Dalam Negara

23 Tahun Hidup Tanpa Dokumen & Kad Pengenalan, Kini Berjaya Raih Ijazah Kelas Pertama UUM! Kisah Inspirasi Alma Nur Fajrina

Share

Tidak semua perjalanan hidup bermula dengan mudah. Bagi Alma Nur Fajrina Abdul Razak, 26, kehadirannya ke dunia tanpa sebarang dokumen pengenalan diri bukanlah penghalang untuk mengubah takdir hidupnya sendiri.

Hari ini, Alma melakar sejarah peribadi apabila berjaya menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan lebih membanggakan, dengan kelas pertama!

“Saya Bermula Dari Kosong”

Alma memperoleh MyKad pada tahun 2022, selepas melalui pelbagai cabaran dalam urusan pengesahan identiti, ini bermakna selama

23 tahun pertama hidupnya, beliau tidak diiktiraf sebagai warganegara mana-mana negara.

Kini bekerja di Bank Islam Kuala Lumpur, Alma mengakui kejayaan ini amat bermakna kerana dia tidak pernah bersekolah secara formal sebelum menyertai Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit.

“Saya sangat bersyukur akhirnya dapat menamatkan pengajian seperti yang diimpikan. Perjalanan saya penuh liku kerana saya bermula dari kosong dan perlu belajar banyak perkara sendiri.

“Pernah juga saya hampir berputus asa pada semester ketiga, namun berkat nasihat pensyarah, saya teruskan hingga berjaya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM di Dewan Mu’adzam Shah.

Dari Chow Kit ke Menara Gading

Alma menerima ijazahnya dalam sesi kedua yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah.

Dalam nada penuh syukur, Alma turut menzahirkan penghargaan kepada SBJK dan UUM yang banyak membantu sejak awal perjalanan pendidikannya.

“Saya amat menghargai bantuan SBJK yang memberi peluang untuk saya belajar walaupun ketika itu saya masih tiada dokumen, serta UUM yang sudi menerima saya sebagai pelajar,” ujarnya.

Bermula Lewat, Tapi Tidak Pernah Terlambat

Kisah Alma pernah menarik perhatian ramai apabila beliau tidak dapat bersekolah di peringkat rendah dan menengah kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri. Ayahnya merupakan warganegara Malaysia dari Pahang, manakala ibunya berasal dari Indonesia.

Namun pada usia 18 tahun, Alma memulakan semula langkahnya apabila diterima bersekolah secara formal di SBJK Chow Kit selama setahun, dan berjaya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

dengan keputusan cemerlang.

Dengan bantuan pihak sekolah, dia kemudiannya menyambung pengajian ke Kolej Tingkatan Enam Pudu Jaya, Cheras, memperoleh keputusan baik dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan akhirnya diterima masuk ke UUM pada April 2021.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: UUM News

Published by
Fath