Bermula sekadar aktiviti mengisi masa ketika pandemik COVID-19, siapa sangka permainan catur akhirnya membawa Ainul Mardhiyah Mohd Afif ke pentas SUKMA dan muncul sebagai antara atlet muda paling menyerlah tahun ini.
Pada usia baru 16 tahun, atlet catur Johor itu muncul antara atlet paling menyerlah di SUKMA Selangor 2026 selepas mencipta pencapaian luar biasa dengan menyapu bersih tiga pingat emas daripada kesemua acara individu yang disertainya.
Ainul mengungguli acara standard individu wanita, rapid individu wanita dan blitz individu wanita, sekali gus melengkapkan kempen cemerlangnya dengan tiga emas.
Namun di sebalik kejayaan tersebut, perjalanan Ainul Mardhiyah dalam dunia catur sebenarnya bermula bukan kerana mengejar pingat atau mahu bergelar atlet autisme.
Bermula Sebagai Aktiviti Ketika Pandemik
Segalanya bermula ketika pandemik COVID-19 apabila bapanya memperkenalkan permainan catur kepada Ainul sebagai salah satu aktiviti untuk mengisi masa.
Ketika itu, Ainul sering berdepan rasa cemas selain mengalami kesukaran untuk melakukan beberapa tugasan harian. Catur kemudian menjadi salah satu ruang buat dirinya memberi fokus, mengurus emosi dan perlahan-lahan membina keyakinan diri.
Siapa sangka, daripada sebuah permainan yang diperkenalkan ketika berada di rumah, Ainul akhirnya menemui bakat yang bakal membawanya jauh dalam arena kompetitif.
Kemampuannya di papan catur berkembang pantas sehingga pada usia 13 tahun, Ainul Mardhiyah sudah berjaya bergelar juara wanita kebangsaan pada 2023.
Ads
Pencapaian tersebut turut membuka peluang buatnya membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa apabila beraksi di Kejohanan Catur Remaja Dunia di Itali.
Daripada bermain untuk mengisi masa kepada mewakili negara, perkembangan itu memperlihatkan bagaimana bakat yang pada awalnya ditemukan secara tidak sengaja akhirnya berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar dalam kehidupan Ainul.
Dari Satu Emas Kepada Tiga Emas SUKMA
Nama Ainul Mardhiyah kemudian semakin mendapat perhatian apabila tampil di SUKMA Sarawak 2024.
Dalam penampilan tersebut, dia berjaya menghadiahkan pingat emas menerusi acara rapid individu wanita, memberi petanda bahawa atlet muda itu mempunyai potensi besar untuk terus menyerlah.
Ads
Dua tahun kemudian, Ainul kembali ke pentas SUKMA dengan pencapaian yang jauh lebih besar.
Bukan sekadar mempertahankan reputasinya dalam acara rapid, dia turut menguasai dua lagi disiplin catur untuk membawa pulang keseluruhan tiga pingat emas di SUKMA Selangor 2026.
Kejayaan dalam ketiga-tiga acara individu itu juga memperlihatkan kemampuan Ainul menyesuaikan permainannya mengikut format pertandingan yang berbeza. Standard, rapid dan blitz menuntut pengurusan masa serta pendekatan permainan yang berbeza, namun ketiga-tiganya berjaya ditamatkan dengan pingat emas.
Daripada seorang kanak-kanak autisme yang diperkenalkan kepada catur bagi membantunya menangani rasa cemas, Ainul Mardhiyah kini berdiri sebagai seorang atlet yang mampu bersaing dan mencipta kejayaan di pentas temasya sukan negara.
Catur Jadi Ruang Ainul Mardhiyah Menyerlah
Lebih daripada kisah mengenai pingat, perjalanan Ainul turut memperlihatkan bagaimana sukan boleh menjadi ruang inklusif untuk seseorang mengenali potensi diri.
Ads
Catur bukan sahaja menemukan dirinya dengan sebuah bakat, malah membuka ruang untuk dia berada setanding dengan atlet-atlet lain tanpa membiarkan autisme menjadi penghalang kepada apa yang mampu dicapainya.
Bagi Ainul Mardhiyah, perjalanan yang bermula ketika pandemik kini sudah membawanya daripada pertandingan kebangsaan ke kejohanan antarabangsa, sebelum mencipta satu lagi pencapaian membanggakan menerusi tiga emas di SUKMA.
Tiga pingat emas mungkin menjadi pencapaian terbaharunya, tetapi pada usia baru 16 tahun, perjalanan Ainul Mardhiyah di papan catur nampaknya masih panjang.
Sumber : Stadium Astro
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pengalaman kali pertama menunaikan ibadah Umrah di tanah suci akan diingati buat selama-lamanya buat jaguh Muay Thai kebangsaan, Johan Ghazali Zulfikar setelah dia bersama keluarga besarnya terkandas di Mekah.
Ia berikutan ketegangan konflik politik yang memuncak sejak Sabtu akibat tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel yang melancarkan serangan terhadap Iran.
Sebagai tindakan balas, Iran melancarkan gelombang serangan menggunakan dron dan peluru berpandu ke arah Israel dan beberapa pangkalan ketenteraan Amerika Syarikat di tujuh buah negara Arab termasuklah di Bahrain, Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Qatar, Syria dan ibu negara UAE, Abu Dhabi.
Ujian Umrah Yang Tidak Diduga
Dek konflik politik yang berlaku ini, Johan yang mesra disapa dengan panggilan Jojo menjadi antara rakyat Malaysia yang tidak dapat menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Sultan Abdulaziz di Jeddah menuju ke tanah air.
Di sebalik nasib yang tidak terduga ini, Johan tetap percaya ada rahmat di sebalik apa yang menimpa mereka sekeluarga kali ini.
Menerusi hantaran di Instagram, Johan berkongsikan keadaan keluarga mereka di kawasan hotel yang didiami, di Masjidil Haram dan di kawasan sekitar kota Mekah.
“Perancangan Allah. Dapat luang masa lebih lama di sini (Mekah),” catatnya.
Ketenangan yang dizahirkan oleh atlet muda itu jelas memperlihatkan sikap positif dalam menghadapi situasi sukar.
Walaupun berdepan ketidaktentuan jadual penerbangan, Johan memilih untuk melihat kelebihan yang diberikan kepadaNya di sebalik ujian tersebut.
Selain memperbanyakkan ibadah, Johan turut menggunakan masa terluang itu untuk giat berlatih agar tahap kecergasannya sentiasa terjaga.
Operasi Penerbangan Digantung Sementara
Untuk rekod, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa memutuskan untuk menghentikan sementara operasi penerbangan ke dan dari beberapa destinasi di rantau Asia Barat.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan risiko keselamatan ketika keadaan ruang udara berada dalam situasi tidak stabil.
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang sepatutnya dinaiki Johan sekeluarga turut tersenarai antara syarikat yang mengambil langkah berjaga-jaga tersebut, menurut laporan di laman web flightaware.com.
Situasi ini memberi gambaran jelas bagaimana konflik geopolitik mampu memberi kesan langsung kepada orang awam, termasuk jemaah yang sedang menunaikan ibadah di tanah suci.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Seramai 7,099 tidak hadir untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bersamaan dengan 1.79 peratus berbanding dengan 8,108 calon yang tidak hadir pada tahun sebelumnya.
Demikian statistik yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad sewaktu sidang media sempena Hari Keputusan SPM 2025, pagi tadi.
Menurut beliau, jumlah ketidakhadiran calon SPM pada tahun 2025 menunjukkan penurunan seramai 1,009 orang calon bersamaan dengan 0.31 peratus berbanding sewaktu SPM 2024. Oleh itu, ia dianggap sebagai satu perkembangan positif.
@remaja.my Powerlah Batch #SPM2025 🔥📣 Bukan sahaja Gred Purata Kebangsaan (GPK) bagi #SijilPelajaranMalaysia (SPM) 2025 menunjukkan prestasi terbaik dalam tempoh lima tahun dengan mencatatkan nilai 4.42 mata berbanding 4.49 untuk SPM 2024. 📝 Malah ia juga pencapaian terbaik sejak SPM berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang diperkenalkan pada tahun 2021. #MajalahRemaja#Remaja#RemajaMalaysia♬ original sound – Remaja
Banyak Faktor Mengapa Calon SPM Tidak Hadir
Setelah meneliti dengan lebih lanjut terhadap isu ketidakhadiran ini, Mohd Azam beranggapan banyak faktor yang mempengaruhi tindakan calon-calon berkenaan.
“Sebenarnya, banyak faktor yang setiap tahun… ini yang berlaku.
“Seperti (calon terpaksa) bekerja, berpindah ke luar negara, kemalangan, masalah keluarga, masalah kesihatan, masalah pengangkutan, meninggal dunia dan ada juga yang ditahan oleh pihak berkuasa. Jadi ada banyak faktor.
“(Namun) KPM bersama JPM, KPP dan guru-guru telah mengadakan pelbagai program aktivisi seperti menziarahi (calon),” katanya.
