
5 ijazah tinggi tapi pilih hidup gelandangan, itulah kisah kontroversi seorang lelaki muda dari China yang kini tular di seluruh dunia. Dengan hanya berbelanja sekitar 100 yuan sebulan (kira-kira RM60), Zhao Dian membuktikan bahawa tidak semua orang mendefinisikan kebahagiaan melalui wang, kerjaya hebat atau status elit.
Genius Akademik, Tapi Nekad Hidup Sederhana
Zhao Dian, 32, bukan calang-calang orang. Beliau memiliki dua ijazah sarjana muda dan tiga ijazah sarjana dalam bidang kewangan daripada universiti berprestij di Sydney, New York, Beijing dan Paris. Namun, pencapaian itu dianggapnya sebagai “belenggu” yang tidak pernah membawanya kepada kebahagiaan sejati.

Selepas bertahun-tahun berada di luar negara, Zhao mendapati ketenangan sebenar bukanlah pada kerjaya hebat, sebaliknya pada pekerjaan sederhana. Malah, ketika bekerja sebagai pencuci pinggan di Paris, beliau mengakui:
“Mencuci pinggan boleh membawa kebahagiaan, jadi mengapa perlu menunggu pekerjaan yang ideal?”
Hidup Dengan RM60 Sebulan
Pada tahun 2023, Zhao kembali ke China dan pernah bekerja sebagai pelayan di festival bir dan hotel. Namun tahun lalu, dia memilih keputusan paling drastik dalam hidupnya – menjadi gelandangan di bandar Dali, Yunnan.
Kini, kehidupannya serba ringkas. Beliau makan di restoran vegetarian percuma, tidur seawal jam 9 malam, dan hanya menggunakan simpanan peribadi berjumlah 2,500 yuan (lebih kurang RM1,500) untuk bertahan. Bayangkan, seorang lulusan sarjana dunia kini hidup dengan bajet semurah RM60 sebulan sahaja!

Dari Luka Emosi Ke Falsafah Hidup Baru
Zhao mengakui bahawa masa kecilnya yang penuh tekanan serta hubungan renggang dengan ibu bapa membuatkan dia ingin bebas daripada ikatan material. Walaupun sudah memutuskan hubungan dengan keluarganya di New Zealand, beliau masih berhubung secara dalam talian dengan anak perempuannya yang berusia 10 tahun.
Hari-harinya kini dipenuhi dengan membaca, mengembara, menganjurkan kelab buku dan berkongsi video kaunseling psikologi secara dalam talian. Zhao juga melancarkan projek untuk membantu kanak-kanak mencari minat sebenar mereka kerana percaya sistem pendidikan toksik telah merosakkan ramai generasi muda.

Simpati vs Kritikan
Kehidupan luar biasa Zhao mencetuskan reaksi bercampur. Ada yang mengagumi keberaniannya meninggalkan sistem hidup penuh tekanan demi mencari kebahagiaan sebenar. Tetapi ramai juga yang mengkritik tindakannya sebagai terlalu idealistik dan tidak bertanggungjawab kerana mengabaikan pengorbanan ibu bapa serta tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.
Apa pun pandangan orang ramai, kisah ini wajar dijadikan renungan. Pendidikan tinggi dan kerjaya hebat tidak semestinya menjamin kebahagiaan. Kadangkala, ketenangan datang daripada hidup sederhana dan keberanian untuk jujur dengan diri sendiri.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!








