Pernahkah anda melancong ke Kota Bharu atau ke Johor Bahru? Di negara kita, terdapat dua tempat yang sangat terkenal kerana disukai oleh pelancong dari dalam negara kita. Tempat yang pertama ialah Kota Bharu. Banyak pengunjung suka datang ke Kota Bharu kerana pelbagai barangan ada dijual di sini. Mereka suka berkunjung ke Pasar Siti Khadijah. Di sini, terdapat pelbagai jenis batik yang cantik serta harganya yang berpatutan. Bagi wanita, mereka menganggap Kota Bharu sebagai syurga batik yang menawan.
Di selatan tanah air pula, banyak rakyat tempatan suka ke Johor Bahru. Mereka ke Johor Bahru kerana Johor Bahru berdekatan dengan Singapura. Banyak tempat yang sesuai untuk dilawati di sini seperti Danga Bay dan Legoland. Mereka yang datang bersama-sama keluarga akan membawa anak untuk berhibur di Legoland. Oleh sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan, hasrat mereka untuk melancong terhalang untuk sementara waktu.
Oleh sebab tidak dapat merentas negeri, hasrat mereka untuk membeli pakaian baharu di Kota Baharu terbantut. Sama juga halnya dengan aktiviti melancong ke Johor Bahru. Mereka baru bercadang untuk membawa keluarga ke Danga Bay atau ke Legoland tetapi terpaksa ditangguhkkan.
Persoalannya ialah apakah keistimewaan Kota Bharu atau Johor Bahru?
Mereka baru bercadang ke Kota Bharu untuk membeli pakaian baharu atau ke Johor Bahru untuk ke Danga Bay atau ke Legoland tetapi hasrat ini terpaksa dilupakan.
Sebenarnya, keistimewaannya terletak pada bahasa, iaitu perkataan baru, baharu, Bharu dan Bahru. Perkataan baru dikategorikan sebagai kata tugas, iaitu kata bantu yang digunakan untuk masa yang bermaksud belum lama. Kata baharu pula ialah kata adjektif yang membawa maksud sifat. Kata Bharu dan Bahru pula ialah kata yang merujuk nama khas untuk Kota Bharu dan Johor Bahru.
Oleh hal yang demikian, sebagai pengguna bahasa, kita perlu mengetahui perbezaan keempat-empat perkataan ini. Jika kita ingin memartabatkan bahasa Melayu, kita perlulah menggunakan perkataan ini dengan cara yang betul. Inilah keunikan negara kita dari segi bahasa dan tempat. Kepada remaja yang berwawasan yang merupakan pemimpin masa depan, utamakanlah penggunaan bahasa yang betul kerana Bahasa Jiwa Bangsa. Hilang bahasa lenyaplah bangsa.
Penyiaran artikel ini merupakan hasil kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Encik Ghalib bin Yunus.