FOTO: Astro Awani
Faktor-faktor ini menunjukkan bahawa isu calon SPM 2025 tidak hadir bukanlah sesuatu yang mudah diselesaikan kerana ia melibatkan pelbagai latar belakang dan cabaran kehidupan pelajar
Peranan Guru dan KPM Dalam Menangani Isu
KPM bersama pelbagai agensi lain memainkan peranan penting dalam memastikan calon hadir ke peperiksaan. Antara usaha yang dijalankan termasuklah lawatan ke rumah pelajar, sesi kaunseling, serta sokongan berterusan kepada keluarga.
“Seperti guru-guru sekolah pergi ziarah ke rumah-rumah murid untuk menziarah murid. Melihat keadaan mereka dan memberikan panduan atau nasihat kepada ibu-bapa dan juga murid untuk hadir ke sekolah,” tuntasnya.
Langkah proaktif ini terbukti membantu mengurangkan jumlah calon SPM 2025 tidak hadirdan memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan peperiksaan tersebut dalam masa depan mereka.
11 Bulan Boleh Bawa Banyak Perubahan Dalam Hidup Calon SPM
Kongsinya lagi, setiap calon SPM 2025 telah mendaftarkan diri pada awal tahun persekolahan di mana mereka berdepan jarak tempoh kira-kira sebelas bulan sebelum menduduki peperiksaan.
Maka, banyak faktor yang boleh berlaku sekaligus mempengaruhi ketidakhadiran mereka sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam pada itu, prestasi SPM 2025 telah menunjukkan prestasi yang lebih memberangsangkan dan yang terbaik dalam tempoh lima tahun dengan mencatatkan nilai GPK 4.42 mata berbanding 4.49 untuk SPM 2024.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan menerima pengiktirafan sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Asia Pasifik oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengiktirafan platinum yang diterima itu amat membanggakan kerana APACC adalah badan akreditasi yang dihormati di rantau Asia Pasifik khususnya dalam bidang TVET.
“Pengiktirafan daripada APACC bukan sahaja melambangkan kualiti dan keunggulan pendidikan yang ditawarkan, tetapi juga membawa makna bahawa standard institusi kita kini diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi sebuah perkongsian di Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berharap agar pencapaian yang diperoleh Politeknik Port Dickson itu menyuntik semangat dan inspirasi kepada semua institusi TVET di negara ini untuk terus berinovasi dan mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi.
Sementara itu, menurut Pengarah Politeknik Port Dickson, Hasan Mohd Sharif, pengiktirafan itu mencerminkan kejayaan institusi tersebut dalam membangunkan kerjasama strategik dengan pelbagai industri multinasional sekaligus mempersiapkan siswazah yang kompeten dan berdaya saing.
Katanya, kejayaan itu didorong oleh penubuhan Centre for Electrical, Energy, Technology and Services (CENTS) yang membuktikan komitmen institusi tersebut dalam menyelaraskan program strategik terkandung dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani, Politeknik Port Dickson menyokong pembangunan ekonomi inklusif, mampan dan kompetitif dengan program-program yang memenuhi permintaan industri dan perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Selain itu, antara rakan industri menjadi penyumbang kepada pencapaian ini ialah HINO (Malaysia), KNX Skills Development Centre Sdn Bhd (KSDC), Global Academia Sdn Bhd (GASB), Fixbay Academy Sdn Bhd, Solarvest Holdings Berhad, SIGTECH Engineering Sdn Bhd dan Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC).
Bercakap mengenai penubuhan CENTS, ia juga menjadi penanda aras bagi institusi TVET lain dalam aspek peningkatan kemahiran serta pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau Asia Pasifik.
Hasan berkata, CENTS menawarkan lapan kluster utama menumpukan kepada kemahiran kritikal diperlukan industri masa kini dengan membantu graduan meningkatkan daya saing dalam pasaran kerja serta menyediakan peluang pembelajaran kepada pekerja dewasa melalui pendekatan kolaboratif dengan industri.
Tambahnya, perancangan jangka panjang Politeknik Port Dickson adalah untuk menjadi institusi bertaraf premier, berasaskan industri dan komuniti, serta institusi yang berasaskan penyelidikan.
Melalui usaha ini juga ia bakal memperkukuh peranan PPD dalam memacu agenda TVET MADANI bagi melahirkan siswazah kompeten dan bersedia untuk menyumbang dalam sektor industri berasaskan teknologi serta ekonomi mampan masa depan.
Sumber: Sinar Bestari & Politeknik Port Dickson
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!