Sehari dua ini Malaysia digegarkan dengan pendedahan berani Mohd Asri Hamid atau lebih dikenali Asri Janggut mengenai isu perjudian di Sungai Buloh selain kegiatan jualan rokok seludup yang dipandang sebelah mata oleh pihak berkuasa. Pengasas Hot Burger ini jelas tampil berani merakam video wujud pilih bulu melibatkan pihak berkuasa tempatan yang menyita gerai-gerai peniaga kecil tempatan dan membiarkan orang luar bebas berniaga termasuk kedai judi yang tiada tindakan diambil.
Ramai menyifatkan Abang Hot Burger ini sebagai hero kerana berani (kita mengharapkan lebih ramai rakyat Malaysia berani mendedahkan kegiatan salah guna di kalangan pihak berkuasa).
Insiden ini menjadi panas hingga mendapat perhatian dari Ketua Polis Negara yang mengadakan pertemuan dengan Asri Janggut semalam. Malah Ketua Polis Selangor menegaskan bahawa Asri Janggut tidak akan dipanggil bagi merakam percakapan kerana beliau pemberi maklumat dan bukan pesalah.
Dalam pada itu, kita pasti tertanya-tanya adakah pemberi maklumat dilindungi oleh undang-undang? Pendedahan dari peguam Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinnai & Co mengenai pemberi maklumat ini sesuatu yang perlu kita fahami sebelum bertindak menyalur maklumat ke saluran yang tepat.
Adakah pemberi maklumat di Malaysia ini ada undang-undang yang melindungi? Kita semua pun jadi tertanya-tanya berkenaan kes Abang burger, apa kedudukan pemberi maklumat.
Kes ini mungkin menjadi contoh kepada yang lain tentang isu sejauh mana pemberi maklumat dilindungi. Semua hendak tahu.
Di Malaysia kita ada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (AKTA 711). Nama pun Akta perlindungan dan memang jelas di bawah Akta ini banyak, seksyen yang memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat. Misalnya:
Ads
Bahagian III Akta, semua hal berkaitan Pelindungan pemberi maklumat. Seksyen 7, Perlindungan pemberi maklumat. Seksyen 8, perlindungan ke atas maklumat sulit yang diberikan. Seksyen 9, kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah. Banyak lagi.
Ibarat kalau kita baca Akta 711, percayalah kita bahawa kedudukan kita sebagai pemberi maklumat ini terlindung. TETAPI tidak juga sebenarnya, kerana ada kes di mahkamah yang diputuskan apabila pemberi maklumat gagal memenuhi elemen dan syarat dibawah Akta ini, maka pemberi maklumat tidak layak mendapat perlindungan.
Apa pula ikut syarat dan tak ikut syarat untuk dapat perlindungan ni?
Apa syarat-syarat menjadi pemberi maklumat yang layak dilindungi di bawah Akta ini?
Yang ini saya akan rujuk kepada kes Rokiah Mhd Noor v. Menteri Perdagangan dalam Negeri & Koperasi Kepenggunaan Malaysia & lain-lain [2016] 8 CLJ 635.
Dalam kes ini, Plaintif yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Suruhanjaya Syarikat Malaysia ('SSM') dan seorang lagi telah didakwa bersama-sama mengarang sepucuk surat kepada pihak ketiga termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bersifat biadab dan mengandungi dakwaan-dakwaan yang memudaratkan SSM.
Akibatnya kedua-dua mereka telah diambil tindakan displin dan Rokiah ditamatkan kontrak perkhidmatannya.
Ads
Oleh demikian, Rokiah membawa kes ini ke mahkamah bagi semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan tindakan displin dan penamatan kontrak terhadapnya dan menggunakan perlindungan di bawah Seksyen 10 iaitu Perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan.
Mahkamah putuskan untuk menolak rayuan Rokiah, (maknanya dia tak berjaya guna pembelaan perlindungan bawah Akta 711), atas alasan Rokiah gagal memenuhi syarat sebagai pemberi maklumat di bawah Akta 711.
Ini ayat yang diputuskan oleh mahkamah guna
(4) Untuk mendapatkan perlindungan di bawah APPM, seseorang yang mendedahkan kelakuan tidak wajar mesti membuat pendedahan tersebut hanya kepada mana-mana agensi penguatkuasaan dan bukan kepada orang lain.
Dalam kes ini, Rokiah dan seorang lagi tidak melayakkan diri sebagai pemberi maklumat kerana selain daripada mendedahkan salah laku ahli SSM dan Suruhanjaya Anti Rasuah, pendedahan itu juga dibuat kepada pihak ketiga dan tiada seorang daripada mereka adalah 'agensi penguatkuasa' mengikut pengertian Seksyen 2 Akta 711.
Oleh kerana kedua-dua Rokiah dan Azryain tidak melayakkan diri sebagai pemberi maklumat dalam pengertian APPM, mereka tidak berhak mendapat perlindungan di bawah Seksyen 10 Akta 711.
Ads
Maknanya begini jika berdasarkan kes ini, seseorang mestilah memberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan bukanlah kepada pihak lain.
Misalnya seseorang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar kepada mana-mana agensi penguatkuasaan (Seksyen 6), pemberi maklumat mesti membuat aduan kepada penguatkuasaan seperti kementerian, jabatan, agensi atau badan yang dituduhkan oleh kerajaan persekutuan, polis dan segalanya yang jatuh bawah definisi Seksyen 2. Barulah layak mendapat pelindungan berdasarkan Akta 711 ini.
Malahan Seskyen 11 memperuntukkan bahawa pembatalan perlindungan bagi pemberi maklumat, antaranya dia sendiri terlibat dalam aktiviti tak elok yang dilaporkan atau laporan palsu atau remeh dan lain-lain.
Jadi untuk kita bandingkan dengan kes Abang Burger ini, laporan pendedahannya dibuat dalam video untuk tontonan umum. Jelas, dia tidak boleh menggunakan pelindungan bawah Akta 711 ini kerana pendedahan dibuat olehnya bukan lagi kepada badan seperti SPRM, PDRM, MBSA tetapi kepada awam.
Saya menulis ini dalam konteks undang-undang yang ada. Saya sendiri mengecam perbuatan rasuah, salah laku, tiada intergriti. Semoga negara kita bebas dari perbuatan rasuah ini.
Ramai yang melakukan rasuah kerana mereka anggap kalau mereka pandai sembunyi, perbuatan mereka tak diketahui tetapi mereka lupa Allah itu dan syurga neraka itu benar. Ramai juga ambil rasuah, mereka fikir nanti mereka boleh bertaubat apabila tua tetapi mereka lupa mati itu tak mengenal usia.
Esok saya kongsi sama ada boleh atau tidak kita saman pihak penguatkuasa sebab gagal ambil tindakan perbuatan rasuah. Saya rujuk pada kes mahkamah juga.
Oleh Nor Zabetha
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Golongan muda diingatkan agar tidak terlalu memilih dalam mendapatkan pekerjaan sebelum peluang berkenaan direbut oleh orang lain terutamanya warga asing.
Seorang anak muda berusia 20 tahun dari Kampung Haji Dahalan ini bijak mengambil peluang dan tampil dengan cara berbeza.
Muhammad Hazim Mohd. Akhir berkongsi berjaya meraih pendapatan lumayan sehingga RM7,000 sebulan menerusi kerja-kerja di ladang sawit keluarganya.
Menurut laporan KOSMO!, Hazim, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mula membantu bapanya di ladang sawit sejak berusia 12 tahun dan melihat sendiri bagaimana ayahnya bekerja keras dari subuh hingga petang.
Dipandang Rendah
Walaupun ada yang memandang rendah sektor pertanian dengan anggapan ia kotor, sukar, dan bahaya, Hazim membuktikan bahawa dengan perancangan teliti, segala cabaran boleh diatasi.
Ladang seluas 16 hektar yang diusahakannya kini menjadi sumber pendapatan utama beliau, termasuk tambahan tanah pajakan untuk mengembangkan hasil sawit.
Bapanya, yang berperanan besar sebagai mentor, turut memantau setiap aspek pengurusan ladang seperti meracun, membaja, mengait buah, dan penghantaran buah ke kilang.
Pelbagai Tanaman
Selain itu, beliau turut mengusahakan tanaman anak pokok sawit sebagai persediaan bagi proses penanaman semula apabila pokok yang sedia ada mencapai usia ekonomik.
Berbanding anak muda lain yang cenderung membeli kereta mewah atau gajet canggih, Hazim mengambil pendekatan berbeza.
Sebahagian besar pendapatannya disimpan untuk membeli tanah baharu demi menambah keluasan ladang.
“Bagi saya, biarlah duit itu digunakan untuk menambah aset seperti tanah dan rumah. Saya mahu memiliki kediaman sendiri sebelum mendirikan rumah tangga,” katanya penuh azam.
Tidak hanya bergantung kepada kerja di ladang sawit, Hazim juga bijak mempelbagaikan sumber pendapatannya. Beliau kini mengusahakan tanaman buluh, nanas, pisang, dan juga ternakan ruminan.
