Mungkin ada yang sering mengalami masalah berat badan yo-yo, iaitu kadang naik dan kadang turun. Baru feeling kurus sikit, tapi tak lama lepas tu gemuk balik.
Mesti ada yang pernah merasai situasi seperti ini kan? Ikuti perkongsian seorang wanita di laman RoS Confession tentang bagaimana dia boleh tiga kali menjadi seorang yang obes dan tiga kali juga dia berjaya menurunkan berat badannya.
Obes dari kecil
Saya bekas penghidap obesiti. Sudah 3 kali saya menjadi seorang obes dan 3 kali juga saya berjaya menurunkan berat badan.
Saya obes dari kecil sejak sekolah rendah. Ketika umur saya 11 tahun (Darjah 5) saya pernah terjatuh dan kaki kanan saya retak serta sendi paha ‘dislocate’.
Doktor kata ia berlaku begitu akibat badan saya yang berat dan tidak sesuai dengan kanak-kanak seusia saya. Saya pun menjalani pembedahan memasukkan besi ke dalam sendi paha saya dan memakai tongkat selama 3 bulan.
Malangnya akibat saya hanya menggunakan sebelah kaki sahaja untuk menampung berat, sendi paha kiri saya pula dislocate dan patah. Saya perlu menjalani pembedahan memasukkan besi lagi sekali. Saya terpaksa berkerusi roda selama 3 bulan lagi dan selepas itu memakai tongkat selama 2 tahun sehingga tingkatan 1 (13 tahun).
Pada umur 14 tahun, saya mendapat kesedaran untuk menurunkan berat badan. Saya banyak membaca majalah RAPI ketika itu. Saya pernah cuba minum Teh orang kampung tetapi saya mengalami cirit birit. Saya juga pernah meminta doktor ubat XENICAL yang berfungsi untuk menghalang lemak-lemak daripada makanan untuk diserap ke dalam usus. Tetapi, memandangkan ubat ini terlalu mahal, saya hanya mampu beli beberapa biji sahaja.
Saya bernekad juga untuk kurus. Tahun 2002 adalah sangat limited kepada access online. Saya masih sekolah menengah. Jadi diet yang saya lakukan adalah salah dan sangat ekstrem. Saya berlapar setiap hari. Setiap hari saya hanya minum milo segelas dan biskut 3 keping. Dalam masa 3 bulan, saya berjaya turunkan 30kg dan saya masuk ke tingkatan 3 dengan saiz yang baru.
Berat kembali naik
Akibat daripada diet ekstrem itu, kitaran haid saya menjadi tidak normal. Dua tahun haid saya tidak kunjung tiba dan peristalsi di rektum saya bermasalah. Hingga kini (umur 29) saya masih bermasalah dalam pembuangan air besar. Saya bertemu pakar sakit puan untuk masalah kitaran haid dan alhamdulillah telah kembali normal. Cuma untuk masalah pembuangan air besar sehingga kini tidak berjaya di ubati.
Berat saya kembali naik ketika saya belajar di peringkat diploma dan ijazah di Universiti. Berat tertinggi pernah saya capai adalah 120kg dengan tinggi 158cm. Saya belajar dalam bidang Sains pemakanan(Food Science). Itu memang pilihan saya kerana saya sangat mencintai ilmu pemakanan. Saya bercita-cita menjadi pakar pemakanan tetapi saya tidak berjaya memohon kursus Dietetik,
Ketika belajar, saya mempunyai masalah kewangan. Jadi saya sering tunggu makanan percuma je daripada program-program kolej. Akhirnya berat saya naik mendadak kerana asyik makan makanan percuma yang berlambak-lambak. Ketika itu juga saya baru belajar menjadi muslimah. Kesilapan saya adalah saya ingat muslimah ni kena jaga aurat. Tak boleh nak bersenam outdoor di luar. Jadi saya pun tidak bersenam. Makin lama makin gemuk.
Ketika belajar di peringkat ijazah, saya ambil minor in Islamic Food law. Suatu hari saya mendapat topik “ Pemakanan cara Muslim dan sunnah Nabi”. Saya perlu membuat pembentangan kepada rakan-rakan. Apa yang membuatkan saya rasa malu dan tersentap adalah saya muslimah bertudung labuh, membentangkan berkenaan cara pemakanan Muslim, Rasulullah SAW ajar makan berhenti sebelum kenyang. Tapi malangnya saya gemuk sebesar 120kg dan saiz XXXL.
Nekad untuk turunkan berat badan
Saya nekad untuk kembali menurunkan berat badan. Kali ini saya tidak mahu tersilap lagi. Saya membuat banyak pembacaan. Dengan ilmu sains pemakanan dan nutrisi yang saya pelajari juga amat membantu saya.
Saya aplikasikan cara pengiraan kalori, kurangkan kalori, pemakanan sihat dan kehidupan yang sihat. Saya bersenam hampir setiap hari. Alhamdulillah selepas 2 tahun, saya berjaya buang 50% dari berat badan. (120kg – 60kg).
Selepas graduated, saya mendapat pekerjaan di company fitness nutrion. Ia bonus bagi saya kerana saya mempunyai pengetahuan dalam bidang fitness hasil kajian saya semasa misi weight lost saya dan juga kursus sains pemakanan yang saya pelajari. Saya masih teruskan gaya hidup sihat. Tetapi akibat sibuk bekerja 10 pagi-10 malam, saya tidak dapat betul-betul mengambil makanan yang sihat mahupun bersenam. Jadi berat saya naik sedikit.
Saya bekerja selama setahun di dalam industri nutrisi kecergasan(fitness nutrition) sebelum akhirnya saya berhenti kerja kerana berkahwin.
Pernah diceraikan
Bahagia itu tidak selamanya. Saya diceraikan hanya selepas sebulan berkahwin. Salah satu sebab adalah kerana saya gemuk sedikit sahaja dari waktu perkenalan dengannya dahulu. Kekasihnya juga kurus slim. Tak macam saya yang gemuk katanya. Fizikal saya dihina sebelum sempat saya kembali kepada healthy lifestyle.
Saya amat kecewa dan sedih, rupanya saya dikahwini hanya kerana fizikal. Kerana kekecewaan melampau, saya lupakan terus healthy lifestyle. Saya tak jaga pemakanan. Saya tak bersenam. Saya tidak mahu lagi lelaki yang datang kerana fizikal.
Sekali lagi, berat saya naik untuk kali ketiga. Naik sehingga 88kg. Saya ada rasa mahu back on healthy lifestyle. Tapi saya takut jika nanti saya berkahwin baru, kemudian tiba-tiba berat saya naik semula (akibat mengandung ke) adakah saya akan diceraikan lagi?
Selepas 2 tahun peristiwa hitam, alhamdulillah, Saya berkahwin baru. Ketika itu saiz saya 2 kali ganda daripada saiz suami saya. Berat saya 88kg sedangkan berat suami saya 45kg.
Kerana keikhlasan hatinya menerima saya yang gemuk, saya katakan pada beliau selepas berkahwin “ Berikan masa 6 bulan kepada saya, saya akan kurus kembali. Nanti saya kurus mesti cantik”. Hahaha.
Kembali aktif
Kini telah 9 bulan kami berkahwin. Saya telah berjaya menurunkan 20kg berat dengan penjagaan pemakanan dan bersenam. Dan bonusnya saya lebih fit. Saya mampu berlari sejauh 10km setiap hari dan bakal menyertai half marathon.
Walaupun kaki saya masih tertanam besi seumur hidup, ia bukan penghalang untuk saya bersenam dan menjaga pemakanan.
Antara ilmu yang ingin saya kongsi kan kepada semua:
1) Kenapa boleh banyak kali gemuk, banyak kali kurus?
Sebenarnya orang yang pernah gemuk, amat mudah untuk gemuk kembali jika tidak menjaga pemakanan. Ini kerana fat globule di dalam badan kita ketika gemuk tidak hilang. Ia hanya mengecut.
Jadi bila tidak jaga makan, fat globule itu akan mengembang dengan mudah. Jadi orang macam saya lebih mudah gemuk kembali. Malah mungkin juga fat globule itu bertambah pula bilangannya ketika kita gemuk kembali.
Solusinya adalah kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat seumur hidup supaya tidak gemuk kembali.. Gaya hidup sihat bukan sahaja kurus, malah menyihatkan kita dan dapat menjauhi daripada penyakit kronik.
2) Bolehkah berlapar untuk turunkan 50kg dalam masa 3 bulan?
Nak turun berat tu, berlapar pun akan berjaya. Masalahnya metabolisme anda akan drop. Otot kita hilang ketumpatan. Memang berat akan turun cepat. Tapi yang banyak hilang adalah otot. Bila kita makan normal semula, berat badan akan naik mendadak.
Okay sekarang dah faham la kenapa berat badan kita cepat turun dan cepat naik. Kalau nak betul-betul kurus kena la istiqamah. Iye dak?
Semoga perkongsian daripada Nur Hazirah Hj. Hamzah ini memberi manfaat buat semua.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI