, bahkan ia juga merupakan kenangan manis memandangan ini merupakan anjuran edisi ke-40 oleh Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA).
Untuk pengetahuan, talian unidan telahpun dibuka mulai 8 Januari lalu sehingga jam 9 malam tadi. Secara totalnya, sebanyak 1,204,637 undian telah diterima dan suku daripadanya diperolehi atlet Malaysia berusia 37 tahun itu.
Tahniah Nicol!
Semoga ini menjadi pemangkin semangat buat atlet negara lain terutamanya atlet muda squasy berbakat, S.Sivasangari yang dilihat mampu mengulangi prestasi Nicol David sekiranya dia meruskan momentum cemerlang untuk jangka masa panjang.
∞
Siapa sangka, pada usia semuda 30-an pun, seseorang boleh disahkan mengalami strok atau pendarahan dalam kepala?
Itulah realiti yang semakin membimbangkan kini. Seorang pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma baru-baru ini berkongsi peringatan penting di media sosial, menyeru rakyat Malaysia khususnya golongan muda agar segera melakukan saringan kesihatan kendiri berikutan peningkatan mendadak kes strok dan pendarahan otak dalam kalangan individu muda.

Dalam hantaran tersebut, beliau melaporkan semakin banyak kes melibatkan pesakit berusia antara 30 hingga 40 tahun yang mengalami komplikasi serius seperti pendarahan otak. Antaranya termasuk seorang pesakit lelaki berumur 41 tahun yang dimasukkan ke jabatan kecemasan akibat pendarahan kepala yang berpunca daripada tekanan darah tinggi tidak terkawal.
“Kalau dulu kes macam ini biasanya orang tua sahaja. Sekarang umur 30-an pun dah kena. Jaga kesihatan masing-masing, ya semua,” tegas beliau.
Kenapa Golongan Muda Semakin Berisiko?
Menurut pakar kesihatan, tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah antara punca utama strok dan pendarahan otak. Ia juga dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana kebanyakan pesakit tidak sedar mereka menghidapnya sehinggalah komplikasi serius berlaku.
Gaya hidup tidak sihat seperti pemakanan tinggi garam, stres berlebihan, kurang aktiviti fizikal, serta amalan merokok dan vaping, menjadi antara faktor penyumbang utama kepada masalah ini.
Bagi anda yang mempunyai bacaan tekanan darah tinggi atau hampir tinggi (high normal: 130–139 dan/atau 85–89 mmHg), pakar kesihatan menyarankan langkah pencegahan berikut:
-
Kurangkan pengambilan garam dalam makanan harian.
-
Amalkan pemakanan sihat, seperti diet DASH dan rendah garam.
-
Bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.
-
Turunkan berat badan antara 5 hingga 10% dalam masa 6 bulan.
-
Berhenti merokok, vaping dan minum alkohol.
Jangan Tunggu Sampai Terlambat
Hakikatnya, semakin ramai anak muda kini hidup dalam tekanan — sama ada kerana tuntutan pelajaran, pekerjaan atau kewangan. Tekanan yang tidak diurus dengan baik boleh mencetuskan kesan kesihatan yang berpanjangan, termasuk tekanan darah tinggi dan risiko strok.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan. Kesedaran awal dan tindakan segera boleh menyelamatkan nyawa anda. Jangan anggap anda ‘masih muda dan sihat’. Ingat, strok dan pendarahan kepala bukan lagi penyakit orang tua.
BACA LAGI : Cuaca Di Luar Semakin Panas, Ini Tip Elak Kena Strok Haba
Sumber: Threads
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Sudah dua (2) tahun berkhidmat di Ireland, puteri sulung kepada pelakon terkenal, Datuk Ziela Jalil, Dr Puteri Julia Nabilah Tan Sri Megat Junid mengukir kejayaan selepas menerima anugerah perkhidmatan cemerlang daripada Mercy University Hospital, Cork, Ireland.
Difahamkan, kejayaan anak sulungnya itu turut dikongsi sendiri oleh Datuk Ziela menerusi Instagram dan pakar bius berusia 31 tahun itu menerima Gold Award in Anaesthesiology 2024 pada Julai lalu.
“Alhamdulillah Ya Rabb. Dua tahun berkhidmat di negara orang, Allah bagi rezeki dianugerahkan pingat dan Certificate of Excellence. Tergamam tak terkata. Sesungguhnya rezeki ALLAH tu luas dan mewah”

“Doakan semoga ALLAH permudahkan juga perjalanan menjadi Consultant Anaesthesiologist in the future insya-ALLAH. Aamiin,” kongsi Dr Julia.
Jauh merantau dari tanah air sendiri dan bekerja di luar negara tidak mematahkan semangat doktor muda ini untuk memberikan yang terbaik.
Sementara itu, Datuk Ziela juga turut meluahkan rasa syukur atas pencapaian hebat yang diraih anaknya. Menerusi perkongsian yang sama, beliau juga menitipkan doa untuk anaknya.

“MashaAllah Tabarakallah. Rezeki Allah datang dalam berbagai cara. Rezeki yang tidak ternilai buat anakku yang solehah. Ini hasilnya berkhidmat kerana Allah, penuh keikhlasan, bersungguh-sungguh, disiplin yang tinggi, Alhamdulillah”
“Berkhidmat di negara asing, diberi penghargaan walaupun dia bukan Irish. Yang membanggakan dan paling penting dia (Dr. Julia) adalah Asian-Malaysian, wanita Muslim yang bertudung bekerja di negara orang dan dihargai. Semoga Allah sentiasa melindungi dan meluaskan rezekinya dengan rezeki yang penuh barakah dunia serta akhiratnya,” jelasnya lagi.

“Syukur Alhamdulillah Ya Rabb di atas pencapaian anakku yang solehah ini,” kongsi pelakon yang pernah popular pada era 80-an dan 90-an.
Sekadar info, Julia (31) merupakan doktor perubatan yang memulakan pengajian di Royal College of Surgeons pada tahun 2012 dan menamatkan pengajian pada tahun 2017. Anak sulung Ziela Jalil telah mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta, Dr Dziya Faqhran Datuk Mahmod Fauzi pada 11 Julai 2018 selepas mengikat tali pertunangan selama dua bulan.

Dr. Julia merupakan puteri sulung daripada perkahwinan Ziela dengan Megat Junid pada tahun 1991. Selain Dr Puteri Nabilah, Ziela dikurniakan seorang lagi anak lelaki iaitu Megat Jufri Nasrullah (29) dan seorang anak angkat, Ibrahim Junid yang kini berusia 11 tahun.
Sumber: Sinar Plus
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