
Dengan semangat tiga dekad mengangkat kisah Malaysia ke layar dan dunia, langit Dataran Merdeka pada malam 31 Ogos lalu berubah menjadi pentas penuh warna menerusi Astro 30: Light Up, sebuah sambutan yang meraikan perjalanan Astro bersama rakyat Malaysia.
Berlatar belakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka, lebih 40,000 penonton dan peminat berhimpun untuk menyambut Hari Kebangsaan 2026 dalam suasana yang menggabungkan hiburan, teknologi dan penceritaan tempatan yang dekat di hati.
Antara momen paling mencuri perhatian ialah persembahan pentas bertenaga, serta pertunjukan dron sulung Astro yang menerangi ruang udara Kuala Lumpur dengan formasi-formasi memukau.
Malam istimewa itu turut menyaksikan pengenalan dua naskhah baharu Astro yang dinanti-nantikan, filem Terbang dan siri premium Kudrat 1968. Kehadiran barisan pelakon popular yang membintangi kedua-dua karya tersebut menambahkan lagi keterujaan peminat, sekali gus memberi gambaran awal kepada kisah-kisah hebat yang bakal mencuri perhatian rakyat Malaysia tidak lama lagi.
Ketua Astro Shaw merangkap Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, Raja Jastina Raja Arshad ketika ditemui berkata, apa yang Astro harapkan menerusi sambutan malam tadi adalah agar masyarakat Malaysia yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan 30 tahun mereka dapat menyambut ulang tahun berkenaan bersama-sama.
“Cerita-cerita masyarakat Malaysia sudah menjadi nadi dalam perjalanan Astro sepanjang 30 tahun. Malam ini, kami akan teruskan komitmen untuk membawakan karya-karya yang baharu seperti Terbang dan Kudrat 1968 agar ia lebih dekat dengan rakyat Malaysia
“Tentunya pada malam ini, antara perkara istimewa yang Astro bawakan buat kali pertama adalah pertunjukan dron.”
“Tonight is also about passing on the baton to the next generation of film makers and itulah sesuatu yang kita lakukan selalu dengan Astro. Untuk memberi peluang kepada penggiat seni berbakat di luar sana agar mereka menjadi sebahagian daripada perjalanan kami semua,” katanya.
Antaranya selebriti popular yang turun padang bagi memeriahkan Astro 30: Light Up termasuklah Hael Husaini, Sharul Kamal dan Noryn Aziz.
Tidak ketinggalan; Irfan Zaini, Zizan Razak, Jack Tan, Shweta Sekhon dan Qasrina Karim yang mewakili produksi filem Terbang terbitan Astro Shaw juga ditemui di salah satu segmen pentas. Kemunculan selebriti itu diteruskan pula dengan barisan pelakon muda Kudrat 1968 terdiri daripada Mierul Aiman, Zarif Ghazi, Evertts Gomes, Dai Fuad, Akmal Asyraf dan Chech Harith.
“Terbang adalah filem yang mengambil kisah benar seorang legenda pelumba negara, Karamjit Singh. Orang tahu kalau saya berlakon, orang akan nampak (saya) macam Abang Long Fadil dan nampak amat komersil.
“(Tapi untuk Terbang), saya nak pergi sedikit serius dan menjurus kepada realiti. Saya kena ambil tahu watak saya sebagai Imran (nama sebenar Irman) yang merupakan sahabat karib Karamjit Singh dalam hidupnya. Saya perlu lebih fokus kerana (Irman) merupakan antara tulang belakang yang menjayakan Karamjit Singh punya kejayaan.”
“Terbang membawakan mesej untuk jangan pernah berhenti berusaha. Jangan pernah berhenti bermimpi. Mimpi, bangun dan capai impian itu.
“Macam (bila) saya duduk dengan Mr. Karamjit Singh pagi tadi (sewaktu perarakan), dia ceritakan macam mana dia mula menjadi rally driver.
Dia bawa kereta bapanya sahaja awal-awal dan tidak tahu one day dia akan jadi world champion, ujar Zizan.Sekiranya Terbang meraikan semangat kepasukanan dan kebangkitan, Kudrat 1968 pula membawa penonton ke dunia yang lebih gelap dengan persoalan mengenai kuasa dan hierarki pelajar sekolah.
Naskah yang bercambah daripada francais dunia High Council sebelum telahpun membina kelompok pengikut yang cukup kuat menerusi respon di media sosial biarpun empat buah episod original itu belum lagi ditayangkan.
Menurut salah seorang pelakonnya iaitu Zarif Ghazzi yang menjadi antara tonggak terbaru francais berkenaan, dia memahami tugas yang digalasnya ketika membawakan watak Abbas untuk Kudrat 1968 bukanlah calang-calang.
“Untuk persiapan membawa watak Abbas ini, saya melalui banyak perkara. Antaranya, saya join acting class dan stunt class supaya bukan hanya pembawaan saya tepat. Tapi setiap gerakan saya sewaktu berlawan itu juga perlu tepat,” katanya.
Biarpun lahir daripada dua dunia yang berbeza, Terbang dan Kudrat 1968 berkongsi satu impian yang sama, iaitu membawa karya tempatan Malaysia terbang lebih jauh dan berdiri megah di pentas yang lebih besar.
Terbang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 17 September ini, manakala siri premium original Astro, Kudrat 1968, akan membuka tirainya terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan kisahnya ke layar perak.
Kedua-dua naskhah ini mencerminkan komitmen berterusan Astro dalam memartabatkan penceritaan tempatan dan membuka ruang kepada lebih banyak kisah Malaysia untuk diraikan. Setelah tiga dekad bersama rakyat Malaysia, Astro tidak melihat pencapaian lalu sebagai noktah kejayaan, sebaliknya sebagai amanah untuk terus melangkah ke hadapan dengan rendah hati dan semangat yang diperbaharui.
Astro percaya setiap cerita mempunyai kuasa untuk menyatukan, menginspirasi dan meninggalkan makna. Justeru, Astro akan terus menyokong pembikinan karya yang berani, tulus dan dekat di hati masyarakat, agar lebih banyak kisah tempatan dapat menyentuh generasi hari ini dan generasi akan datang.
BACA: Akhirnya Terjawab! Ini Barisan Pelakon Kudrat 1968, Bakal Tampil Dengan Format Pertama Di Malaysia
BACA: Gagal Jadi Beja, Kini Rezeki Dai Fuad Dalam Kudrat 1968 -“Saya Pegang Kata-Kata Itu”
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.