Pendekatan ini bukan sahaja menjamin pendapatan lebih stabil, tetapi juga membuktikan kepelbagaian sektor pertanian boleh menjadi aset bernilai untuk masa depan.
Moga Muhammad Hazim terus berjaya di masa akan datang.
Hati mana yang tidak sedih apabila kehilangan orang tersayang, apatah lagi kelahirannya sangat dinantikan sebagai penyeri keluarga. Christiano Ronaldo dan kekasihnya, Georgina Rodriguez telah mengumumkan pagi ini (waktu Malaysia) bahawa bayi lelaki mereka yang baru dilahirkan telah meninggal dunia.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi sebuah kenyataan yang disiarkan secara bersama di laman Instagram mereka.
“Dengan rasa sedih kami yang paling dalam, kami perlu mengumumkan bahawa bayi lelaki kami telah meninggal dunia. Ia adalah kesakitan paling dalam yang boleh dirasai oleh mana-mana ibu bapa,” ujar pasangan ini.
Umum mengetahui yang sebelum ini mereka pernah mengumumkan yang mereka bakal menimang cahaya mata kembar. Walaupun kehilangan anak lelaki, pasangan ini berkongsi yang mereka sangat bersyukur kerana kembar perempuannya selamat.
Pasangan ini berkongsi pada Oktober tahun lalu yang mereka sedang menantikan kelahiran bayi kembar.
Kongsi mereka, “Kelahiran bayi perempuan kami memberi kami kekuatan untuk menjalani detik ini dengan sedikit harapan dan kebahagiaan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat atas semua penjagaan dan sokongan pakar yang diberikan mereka.”
Seperti mana ibu bapa yang kehilangan cahaya mata, pasangan ini meminta semua pihak menghormati waktu sukar mereka dan memohon privasi. “Kami semua kecewa dengan kehilangan ini dan kami memohon privasi pada masa yang sangat sukar ini,” ujar mereka lagi.
Sebelum kalahiran bayi kembar ini, Pemain bola sepak Manchester United ini sudah pun memiliki empat orang anak. Christiano Jr dilahirkan pada Jun 2010, manakala pada Jun 2017 dia menimang dua lagi cahaya mata Eva dan Mateo yang dilahirkan secara kaedah ibu tumpang.
Kemudian hasil perkongsian hidupnya bersama Georgina Rodriguez, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Alana Martina yang dilahirkan pada November 2017 sebelum kelahiran kembar lelaki dan perempuan pada 18 April 2022.
Menerusi perkongsian di laman Instagram sebelum ini, jejaka berusia 37 tahun ini terkenal dengan sikap penyayangnya sebagai seorang bapa. Dia dilihat bahagia dalam keluarga besar dan sentiasa meluangkan masa bersama anak-anaknya pada waktu terluang.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Laporan berita tentang sektor pelancongan di Langkawi menerima 1,000 tempahan sebaik sahaja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ahad lalu adalah tidak tepat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir tentang perkara itu juga tidak mewakili kerajaan negeri.
“Kami tidak tahu daripada mana pihak tersebut mendapat angka itu kerana kami tidak mempunyai mekanisme untuk mengetahui jumlah tempahan hotel dalam tempoh sejam.
“Biasanya pihak hotel yang menerima tempahan akan memaklumkan kepada kami jumlah tempahan yang diterima, itu pun tidak dapat diperoleh dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Ahad lalu, Zainudin dilaporkan berkata, hotel di Langkawi telah menerima sebanyak 1,000 tempahan dalam tempoh sejam susulan pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyaksikan lebih banyak sektor ekonomi dibuka termasuk pelancongan domestik.
Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, ekoran langkah kerajaan membenarkan perjalanan merentas negeri dan membuka semula pelancongan domestik, kerajaan negeri berharap dapat mencapai antara 1.2 juta hingga 1.5 juta kedatangan pelancong pada tahun ini.
Sasaran itu, katanya, mampu dicapai sekiranya langkah-langkah pemulihan dilaksana sebaik mungkin terutama oleh pemain industri dalam merancakkan semula aktiviti pelancongan.
“Selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan sektor pelancongan, kami terpaksa memulihkan semula pelancongan dengan kebiasaan baharu dalam PKPP ini.
“Kalau sebelum ni (2019) kami dapat menarik 3.7 juta pelancong, sekurang-kurangnya pada akhir tahun ini kami boleh dapat 1.2 hingga 1.5 juta pun sudah mencukupi untuk penutup tahun ini,” katanya. – Bernama
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!