Antara Individu Penting ‘Rampas’ Guthrie Daripada British, Tan Sri Khalid Ibrahim Meninggal Dunia

Share

Hilangnya Sebutir Bintang…

Semalam menerusi sebuah hantaran di Facebook rasmi milik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pihak pengurusannya telah memaklumkan bahawa figura terkenal dalam dunia korporat dan politik itu telah meninggal dunia pada jam 11.08 malam, 31 Julai 2022.

Seperti yang dinyatakan oleh pihak pengurusan, “Dukacita dimaklumkan Ybhg Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim telah pulang ke rahmatullah pada pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur. Allahyarham dengan tenang dan disaksikan oleh semua ahli keluarganya.  Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23hb April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Sumber foto: Facebook Tan Sri Khalid Ibrahim

“Beliau meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan dua orang cucu. Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.”

Atas ketokohan dan juga jasa Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dalam membangunkan negara serta negeri Selangor khususnya, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj bertitah agar jenazahnya disemadikan di Makam Diraja Shah Alam.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.

Bersama isteri Puan Sri Salbiah pada 2015. Sumber foto: Facebook Tan Sri Khalid Ibrahim

‘RAMPAS’ GUTHRIE

Bagi REMAJA yang membaca artikel ini, tahukah anda selain bergelar seorang ahli korporat terkenal sebelum terjun dalam dunia politik dan seterusnya memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-14, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika zaman mudanya antara figura penting yang membantu Malaysia mendapatkan kembali Guthrie, sebuah syarikat perladangan yang ketika itu dimiliki British.

Guthrie ketika itu merupakan sebuah syarikat perladangan terbesar dunia yang mengambil hasil bumi kelapa sawit dan juga getah dari Malaysia untuk dieksport ke luar negara. Namun sayangnya ia milik British dek penjajahan yang berlaku sebelum itu.

Pada tahun 1981, ketika berusia 35 tahun, Tan Sri Khalid Ibrahim yang ketika itu merupakan  Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada Permodalan Nasional Berhad telah bersama-sama dengan Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad dan Gabenor Bank Negara, Datuk Ismail Ali merancang untuk menjadikan Guthrie milik Malaysia dalam satu misi yang ketika itu popular dengan gelaran Dawn Raid.

Syarikat milik British ini akhirnya berpindah tangan kepada Malaysia selepas sahamnya dibeli sebaik sahaja Bursa Saham London (LSE) memulakan dagangan pagi. Kehebatan strategi yang dirangka Tan Sri Khalid Ibrahim mengendalikan ‘serangan’ ini berlaku lebih kurang empat jam bermula pada pagi 7 September 1981.

Kini Guthrie sudah menjadi sebahagian daripada syarikat gergasi Sime Darby Berhad. Pengambil alihan Guthrie ketika itu merupakan satu langkah penting Malaysia dalam memakmurkan ekonomi negara agar hasil bumi di negara ini dapat dinikmati oleh rakyatnya sendiri.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

IKLAN