
Terbaru, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memaklumkan bahawa kanak-kanak seawal usia 10 tahun kini tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati membuang sampah merata-rata di tempat awam. Perkara ini menimbulkan perhatian ramai kerana ia melibatkan golongan bawah umur yang lazimnya dianggap masih dalam fasa pembelajaran.
Menerusi satu perkongsian di Facebook SWCorp, pihaknya menjelaskan bahawa penguatkuasaan tersebut adalah tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611]. Jelas kenyataan itu lagi, pendekatan ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai langkah mendidik masyarakat sejak usia muda agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
Di samping itu, SWCorp turut memaklumkan bahawa kanak-kanak yang ditangkap melakukan kesalahan kecil seperti membuang sampah di tempat awam boleh dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) oleh mahkamah. Tindakan ini dilihat sebagai satu bentuk pemulihan yang memberi kesedaran kepada pesalah muda mengenai kesan perbuatan mereka.
BACA: Individu Buang Sampah Merata Berdepan Hukuman Tegas Mulai 1 Januari

Menurut kenyataan tersebut lagi, di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, individu berusia antara 10 hingga 18 tahun boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan jenayah ringan termasuk perbuatan ‘littering’.
“Jika anak-anak ditangkap membuang sampah kecil di tempat awam, mereka juga boleh dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) oleh mahkamah,” katanya.
Pada masa yang sama, SWCorp menegaskan bahawa matlamat utama pelaksanaan undang-undang ini bukan untuk membebankan masa depan kanak-kanak, tetapi lebih kepada proses pendidikan melalui penguatkuasaan dan juga sebahagian daripada usaha untuk membentuk disiplin dan kesedaran sivik dalam kalangan generasi muda.


“Matlamat undang-undang ini bukan untuk membebankan masa depan anak-anak kita, tetapi untuk mendidik melalui penguatkuasaan,” jelasnya lagi.
Tambah SWCorp lagi, mulai tahun 2026, penguatkuasaan lebih tegas akan dilaksanakan melalui pindaan Akta 672 di beberapa negeri termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, melibatkan juga pesalah dalam kalangan kanak-kanak. Justeru, masyarakat yang lebih dewasa diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan dan menjadi contoh terbaik kepada generasi muda.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!











