Berita

Aliff Satar Kongsi Kisah Ustaz Letak Syarat 40 Hari Solat Berjemaah Sebelum Terima Menantu

Share

Dalam memilih calon menantu, setiap ayah pastinya ada ukuran tersendiri. Ada yang melihat kestabilan kerja, ada yang menilai latar belakang keluarga, ada juga yang mahu memastikan lelaki itu benar-benar mampu menjaga anak perempuannya dengan penuh tanggungjawab.

Namun menerusi satu perkongsian, penyanyi dan selebriti Aliff Satar menarik perhatian ramai apabila menceritakan kisah seorang ustaz yang meletakkan syarat cukup berbeza kepada lelaki yang mahu menikahi anak perempuannya.

Menurut Aliff, ustaz tersebut merupakan guru agamanya. Dalam satu perbualan, anak-anak muridnya pernah bertanya bagaimana ustaz itu menilai keikhlasan seorang lelaki yang mahu melamar anak perempuan kesayangannya.

Jawapan ustaz itu ringkas, tetapi cukup mendalam.

Katanya, dia hanya meletakkan satu syarat kepada lelaki tersebut. Bukan wang hantaran yang tinggi, bukan kereta mewah, bukan rumah besar, tetapi satu bentuk ujian disiplin yang menyentuh soal hubungan lelaki itu dengan Allah.

Syarat Solat Berjemaah 40 Hari

Syaratnya, lelaki tersebut perlu menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid selama 40 hari berturut-turut, di belakang imam dan pada waktunya. Sebagai bukti, lelaki itu diminta merakam gambar yang menunjukkan tarikh serta waktu setiap kali hadir ke masjid, dari Subuh hinggalah Isyak.

Menariknya, lelaki tersebut benar-benar melaksanakan syarat itu dengan penuh kesungguhan. Selama tempoh tersebut, dia menjaga solat berjemaahnya dan akhirnya berjaya menikahi anak ustaz tersebut.

Kisah ini turut dikaitkan dengan hadis mengenai kelebihan menjaga solat berjemaah selama 40 hari bersama imam. Hadis tersebut diriwayatkan dalam Jami’ al-Tirmizi.

Namun, status hadis ini diperselisihkan dan dinilai dhaif oleh ramai ulama seperti al-Tirmizi, al-Zahabi dan Ibn Hajar. Walaupun begitu, maknanya tetap boleh dijadikan dorongan untuk membina istiqamah dalam solat berjemaah.

Apa yang menjadikan kisah ini kuat bukan sekadar pada syarat tersebut, tetapi mesej di sebaliknya. Seorang ayah bukan hanya mahu tahu kemampuan kewangan, tetapi juga disiplin dan pegangan agama lelaki itu.

Dalam dunia hari ini, ramai melihat perkahwinan dari sudut material semata-mata. Namun hakikatnya, karakter dan tanggungjawab terhadap agama adalah asas yang lebih penting.

Lelaki yang mampu konsisten bangun awal, menjaga waktu solat dan istiqamah sepanjang tempoh silat sebenarnya sedang melatih dirinya menjadi lebih bertanggungjawab.

Ini bukan sekadar untuk membuktikan diri kepada bakal bapa mentua, tetapi sebagai persediaan memikul amanah dalam rumah tangga.

Didikan Anak Perempuan

Aliff turut menekankan bahawa anak perempuan perlu dididik menjadi wanita yang tahu nilai diri dan berdikari. Mereka bukan “barang” yang boleh dipinang hanya dengan wang ringgit.

Perkahwinan bukan soal siapa paling kaya, tetapi siapa paling layak menjaga amanah.

Mesej paling penting adalah refleksi kepada diri sendiri. Sebelum menetapkan syarat kepada orang lain, seorang ayah perlu terlebih dahulu menjadi contoh.

Jika kita mahu menantu yang menjaga solat kita sendiri perlu menjaga solat. Standard itu perlu bermula dari diri sendiri.

Akhirnya, lelaki yang baik dinilai bukan pada apa yang dimiliki, tetapi pada kesungguhannya menjaga hubungan dengan Tuhan dan amanah yang dipikul dalam kehidupan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy