
Malaysia mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih pingat emas pertama menerusi atlet muda Muaythai negara, Ameera Adellia Binti Al-Aizzad, pada Kejohanan Dunia Remaja IFMA 2026 yang berlangsung di Greece semalam.
Lebih membanggakan, kejayaan tersebut diraih oleh Ameera yang baru berusia 11 tahun selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan akhir kategori U12 Wanita bawah 30 kilogram (kg).
Tewaskan Wakil Rusia Dengan Keputusan 30-27
Dalam aksi final berkenaan, Ameera berjaya menewaskan pencabarnya dari Rusia, Sofiia Saraikina, menerusi keputusan 30-27 sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai juara dunia bagi kategori tersebut.
Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia dalam kejohanan berkenaan, malah menjadi satu lagi pencapaian membanggakan buat atlet muda itu.

Konsisten Raih Kejayaan Di Peringkat Antarabangsa
Untuk rekod, Ameera bukanlah asing dengan kejayaan di pentas antarabangsa apabila sebelum ini turut meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia Remaja IFMA 2025 yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Malah, prestasinya di peringkat kebangsaan juga cukup konsisten apabila berjaya merangkul pingat emas selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada edisi 2024, 2025 dan 2026.

Dinobatkan National Best Boxer U12
Lebih manis, bakat dan kehebatan Ameera turut mendapat pengiktirafan apabila beliau dinobatkan sebagai National Best Boxer U12 oleh Persatuan Muaythai Malaysia bagi kejohanan kebangsaan 2026.
Kejayaan tersebut pastinya menjadi suntikan semangat buat Ameera untuk terus mengharumkan nama negara, selain membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencipta kejayaan di pentas dunia.
Tahniah Ameera! Semoga terus melakar lebih banyak kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
















