Berita

230 Graduan Gaza Tamatkan Pengajian Perubatan Dengan Jaya, Rai Konvokesyen Di Runtuhan Al-Shifa

Share

Di sebalik runtuhan bangunan, dentuman bom dan derita peperangan yang tidak berkesudahan, rakyat Palestin di Semenanjung Gaza membuktikan satu perkara penting iaitu impian dan ilmu tidak pernah mati.

Ia dibuktikan menerusi majlis graduasi penuh simbolik melibatkan 230 graduan Fakulti Perubatan dari Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam Gaza, yang diraikan di tengah-tengah kemusnahan akibat konflik berpanjangan.

Graduan-graduan ini dikenali sebagai ‘Kelas Phoenix 2025’, satu gelaran yang sarat dengan makna kebangkitan, ketahanan dan keazaman luar biasa untuk terus berkhidmat kepada kemanusiaan walaupun diuji dengan penderitaan yang sukar dibayangkan.

Lebih menyentuh hati, majlis graduasi bersejarah ini diadakan di halaman Kompleks Perubatan Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza yang musnah teruk dan pernah diserbu sebanyak dua kali sepanjang pencerobohan Israel.

Pemilihan lokasi itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa mesej jelas bahawa ilmu, harapan dan nilai kemanusiaan tetap subur walaupun di tengah kehancuran.

Sepanjang tempoh pengajian, para graduan berdepan cabaran luar biasa, daripada pengeboman berterusan, kehilangan ahli keluarga tersayang, hinggalah kepada sistem kesihatan dan pendidikan yang sering terganggu. Namun, semua itu tidak mematahkan semangat mereka untuk menamatkan pengajian dan bergelar doktor.

Majlis graduasi yang ditaja oleh Samir Foundation ini turut mencuri perhatian ramai di media sosial, apabila netizen meluahkan rasa kagum terhadap ketabahan luar biasa para graduan dalam mengejar ilmu sehingga ke menara gading, meskipun berada di zon peperangan.

Lebih meruntun perasaan, majlis tersebut turut dihiasi dengan gambar pelajar perubatan yang gugur syahid, di bawah slogan penuh makna.

“Mereka bersama kami di jalan perjuangan, tetapi bukan di podium graduasi.”

Salah seorang graduan, Ezz El-Din Lulu, berkongsi kisah pilu perjalanannya apabila mendedahkan dirinya kehilangan

20 ahli keluarga termasuk bapanya, yang sehingga kini masih tertimbus di bawah runtuhan.

“Kehilangan itu amat menyakitkan, tetapi ia tidak menghalang saya untuk menamatkan pendidikan,” katanya.

Bagi Raghad Hassouna, nama Phoenix bukan sekadar simbol, sebaliknya satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan.

“Kami bangkit daripada penderitaan dan kemusnahan, daripada cabaran perang yang besar dengan azam yang lebih kuat untuk terus hidup berjaya,”
ujarnya.

Seorang lagi graduan, Dr. Alaa Zaqout dari Universiti Islam Gaza berkata, tempoh pengajiannya bertepatan dengan perang tragis yang menghancurkan keluarga serta institusi pendidikannya.

“Kesan psikologi itu sangat berat, namun ia hanya menguatkan semangat saya untuk menamatkan pengajian perubatan,” katanya sambil mendedahkan pengajiannya tertangguh hampir enam bulan akibat konflik peperangan.

Sementara itu, Dr. Reham Al-Souri dari Universiti Al-Azhar menjelaskan beliau terpaksa menjalani latihan dalam keadaan amat berbahaya dengan sumber yang sangat terhad akibat pengepungan dan kemusnahan infrastruktur kesihatan.

Gangguan elektrik dan internet, kesukaran pengangkutan serta jadual latihan yang tidak menentu menjadi rutin hariannya ketika bertugas di

Hospital Syuhada Al-Aqsa.

Di Gaza, majlis graduasi ini bukan sekadar penutup perjalanan akademik. Ia menjadi simbol perjuangan hak kemanusiaan, ketahanan jiwa dan harapan masa depan.

Biarpun berada di zon peperangan dan kemusnahan, graduan-graduan doktor yang dilahirkan ini tetap bersedia menyembuhkan luka, berkhidmat kepada masyarakat dan menghidupkan kembali harapan rakyat Gaza.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath